10 Fungsi Yang Tiada Pada iOS 13 Tetapi Ada Pada Android

Terdapat puluhan fungsi baharu diperkenalkan oleh Apple pada iOS 13 di acara WWDC yang berlangsung dua minggu yang lalu. Kami ada menyenaraikan 20 fungsi paling menarik setakat ini tetapi selepas seminggu menggunakan iOS 13 Beta, kami menyedari sistem operasi yang digunakan pada iPhone dan iPod ini masih mempunyai beberapa kekurangan yang meletakkannya beberapa langkah di belakang Android. Berikut ialah 13 fungsi yang kami mahukan tetapi tiada pada iOS 13 Beta.

Baca – 20 Perkara Paling Menarik Pada iOS 13

1.Tiada Sokong Split-View

Sokongan melancarkan dua aplikasi serentak secara sebelah menyebelah telah wujud pada Android sejak diperkenalkan pada Samsung Galaxy Note 2 hampir tujuh tahun yang lalu. Sokongan natif multi tingkap secara natif kemudian diperkenalkan menerusi Android 7 Nougat tiga tahun lalu.

Pada peranti iOS, hanya iPad menyokong mod multi tingkap yang diberi nama Split-View sejak iOS 11. Sokongan yang sama tidak disertakan secara natif pada iPhone. Dengan skrin iPhone XS Max yang kini sebesar  6.5″, fungsi ini sepatutnya disokong kerana ruang paparan yang besar. Sebagai perbandingan Note 2 hanya mempunyai skrin sebesar 5.5″. Setelah melihat betapa bergunanya Split-View pada iPadOS kami terasa sedikit iri hati kerana ia tidak disokong pada iPhone milik peribadi.

2.Tiada Face ID Pada Kedudukan Landskap

iPhone digunakan oleh kami untuk melakukan kerja dan menonton video. Kadang kala peranti terkunci pada posisi landskap. Untuk menyahkunci semula skrin kami terpaksa mengembalikan iPhone XS ke posisi menegak bagi membolehkan Face ID mengimbas wajah. Pada iOS 13, masih tiada sokongan Face ID secara landskap.

Ini adalah aneh kerana iPad Pro 11″ dan 12.9″ boleh melakukan proses nyahkunci tanpa mengira orientasi peranti. Tiada alasan mengapa ini tidak dilakukan sedangkan sensor yang sama pada iPhone X, XR, XS dan XS Max digunakan pada iPad Pro. Sebagai perbandingan sistem imbasan wajah 3D pada Huawei Mate 20 Pro boleh menyahkunci peranti tanpa mengira orientasi sejak hari pertama dilancarkan.

3.Tetapan Kamera Masih Perlu Diubah Dari Settings

Terima kasih Apple kerana akhirnya membenarkan akses tambatan bluetooth dan WiFi terus dari Action Center. Dengan menekan ikon bluetooth dan Wifi, pengguna boleh terus mencari aksesori atau WiFi yang ingin digunakan dengan pantas. Tetapi satu lagi perkara menjengkelkan pada iOS masih belum diubah iaitu proses melakukan tetapan kamera. Untuk mengubah mod rakaman dari 1080P 60FPS ke 4K 60FPS misalnya, ia masih perlu dilakukan pada skrin Settings. Ini memerlukan pengguna keluar dari aplikasi kamera terlebih dahulu. Pada Android mengubah tetapan kamera boleh dilakukan terus dari aplikasi kamera sejak penggal pertama Najib Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

4.Tambatan Dua Aksesori Audio Bluetooth Serentak

Fungsi ini mungkin kurang popular tetapi kami gunakan dengan kerap sejak mula mengulas fon telinga dan kepala bluetooth di pasaran. Pada Galaxy S10, kami boleh menambat dua fon kepala kepadanya serentak dan kemudian membezakan kualiti audio menerusi fungsi Dual Audio. Ini adalah kerana fungsi bluetooth 5.0 ini telah disokong sejak Galaxy S8.

iOS 13 memperkenalkan sokongan tambatan dua aksesori audio nirwayar tetapi hanya untuk Apple AirPods dan Powerbeats Pro yang dilengkapi cip Apple H1. Tambatan aksesori audio lain tanpa cip ini tidak disertakan pada iOS 13. Mengapa ia tidak disertakan masih lagi misteri. Kami hanya boleh berharap ketika ujian Beta ramai pengguna memberikan maklum balas supaya fungsi asas ini disertakan.

5.Tiada Sokongan FLAC

Kita kekal dengan subjek audio pada iOS 13 dan kali ini masih tiada sokongan untuk fail FLAC (Free Lossless Audio Codec). Apple hanya menyokong format ALAC (Apple Lossless Audio Code) yang memerlukan filem FLAC diubahsuai menggunakan perisian lain terlebih dahulu. Ini menambah satu lagi langkah bagi peminat audio berkualiti tinggi nirhilang ini. Bagaimana pula pada peranti Android? Sokongan FLAC telah diberikan secara natif sejak Android 3.1 Honeycomb dilancarkan pada tahun 2011.

6.Masih Tiada Tetapan Aplikasi Default

Terdapat banyak aplikasi pelayar web, papan kekunci dan pemain muzik boleh dimuat turun pada peranti iOS 13. Tetapi agak mengejutkan walaupun pada versi ke-13 sistem operasi ini masih tidak membenarkan pengguna menetapkan aplikasi pilihan untuk pelayar web misalnya. Pada Android terdapat skrin khas untuk memilih pelancar, pelayar web, pembantu maya, dompet digital dan banyak lagi. Apple masih memaksa penggunaan aplikasi mereka sebagai default walaupun anda tidak mahu menggunakan Safari sebagai pelayar web misalnya.

7.Fungsi NFC Masih Terhad Berbanding Android

Dengan iOS 13 Apple mula membuka sistem NFC yang boleh dibaca oleh peranti mereka. Antara yang telah diumumkan ialah iPhone boleh membaca kad pengenalan di Jepun dan Jerman. Di United Kingdom pula sistem NFC boleh membaca passport. Di beberapa bandar tertentu sistem NFC iPhone sudah boleh digunakan untuk pembayaran sistem pengangkutan dan ganti kepada kad matriks universiti. Sebagai pengguna Android kami sudah terbiasa menambat fon telinga nirwayar ataupun kamera digital menerusi sentuhan NFC yang pantas. Ini adalah jauh lebih pantas dan mudah berbanding perlu ke skrin tetapan bluetooth pada iOS 13 pada waktu ini.

8. Fail Tidak Boleh Dipindahkan Dari PC Ke iPhone

Pemacu mudah alih dan pemacu cakera keras akhirnya boleh dibaca oleh iPhone menerusi iOS 13. Ini memudahkan proses pemindahan dokumen dan gambar di pejabat. Apple mendengar keluhan pengguna iPad Pro yang merungut sokongan storan luaran adalah terhad pada iOS 12. Tetapi pada masa yang sama sokongan pemindahan data dengan mudah ini tidak disertakan pula pada pengguna PC. Apabila iPhone dipasang pada PC, pemindahan data dari PC ke iPhone masih tidak boleh dilakukan sama sekali. Satu lagi kekurangan iOS sejak edisi pertama tidak ditambah baik oleh Apple pada iOS 13.

9.Tidak Sokongan Pemindahan Fail Ke Android Menggunakan Bluetooth

BluetoothKami tahu bagi pengguna iPhone sistem perkongsian AirDrop adalah yang terbaik boleh mereka gunakan. Ia turut boleh digunakan untuk menghantar fail ke iPad, iPod dan komputer Mac yang dimiliki. Namun begitu harus diakui majoriti pengguna tidak menggunakan peranti iOS dan sebaliknya menggunakan peranti Android. Ketika hari raya proses menghantar gambar ke sanak saudara adalah sukar kerana mereka tidak menyokong AirDrop. Penghantaran menggunakan protokol bluetooth ke peranti Android masih tidak wujud pada iOS 13. Penanti ini berterusan sehinggalah pengumuman iOS 14 tahun hadapan.

10. Tiada Sokongan Landskap Untuk Skrin Home iPhone XS Max

Akhir sekali ialah pada iOS 13, masih tiada sokongan mod landskap untuk skrin home untuk iPhone XS Max, XS, XR dan X. Sokongan ini ditarik pada kesemua iPhone dengan Face ID sejak iOS 11 lagi. Sebagai pengguna iPhone 7 Plus sebelum ini, menggunakan skrin home dalam kedudukan landskap amat berguna ketika menonton video atau peranti diletakkan pada pendakap di dalam kereta. Ketiadaan mod landskap untuk skrin home ini adalah aneh memandangkan mod landskap disokong pada skrin Settings dan aplikasi Mail misalnya pada iOS 13 tanpa mengira model peranti.

Ini adalah senarai ringkas kami. Apa pula kekurangan yang anda rasakan wujud pada iOS 13 berbanding Android setakat ini? Kongsi pendapat anda di bawah.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.