10 Soalan Untuk Saintis : Dr. Mohd Uzair Rusli

Dr. Mohd Uzair Rusli
Ketua Makmal Penyelidikan Luar
Sea Turtle Research Unit, Universiti Malaysia Terengganu

Untuk temubual seterusnya dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr. Mohd Uzair Rusli. Beliau merupakan Ketua Makmal Penyelidikan  Luar di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu.

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Tumpuan penyelidikan sekarang ialah berkaitan memahami taburan anak penyu dan pembentukan populasi penyu yang berbeza di Laut China Selatan. Kajian ini bermula dengan penilaian guna tenaga anak penyu bagi menentukan potensi renangan mereka sebaik sahaja masuk ke laut. Penentuan nilai potensi renangan anak penyu ini seterusnya membantu kita untuk mendapatkan taburan serakan anak penyu di lautan dengan menggunakan model arus lautan.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Penyelidikan ini penting bagi memahami adakah proses pengeraman telur penyu untuk tujuan konservasi sekarang mampu menghasilkan anak penyu yang berprestasi tinggi. Diketahui bahawa dalam usaha menyelamatkan penyu yang dihambat arus kepupusan, kita cuba menghasilkan anak penyu dengan kuantiti yang banyak. Namun, dalam masa yang sama kita juga perlu menghasilkan anak penyu yang berprestasi tinggi bagi meningkatkan kebarangkalian mereka untuk terlepas daripada pemangsa ketika renangan awal.

Sesi rakaman dokumentari Simfoni Alam RTM 1 pada 2018.

Di mana tempat bertugas sekarang?

Saya kini bertugas sebagai Ketua Makmal Penyelidikan Luar di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. Tugas hakiki saya ialah mengetuai Sea Turtle Research Unit (SEATRU), iaitu sebuah unit yang ditubuhkan sejak tahun 1984 bagi membantu negara dalam usaha penyelidikan saintifik penyu bagi tujuan konservasi. SEATRU berperanan dalam menyokong Jabatan Perikanan Malaysia, iaitu agensi kerajaan yang bertanggung jawab dalam pemeliharaan penyu di negara ini untuk mencapai objektif Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu Malaysia.

Melakukan autopsy bagi mencari punca kematian penyu bersama sukarelawan Pusat Rujukan Dan Repositori Laut China Selatan, Institut Oseanografi dan Sekitaran.

Walaupun usaha penyelidikan konservasi penyu di negara ini telah bermula sejak 35 tahun dahulu, namun usaha sebelum ini banyak tertumpu kepada kajian dari aspek biologi gunaan semata dan seolah-olah meminggirkan soal sosio-ekonomi setempat. Justeru, satu pelan strategik telah dirangka untuk memperkembangkan aktiviti penyelidikan berkaitan penyu supaya tidak hanya tertumpu kepada satu cabang penyelidikan biologi semata tetapi turut mampu menterjemahkan hasil kajian untuk faedah sosio-ekonomi negara. Pihak pengurusan UMT komited dan telah memperuntukkan satu dana khas berjumlah RM 500,000 untuk menyokong usaha memperkembangkan penyelidikan dan merancakkan lagi aktiviti sosio-ekonomi berkaitan penyu di negeri Terengganu. Seramai lebih 30 orang tenaga pakar terlibat untuk memacu komuniti sekaligus mendokong aspirasi kementerian ‘Universiti untuk Masyarakat’.

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?

Saya mula mengikuti kumpulan penyelidik SEATRU sejak mula belajar di UMT pada tahun 2005 sebagai sukarelawan dan terlibat dengan usaha promosi mereka dalam meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan pemeliharaan penyu. Di sinilah saya mendapat aspirasi dari pengasas bersama SEATRU, Prof Chan Eng Heng dan Mr Liew Hock Chark. Seterusnya, pada tahun 2009 saya terlibat secara aktif sebagai penyelidik siswazah di SEATRU yang ketika itu diketuai oleh Prof Madya Dr Juanita Joseph. Saya banyak belajar soal pengurusan SEATRU yang mempunyai tiga aktiviti teras utama; (i) Pemeliharaan Penyu, (ii) Penyelidikan Saintifik, dan (iii) Mendekati Masyarakat.

Bersama rakan penyelidik, Dr Takahiro Shimada mengikuti latihan konservasi penyu di Mon Repost, Australia pada 2010

Sebaik menamatkan penyelidikan sarjana di UMT, saya menerima tajaan daripada pihak kementerian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di The University of Queensland, Australia pada tahun 2012 dengan fokus kajian dalam bidang fisiologi haiwan. Saya menamatkan pengajian pada tahun 2016 dan dilantik sebagai pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran (PPSMS) sebaik kembali bertugas di UMT.

Bersama rakan pensyarah UMT ketika upacara konvokesyen

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Jujur saya tidak pernah mengikuti secara spesifik mana-mana tokoh sains dan seterusnya menjadikan mereka sebagai idola. Walau bagaimanapun, saya mempunyai kecenderungan untuk membaca buku-buku autobiografi, dari tokoh sukan, politik, keusahawanan, keagamaan, nasionalis dan banyak lagi. Saya percaya minat inilah yang membantu saya dalam membina ‘world view’ yang lebih luas dan tidak terlalu terikat kepada mana-mana tokoh atau idealogi.

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Paling mencabar ialah apabila saya menerima cabaran daripada penyelia PhD untuk mencari suatu kelainan dan menjadi diri sendiri. Beliau mengatakan jika saya mahu menjadi saintis berkaitan penyu, sudah ada beribu-ribu penyelidik di dunia ini, dan saya perlu sedar saya datang dari negara membangun dan sudah pasti cabarannya besar dan sukar hasil kajian kita mendapat perhatian dan berimpak tinggi. Justeru, beliau menyarankan saya untuk membuka satu cabang penyelidik yang baharu supaya kita akan menjadi peneraju dan bukan sekadar selesa menjadi pengikut di dalam sains.

Ketika itulah saya mendapat ilham untuk membuktikan satu teori klasik di dalam biologi penyu iaitu tingkah laku mudah cara sosial (social facilitation) dalam pergerakan anak-anak penyu keluar daripada sarang. Proses pergerakan daripada sarang berlaku di dalam tanah, dan inilah cabaran sebenar iaitu bagaimanakah untuk mengukur jumlah tenaga mereka. Ilham daripada minat menonton sukan berbasikal ‘Tour de France’ dan saya aplikasikan teori formasi pergerakan pelumba basikal untuk menjimatkan tenaga kepada penjimatan tenaga anak penyu untuk menggali keluar daripada sarang. Alhamdulillah saya menerima banyak sokongan daripada rakan penyelidik di Australia dan Malaysia dalam pembinaan sistem mengukur tenaga anak penyu ini dan hasilnya saya telah dijemput sebagai ‘keynote speaker’ di International Sea Turtle Symposium di Turkey dan mendapat liputan meluas daripada penerbitan sains popular pada tahun 2015/2016 kerana berjaya membuktikan penjimatan tenaga bagi teori klasik dalam biologi pergerakan anak penyu.

Teori Mudahcara Sosial (Social Facilitation) telah berjaya dibuktikan melalui penerbitan pada tahun 2016. Dapatan kajian turut mendapat perhatian daripada majalah sains popular, New Scientist.
https://www.newscientist.com/article/2088892-why-baby-turtles-work-together-to-dig-themselves-out-of-a-nest/

Pengajaran yang boleh diambil ialah, dalam fasa pembinaan sistem dan kaedah saintifik ini, kita tidak boleh nafikan bahawa kita memerlukan banyak sokongan dari orang sekeliling. Tidak semestinya golongan professor semata, tetapi saya amat bertuah kerana dikelilingi oleh pegawai sains dan pembantu makmal yang mempunyai minat yang mendalam dan sentiasa bersedia untuk berkongsi idea-idea kreatif mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Dalam penyelidikan ini, kita sentiasa menemui perkara-perkara baharu dan ini memberikan kita satu keseronokan untuk terus menerokanya. Tidak dinafikan juga, apabila kita dikelilingi oleh rakan-rakan dan pihak pengurusan yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada idea-idea baharu kita. Isteri saya juga secara berseloroh pernah berkata, mengenali saya menyebabkan otaknya sentiasa diasak dengan banyak persoalan dan teori. Jadi saya merasakan bertuah kerana mempunyai pasangan yang sentiasa positif dan sentiasa bersedia melayani pelbagai persoalan di dalam minda saya, mungkin kerana beliau juga merupakan seorang pensyarah dan penyelidik di UMT di dalam bidang Ekologi Marin, Dr Maizah M. Abdullah.

Pengalaman paling menarik?

Ketika ini SEATRU secara bersama telah membina sebuah makmal berkonsep terbuka di The Taaras Beach and Spa Resort di Pulau Redang. Ini merupakan satu projek usahasama apabila pengasas dan pemilik Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan menawarkan bantuan kepada SEATRU dalam usaha pemeliharaan penyu. Pada peringkat awal, saya menyatakan aspirasi saya adalah untuk meningkatkan usaha penyelidikan penyu di negara ini supaya usaha konservasi yang dilakukan berasaskan pemahaman sains yang kukuh. Ini penting kerana kita tidak mahu sejarah kelam Penyu Belimbing berulang kembali apabila kita tidak mengeramkan telur mereka dengan kaedah yang betul yang menghasilkan nisbah jantina anak penyu yang tidak optimum kepada pemuliharaan populasi.

Eksperimen anak penyu di dalam makmal menjadi tumpuan pelancong di The Taaras Beach and Spa Resort.

Selepas beberapa perbincangan, maka terhasillah idea untuk membina makmal fisiologi penyu di tengah lobi resort bukan sahaja untuk penyelidikan tetapi menjadi daya penarik yang baharu. Ini kerana stesen penyelidikan penyu UMT di Pulau Redang mempunyai kekangan kapasiti elektrik dan sedikit mengganggu momentum aktiviti penyelidikan saintifik.  Projek inovasi sosial yang mengangkat tema ‘Menghubungkan Sains dan Masyarakat’ (Public Viewing Lab: Bridging Science and Society) yang telah memenangi Anugerah Khas Juri dan Pingat Emas pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI 2019) ini telah berjaya menarik  sejumlah 2,800 orang pengujung dari 36 buah negara pada tahun pertama dilancarkan 2018 lalu. Selain itu, aktiviti makmal turut merangsang para penyelidik dari luar negara seperti Kyoto University, Japan dan The University of Queensland, Australia dalam kerjasama penyelidikan.

Dijemput ke Kyoto University, Jepun untuk berkongsi dan membangunkan penyelidikan tindak balas bunyi di dalam sarang penyu pada tahun 2018.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Jangan takut untuk bertanya dan mencabar idea. Mencabar atau menyanggah pendapat bukan bererti tidak menghormati. Jadi kita perlu berani untuk bertanya dan mempertahankan pendapat apabila berbincang soal idea.  Dengan mencabar idea inilah kita akan bergerak maju untuk mendapatkan banyak penemuan dan ilmu-ilmu baru di dalam sains. Jika tidak, kita akan sentiasa menjadi pengikut di dalam sains.

Anak-anak Pulau Redang yang kerap berkunjung ke Stesen Penyelidikan UMT untuk meningkatkan pemahaman sains alam semulajadi

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?

Saya gemar berbasikal di jalanraya dan bertuah duduk di Terengganu ini yang mempunyai ramai kumpulan berbasikal untuk berkayuh dan beriadah bersama.

Hobi santai di hujung minggu berkayuh dari Kuala Terengganu ke Merang melalui jalan pantai sejauh 50km pergi dan balik.

Kredit Foto : Freepik

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.