10 Februari 1996 – KOMPUTER IBM MENEWASKAN GARY KASPAROV

Dalam pertarungan enam permainan, komputer IBM yang diberi nama “Deep Blue” menjadi mesin pertama yang berjaya mengalahkan juara catur dunia, Gary Kasparov. Namun Gary Kasparov tetap memenangi pertarungan tersebut dengan keputusan 4-2.

Gary Kasparov dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah permainan catur. Beliau yang dilahirkan pada 13 April 1963 di Azerbaijan merupakan Juara Remaja Catur Rusia. Pada tahun 1985, beliau menjadi juara dunia paling muda dalam sejarah catur apabila menewaskan Anatoly Karpov ketika berusia 22 tahun.

Rekaan komputer Deep Blue bermula pada tahun 1985 apabila pelajar kedoktoran Universiti Carnegie Mellon, Feng Hsiung Hsu membangunkan komputer bermain catur yang diberi nama “ChipTest”. Kemudian Hsu menyertai projek Thomas Anantharaman dan Murray membangunkan komputer yang diberi nama “Deep Thought” iaitu sebuah nama watak sebuah komputer dalam novel fiksyen yang bertajuk “The Hitchhiker’s Guide to the Galaxy”. Selepas itu mereka dilantik bekerja untuk IBM supaya terus membangunkan komputer permainan catur. Pada tahun 1989, Gary Kasparov mudah menewaskan Deep Thought dalam pertarungan dua permainan. IBM terus membangunkan semula komputer super mereka dan pada tahun 1993, komputer tersebut telah ditukar nama kepada “Deep Blue” iaitu gabungan nama “Deep Thought” dan “Big Blue”, iaitu nama samaran IBM.

Pertarungan enam permainan antara Kasparov dan Deep Blue diadakan pada tarikh 10 Februari 1996, di Pusat Konvensyen Pennsylvani di Philadelphia. Walaupun Deep Blue mampu menilai 100 juta pergerakan catur berbeza sesaat, namun pasukan IBM tidak pasti bagaimana komputer mereka akan melaksanakan pergerakan untuk menentang Kasparov.

Juara catur dunia, Kasparov telah tewas pada permainan pertama pertarungan tersebut. Pada permainan kedua, Kasparov segera bangkit untuk menewaskan Deep Blue pula. Permainan ketiga dan keempat pula berakhir dengan keputusan seri. Akhirnya Kasparov memenangi permainan kelima dan keenam pertarungan tersebut, dan mendapat skor 4-2.

Publisiti meluas telah diberi kepada pertarungan kedua antara manusia dan komputer yang bermain pada 3 Mei 1997. Pada pertarungan ini, Deep Blue telah dinaik taraf untuk menilai 200 juta pergerakan catur yang berbeza sesaat. Kasparov memenangi permainan pertama manakala Deep Blue telah memenangi permainan kedua. Permainan ketiga, keempat dan kelima pula berakhir dengan keputusan seri. Pada tarikh 11 Mei, Deep Blue memenangi permainan keenam sekaligus memenangi pertarungan tersebut. Kemenangan tersebut juga merupakan rangsangan publisiti yang sangat besar untuk IBM.

Kasparov yang tidak berpuas hati akibat kekalahan tersebut, mengatakan Deep Blue telah mendapat bantuan manusia pada pertarungan tersebut, namun IBM menafikan dakwaan tersebut. Kemudia Kasparov menuntut untuk diadakan pertarungan semula, sebaliknya IBM telah meletakkan Deep Blue dalam persaraan.

Kasparov kemudiannya terus mengekalkan gelaran juara catur dunia sehingga tahun 2000 sebelum mengumumkan persaraan daripada sukan catur profesional pada bulan Mac 2005.

ekselen.my

sumber : http://ekselen.my/

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.