Dr. Izwandy Idris
Ketua
Unit Pengkalan Data dan Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan,
Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Tumpuan penyelidikan sekarang ialah berkaitan dengan kepelbagaian organisma invertebrata (tidak bertulang belakang) yang mendiami dasar laut di Malaysia. Secara khususnya, saya lebih menumpukan kepada haiwan yang lebih dikenali sebagai cacing laut ataupun poliket. Selain daripada mengetahui kepelbagaian spesis secara taksonomi, saya juga menumpukan kepada kegunaan atau kebaikan yang dapat diperolehi daripada organisma marin yang dikenal pasti untuk kelestarian sumber marin ini. Kajian saya dimulakan dengan mengenal pasti cacing laut yang mempunyai nilai komersil tinggi,seterusnya memahami ciri-ciri biologi serta peranan cacing laut dalam persekitaran, disusuli pula dengan mengetahui keadaan persekitaran yang menjadi habitat kepada cacing laut ini.. Selepas maklumat asas ini difahami, kajian seterusnya pula akan bertumpu kepada manfaat yang dapat diperolehi daripada cacing laut ini kepada manusia.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Penyelidikan ini penting kerana dua sebab. Pertama, Malaysia adalah salah sebuah negara yang dikenal pasti berada dalam kawasan megadiversiti di dunia. Namun pengetahuan kita mengenai kepelbagaian organisma terutama di dasar laut di wilayah dalam Malaysia adalah masih kurang. Pengetahuan mengenai kepelbagaian biodiversiti boleh menimbulkan rasa kagum dan ‘kepunyaan’, secara tidak langsung meningkatkan lagi semangat patriotisma di kalangan rakyat, serta dapat meningkatkan lagi industri pelancongan. Contohya, British Museum yang mempunyai koleksi alam semula jadi terbesar di benua Eropah menerima pelawat lebih dari satu juta setahun. Selain itu, kerang gergasi yang dijumpai di kepulauan Laut China Selatan merupakan tarikan kepada pelancongan bawah air.

Kedua, organisma-organisma yang belum lagi dikenal pasti berkemungkinan mempunyai potensi sebagai sumber kekayaan baru negara. Terdapat pelbagai kegunaan atau aplikasi yang dapat diperolehi dari organisma marin yang belum dikenal pasti lagi. Contohnya, satu spesies cacing laut yang lazimnya digunakan sebagai umpan pancing telah dikenal pasti merupakan spesies baru dalam sains. Penyelidikan lanjutan ke atas spesis ini mendapati ia berpotensi dalam penghasilan logam emas dan perak pada saiz nano (gold and silver nanoparticle). Selain itu, ekstrak daripada spesis ini juga mempunyai kemampuan bagi proses penyembuhan luka.

Terdapat satu lagi spesies cacing laut yang biasa digunakan sebagai umpan pancing juga didapati mempunyai kebolehan untuk membina semula bahagian badan yang terputus akibat daripada serangan pemangsa. Apa yang lebih menakjubkan, sekiranya bahagian yang terputus tersebut adalah bahagian kepala, bahagian kepada tersebut berupaya untuk tumbuh semula termasuk dengan sistem saraf dan otak! Kajian lanjutan kami ke atas spesies ini sekarang lebih tertumpu kepada aplikasi dalam bidang perubatan terutama yang berkaitan dengan saraf. Bayangkan kegunaan yang kita dapat aplikasikan hanya daripada dua spesis cacing laut yang dijumpai di perairan kita, dan bayangkan juga potensi yang tersimpan pada ratusan ataupun ribuan spesies marin yang belum lagi dikenal pasti di negara kita. Bukankan ini semua adalah sumber kekayaan yang masih terpendam?

Di mana tempat bertugas sekarang?

Selain menjalankan tugas hakiki saya sebagai pensyarah dan penyelidik, saya juga diberikan amanah sebagai Ketua, Unit Pengkalan Data dan Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan (RRC) di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu. RRC yang ditubuhkan pada 2004 merupakan antara pusat penyimpanan spesimen marin yang terbesar di Malaysia (35,000 spesimen) dan diiktiraf oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta kerajaan Australia bagi aktiviti pinjaman spesimen marin. Spesimen yang disimpan di dalam RRC meliputi spesimen biologi, geologi, genomik dan paleontologi. Fungsi RRC adalah menguruskan spesimen marin yang disimpan dalam keadaan baik bagi kemudahan penyelidikan, dan pengajaran. Ini juga termasuk dengan pengurusan data bagi setiap spesimen yang berada di bawah tanggungjawab RRC. Spesimen yang disimpan di RRC adalah bukti fizikal kepada kekayaan sumber alam semula jadi Malaysia. Di peringkat antarabangsa, RRC merupakan wakil Malaysia bagi ‘Ocean Biodiversity Information System’ (OBIS) yang bernaung di bawah International Oceanography Data Exchange (IODE), UNESCO. Secara keseluruhannya, saya bersama-sama dengan pasukan kuratorial berperanan bagi memastikan RRC beroperasi dengan optimum di samping merancang hala tuju dan aktitviti bagi mencapai visi serta matlamat RRC. Antara aktiviti yang RRC telah jalankan adalah sesi praktikal bagi kursus akademik, bengkel taksonomi, pengurusan spesimen, penyediaan resin serta pameran di Galeri Penyelidikan INOS.

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?

Minat saya dalam bidang sains marin bermula semasa saya diberi peluang untuk mengikuti pelayaran bersama KLD Tunas Samudera pada tahun 1996. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian saya di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Biologi Gunaan pengkhususan Biologi Akuatik. Projek penyelidikan tahun akhir saya pada tahun 2002 adalah mengenai kepelbagaian siput di kawasan terumbu karang. Inilah kali pertama saya berpeluang menjalankan penyelidikan melalui selam Skuba. Kemudiannya, saya diberi peluang untuk melanjutkan pengajian sarjana sains (penyelidikan) di USM dan sarjana sains (kerja kursus) di University of Cape Town, (UCT) Afrika Selatan. Fokus penyelidikan sarjana di USM adalah berkaitan dengan tiram, manakala di UCT adalah berkaitan dengan ikan sardin di lautan Atlantik dan lautan Selatan (Southern Ocean). Saya juga sempat berkhidmat sebagai penerbit rancangan radio semasa di Cape Town. Antara rancangan radio yang saya telah terbitkan adalah ‘Nature and You’ yang banyak melibatkan isu-isu berkaitan dengan sains marin. Walaupun telah mempunyai ijazah sarjana daripada USM, minat saya yang mendalam dalam dunia akademik dan penyelidikan menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mendaftar bagi program sarjana sains (kerja kursus) di UCT. Ini bagi menguatkan pengetahuan asas serta terkini dalam bidang sains marin sebagai persediaan apabila pulang ke Malaysia. Tujuan utama saya berada di Afrika Selatan adalah menemani isteri saya yang menyambung pelajaran di peringkat PhD di UCT.

Sebaik menamatkan penyelidikan sarjana di UCT dan pulang ke Malaysia pada tahun 2010, saya telah menerima tawaran jawatan tutor di UMT dan pada masa sama, tawaran melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Putra Malaysia. Saya merasakan bahawa minat saya adalah menjurus kepada organisma dasar laut, justeru tumpuan kajian PhD saya adalah biologi dan ekologi cacing laut (polikita). Saya menamatkan pengajian pada tahun 2015 dan dilantik sebagai pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran (PPSMS) sebaik kembali bertugas di UMT. Pada tahun 2017, saya telah berpindah ke Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Secara umumnya, saya tidak menjadikan mana mana saintis sebagai idola. Sebaliknya saya suka untuk melihat perkara-perkara positif yang ada pada setiap saintis yang saya pernah jumpai dan dijadikan sebagai panduan dalam kerjaya saya. Ini kerana saintis juga adalah manusia, semestinya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Contohnya, dari segi penyeliaan pelajar, saya banyak mengikut cara yang diamalkan oleh penyelia saya semasa pengajian sarjana di University of Cape Town. Dari segi penyelidikan, ada pendekatan yang saya amalkan berdasarkan kepada pemerhatian saya ke atas rakan penyelidik malah juga daripada isteri saya sendiri kerana dia juga adalah seorang saintis. Namun, saya akan rasa sangat teruja apabila dapat berjumpa dengan saintis-saintis tersohor yang biasanya hanya dapat dikenali hanya daripada penulisan saintifik mereka. Bagi sesetengah orang, berjumpa dengan artis yang diminati adalah perkara yang sangat mengujakan, namun bagi saya perasaan itu hanya ada apabila berjumpa dengan saintis terkemuka dalam bidang saya. Alhamdulillah, saya dapat berjumpa dengan beberapa orang saintis terkemuka dalam penyelidikan berkaitan dengan cacing laut, dan perasaan semasa berjumpa, dan berbincang bersama adalah sangat mengujakan.

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Oleh kerana penyelidikan saya banyak melibatkan kerja di lapangan (fieldwork), saya banyak berdepan dengan situasi yang mencabar serta merbahaya. Namun, pengalaman menyertai ekspedisi laut dalam di tenggara Australia selama 42 hari memberikan banyak cabaran, pengalaman serta pengetahuan baru kepada saya. Ekspedisi laut dalam menggunakan kapal penyelidikan melibatkan kos yang sangat mahal, jadi setiap sampel yang berjaya dibawa naik adalah sangat berharga. Oleh kerana air di kedalaman 4000 m (4 km) adalah sekitar 4oC, maka air laut yang ada di dalam makmal atas kapal RV Investigator juga perlu disejukkan serendah mungkin.  sebelum sampel biologi di proses. Selain itu, untuk memaksimakan waktu operasi, para saintis dibahagikan kepada dua kumpulan syif, syif pertama bermula dari pukul 12 tengahari sehinga 12 tengah malam, syif kedua pula dari 12 tengah malam sehingga 12 tengah hari. Ini kerana kapal akan sentiasa bergerak selepas tamat pensampelan di sesuatu lokasi. Jadi ada ketikanya peralatan pensampelan diturunkan pada awal pagi (2-3 pagi) atau ada ketikanya ia naik ke atas kapal pada pukul 8 malam. Saya juga merupakan wakil tunggal Malaysia dan muslim di atas kapal tersebut dan menjalani hamper 75 peratus ibadah puasa bulan Ramadhan saya di atas kapal. Namun saya bernasib baik kerana diberi syif malam (12 tengah hari – 12 tengah malam), ini membolehkan saya berbuka puasa semasa dalam syif dan bersahur sebelum syif saya tamat. Walaubagaimanapun, pada hari pertama puasa, peralatan sledge naik atas kapal pada permulaan syif saya dengan membawa bersama 1 tan lumpur bercampur dengan spesimen. Saya bersama-sama dengan kumpulan syif saya bermandi lumpur sehinggalah tamat proses di atas dek yang memakan masa hampir 6 jam, menyebabkan saya terlewat berbuka puasa kira kira 2 jam lamanya.

Selain itu, pengalaman berkerja bersama-sama dengan saintis terkenal dari luar negara juga membolehkan saya mempelajari teknik-teknik terkini dalam bidang taksonomi serta pengurusan ekspedisi laut dalam. Misalnya, untuk pensampelan spesimen biologi pada kedalaman 4 km dari permukaan memerlukan perancangan teliti sebelum peralatan diturunkan, ini kerana peralatan tersebut adalah sangat mahal, dan oleh kerana jarak ke daratan adalah jauh, kerosakan serius pada alat tersebut hanya boleh diperbaiki selepas tamat ekspedisi dan ini boleh mengganggu kelancaran ekspedisi. Oleh itu, apabila sampai di lokasi pensampelan yang dicadangkan, perkara pertama yang akan dilakukan adalah dengan membuat pemetaan dasar laut menggunakan multibeam echosounder, ini bagi memastikan kawasan dasar laut tersebut sesuai untuk alat persampelan beroperasi dan tiada halangan seperti bukit atau batuan besar yang boleh merosakkan peralatan. Tambahan kepada rupa bentuk dasar laut, kekuatan arus di permukaan, dasar laut serta kelajuan dan arah pergerakan kapal juga perlu diambil kira bagi mengelakan peralatan berpusing atau terbalik sebelum sampai di permukaan dasar laut.

Oleh kerana faktor-faktor diatas, kabel yang disambungkan dengan peralatan persampelan mempunyai kepanjangan yang lebih. Untuk kedalaman 4000 m, kabel akan dilepas sepanjang 6 km! Tambahan pula, proses untuk menurunkan dan menaik semula peralatan penyempelan juga mengambil masa, biasanya satu jam diperlukan untuk menurunkan alat, satu jam lagi untuk persampelan dan 2 jam pula diperlukan untuk menaikan semula alat ini ke atas dek kapal. Kami boleh melihat dan mengikuti proses ini dari mula sehingga akhir di pusat kawalan operasi di tengah tengah kapal. Kadangkala mendebarkan bila alat pengesan mengesan tekanan luar biasa pada kabel penyambung disebabkan peralatan mungkin terlanggar sesuatu pada 4km di bawah permukaan laut.

Keterujaan akan bertambah apabila sampel mula diproses. Kesemua organisma yang dijumpai mempunyai rupa dan mempunyai adaptasi yang sangat unik. Ini kerana mereka hidup di habitat yang mempunyai tekanan yang sangat tinggi (umpama berat 27 ekor gajah berada di satu titik di badan kita), suhu air yang sangat sejuk dan dalam keadaan gelap gelita sepanjang masa.

Pengalaman menyertai ekspedisi ini banyak mengajar saya mengenai kekuasaan tuhan di samping daya tahan dan komitmen yang ditunjukkan oleh penyelidik luar.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Antara faktor-faktor yang menyebabkan saya ingin kekal menjalankan penyelidikan saintifik adalah peluang untuk menemui perkara-perkara baru, terutama dalam bidang penyelidikan saya, polikita. Selain itu, peluang untuk melihat ciptaan Allah di habitat yang unik seperti hutan bakau, terumbu karang serta lokasi yang tidak ramai berpeluang untuk pergi seperti kepulauan Layang-Layang serta pada kedalaman 4 km di dasar laut memberikan satu semangat keterujaan untuk terus kekal dalam bidang ini. Sebagai pensyarah, melihat pelajar saya membuat penyelidikan dan akhirnya berjaya menggengam segulung ijazah adalah satu kepuasan, di samping berpeluang untuk menyampaikan ilmu-ilmu pengetahuan terkini hasil daripada penyelidikan sendiri. Tambahan pula, ruang lingkup universiti yang dikelilingi golongan intelektual juga menyebabkan secara separa sedar kita akan sentiasa berfikir sebagai saintis. Sebagai saintis, tanggungjawab saya bukan sekadar menggali pengetahuan baru, tetapi juga bagaimana pengetahuan ini dapat membawa manfaat kepada agama, masyarakat, negara. Menjadi saintis sebenarnya menjadikan saya semakin yakin dengan kekuasaanNya. Saya juga bersyukur kerana pasangan hidup saya juga adalah seorang saintis, iaitu Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail. Jadi kami mudah berbincang, memberikan idea serta memberi motivasi serta cabaran antara satu sama lain.

Pengalaman paling menarik?

Pengalaman paling menarik saya alami adalah ketika menyertai International Polychaete Course di White Sea Biological Station (WSBS), Russia pada tahun 2011 selama 21 hari. Itu adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara Russia. Untuk ke stesen di mana kursus tersebut dijalankan, saya dan para perserta lain perlu menaiki kereta api selama 36 jam! Tapi perjalanan tersebut sangat menyeronokkan untuk saya kerana dapat melihat kawasan pendalaman Russia, ia seolah-olah membaca semula majalah National Geographic mengenai negara Soviet Union. Apabila sampai ke stesen kereta api terdekat, kami perlu pula menaik bas selama satu jam dan kemudian menaiki bot selama 1 jam lagi sebelum sampai ke WSBS yang terletak di sebuah pulau dalam Laut Putih (White Sea) di garisan Artik. Stesen ini yang diwujudkan pada 1938 merupakan salah satu stesen penyelidikan milik Moscow State University dan antara yang tertua di Russia. Semasa kursus ini dijalankan, saya berpeluang untuk membuat kajian lapangan serta meneroka pulau pulau di sekitar Laut Putih dan mengenali lebih dekat spesies spesies cacing laut yang sebelum ini hanya dikenali melalui pembacaan ilmiah.

Saya bertuah kerana dapat berjumpa dengan ramai saintis terkemuka dalam kajian cacing laut dan juga dengan para peserta yang kebanyakannya adalah pelajar PhD seperti saya ketika itu. Hasil daripada kursus ini telah memberi saya peluang untuk membentuk jaringan perhubungan dengan penyelidik luar negara yang banyak membantu saya dalam aspek penyelidikan dan pengajaran pada masa sekarang. Hasilnya, pada tahun 2018 salah seorang pelajar sarjana bawah seliaan saya telah berpeluang menjalani latihan sangkutan di WSBS selama 3 bulan.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Salah satu sikap yang perlu ada dalam bidang sains ini adalah ketabahan. Ini kerana semasa menjalankan aktiviti penyelidikan, kita tidak semestinya akan terus mendapat jawapan seperti mana yang kita harapkan. Begitu juga semasa dalam proses pembelajaran sebagai pelajar sarjana muda, sarjana sains dan kedoktoran. Biasanya kita akan belajar lebih banyak apabila melalui pelbagai cabaran. Justeru, apabila menghadapi cabaran, anggaplah ia sebagai satu cara untuk menjadikan anda lebih berjaya di masa hadapan. ‘If everything in your life is according to your wish or plan, something is wrong with your life’.

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?

Saya gemar aktiviti air seperti menyelam serta aktiviti luar seperti memanjat bukit dan berbasikal. Dalam tempoh pandemik COVID-19, saya mula beralih kepada berkebun dan menanam pokok bunga. Oh ya, membuat eksperimen resipi baru di dapur!

Mengambil gambar kawasan terumbu karang sebelum pengambilan spesimen bagi kajian kepelbagaian haiwan invertebrat di Pulau Redang, 2020
Bersama kumpulan penyelidik yang terlibat dalam ekspedisi laut dalam di tenggara Australia pada tahun 2017 menggunakan kapal RV Investigator
Memeriksa tulang tengkorak ikan paus yang dijumpai pada kedalaman 4000 m semasa ekspedisi laut dalam di tenggara Australia tahun 2017. Pada tulang ini spesies cacing laut dari genus Osedax telah dijumpai dan merupakan rekod pertama dari hemisfera selatan.
Menyambut hari lautan sedunia (World Ocean Day) di tengah-tengah lautan pada jam 12 tengah malam, 8 Jun 2017. Di belakang adalah alatan yang dipanggil Brenke sledge yang digunakan untuk mengutip sampel haiwan laut dalam yang bersaiz kecil.
Bersama ahli kumpulan semasa aktiviti lapangan di International Polychaete Course pada 2011.
Salah satu aktiviti persampelan cacing laut di kawasan bakau sekitar 2012. Spesies yang dijumpai merupakan baru dikenalp asti dalam sains dan mempunyai banyak potensi untuk dikomersilkan.
Setelah hampir sebulan tidak menjamah daging di Russia. Berpeluang menikmati makanan daging halal Tartar di sebuah masjid di Moscow pada 2011 sebelum kembali ke Malaysia.
Sambil menyelam minum air – percutian keluarga di Seoul, Korea Selatan di samping menemani isteri yang menghadiri persidangan saintifik pada 2016.
Ketika membentangkan hasil penyelidikan di 12th International Polychaete Conference, Cardif, United Kingdom pada 2016.
Berpeluang menyertai aktiviti berbasikal di Sydney semasa melakukan program sangkutan penyelidikan di Australian Museum pada 2011.
Bersama rakan-rakan sepengajian program sarjana sains (sains marin gunaan) di University of Cape Town pada 2009
Melawat salah satu stesen radio komuniti muslim di Port Elizabeth, Afrika Selatan pada 2008 semasa berkhidmat sebagai penerbit rancangan radio di Cape Town.

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.