10 Soalan Untuk Saintis Malaysia: Dr. Jayaraj Vijaya Kumaran

Dalam siri ketiga Kenali Saintis Malaysia kali ini, kami menemubual Dr . Jayaraj Vijaya Kumaran pensyarah kanan Fakulti Sains Bumi dari Universiti Malaysia Kelantan.

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Ada 3 tajuk penyelidikan yang saya sedang fokus sekarang

1) Hubungkait antara ketinggian kanopi hutan dan kepelbagaian mamalia,
2) mMetagenomik dalam tinja haiwan liar dan
3) Evolusi dan kkepelbagaian tupai terbang di Malaysia.

Kerja lapangan di Merapoh, Pahang. Dari kiri: Isham Azhar, Ean Wee Chen, Zaharil Dzulkafly

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Saya sebagai saintis yang meminati penyelidikan fundamental lebih gemar penyelidikan berteraskan pencarian ilmu tetapi setiap penyelidikan yang saya senaraikan ada kepentingannya bagi masyarakat. Bagi projek hubungkait antara ketinggian kanopi hutan dan kepelbagaian mamalia, hasil kajian diharap dapat menyedarkan masyarakat terutamanya agensi kerajaan bahawa penanaman semula hutan selepas pembalakan tidak dapat mengembalikan kepelbagaian haiwan yang sedia ada.

Penyelidikan metagenomik dalam tinja haiwan liar meneroka pelbagai aspek ekologi haiwan yang dikaji dan boleh membantu dalam pemuliharaan haiwan liar tersebut. Penyelidikan tupai terbang adalah kerjasama saya dengan penyelidik dari India untuk meneroka ilmu baru mengenai evolusi dan taburan haiwan ini di Semenanjung Malaysiadan seterusnya membantu dalam pemuliharaan mamalia kecil ini.

Tikus buluh salah satu haiwan liar yang tinjanya dikaji dalam penyelidikan metagenomik.

Di mana tempat bertugas sekarang? (Kumpulan penyelidikan, institusi, makmal, kolaborasi)

Saya kini bekerja sebagai pensyarah kanan di Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan dan juga merupakan ahli penyelidik bersekutu di dua pusat kecemerlangan di institusi yang sama. Saya juga merupakan penyelidik bersekutu di Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik/penyelidikan?

Saya mula menunjukkan minat dalam bidang Sains sejak kecil lagi. Pada tahun kedua pengajian ijazah pertama, saya telah memutuskan bahawa kerjaya sebagai saintis/pensyarah sesuai dengan apa yang saya inginkan. Maka dengan itu selepas selesai pengajian BSc di UNIMAS saya meneruskan pengajian di peringkat MSc di universiti yang sama. Saya menyambung pengajian PhD saya di USM selepas bekerja selama dua tahun di UCSI University dan setahun di UMK.

Hari terakhir saya berkhidmat di UCSI University. Pameran poster di persidangan Geosains tahun 2014

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Saya tiada idola, kerana saya berpendapat jika kita mengidolakan seseorang kita mungkin akan terperangkap dengan perlakuan taksub. Tetapi saya ada beberapa mentor yang saya sanjungi, terutamanya Professor Dato’ Mohd Tajuddin Abdullah. Beliau merupakan mentor saya semenjak BSc lagi dan saya banyak merujuk dan bekerjasama dengan beliau dalam pelbagai projek penyelidikan berkaitan genetik dan mamalia kecil. https://scholar.google.com/citations?user=ylnvJSAAAAAJ&hl=en

Saya juga pernah berjumpa dengan beberapa orang yang saya kagumi dalam bidang penyelidikan mamalia kecil dan yang paling saya ingat ialah Professor Dr Kristofer Helgen. Beliau nampak muda tetapi sudah mengkaji lebih 100 mamalia sepanjang kariernya https://scholar.google.com/citations?user=IoWM6ggAAAAJ&hl=en

Di kalangan rakan seperjuangan, saya amat menghormati kawan saya Dr Faisal Ali Anwarali Khan kerana “people skill” dia yang tinggi menyebabkan ramai orang suka bekerjasama dengan beliau. https://scholar.google.com/citations?user=ixYED2wAAAAJ&hl=en 

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Pengalaman semasa MSc dan PhD mengajar saya dua perkara, (1) kita perlu ada rakan seperjuangan dan (2) sesetengah perkara boleh diselesaikan jika kita meminta bantuan, walaupun banyak perkara yang perlu dilakukakn bersendirian. Setakat ini perkara paling mencabar ialah ketika menyelesaikan PhD disamping tugas harian mengajar kerana tiada siapa yang boleh membantu saya pada masa tersebut. Disiplin dalam menyiapkan tesis perlu kental dan perlu banyakkan bersabar. Saya amat bernasib baik kerana penyelaras program Dr. Nazahatul Anis pada masa itu amat memahami keperluan masa saya dan membantu dalam pembahagian tugas.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam bidang penyelidikan?

Banyak sebab. Ataranya ialah keseronokan apabila kita melakukan penemuan baru, pelajar bawah seliaan saya yang berjaya menerbitkan penyelidikan mereka, rakan seperjuangan dan sendiri berjaya mendapat anugerah dan juga kegembiraan mendapatkan geran penyelidikan. Ini semua antara penyebab saya masih bertahan dan seronok menjalankan penyelidikan.

Saya dengan ahli kumpulan penyelidik mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2016. Dari kiri: Cik Nivaarani Arumugam, Dr Suganthi Appalasamy, saya, Dr Boon Jia Geng. Bersama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK setelah mendapat pingat perak dalam pameran inovasi.

Pengalaman paling menarik? (Zaman belajar, penyelidikan, kolaborasi etc)

Kalau hendak senaraikan semua memang dah boleh tulis buku. Saya ingin berkongsi salah satu jenaka semasa kami membuat kerja lapangan. Nama asal ditukar untuk kerahsiaan identiti. Pada tahun 2014, saya dengan rakan saya Isham, pembantu lapangan En Bob dan Encik Kalimuthu pemandu kenderaan pergi ke kawasan Tasik Kenyir untuk kerja lapangan pensampelan mamalia kecil. Sambil memasang jaring kabut (jaring kelawar) dan perangkap tikus, kami juga memerhati mamalia besar yang ada di kawasan tersebut. Kami ada juga memasang jaring kabut di pokok pisang yang berada di tepi jalan untuk menangkap cecadu pisang. Kami juga menjumpai banyak mamalia besar kebanyakannya babi hutan dan musang pandan pada malam pertama tetapi kemuncaknya ialah kami ternampak beruang matahari sedang menyeberang jalan. Pada malam kedua, saya pun bergurau dengan Bob (bergurau tetapi dengan nada tegas), saya berkata

“Bob, kalau kita jumpa beruang tersebut lagi kita kena tangkap beruang tu”. Bob pun bertanya, “macam mana nak tangkap beruang tu”. Aku pun menjawab, “nanti bila kita nampak beruang tu lagi, hang turun peluk beruang tuu, aku kat belakang mai dengan parang akan tetak beruang tuu, tapi hang kena pegang ketat la beruang tuu jangan kasi lari” Isham pun menjawab, “ya aku sokong, kita belum ada sampel beruang”. Bob pun diam saja dan kami meneruskan perjalanan dalam van sambil menyuluh jaring kabut yang dipasang tepi jalan. Tetiba saya ternampak cecadu pisang terperangkap dijaring kelawar dan saya menjerit “ada ada ada sampel”. Dengan laju Encik Kalimuthu memberhentikan van. Saya pun turun daripada van seperti pasukan gempur terus mengambil sampel kelawar saya. Isham pula turut sama turun seperti skuad gempur. Bob yang masih keliru turun dari van secara gelisah dan bertanya “mana beruang??”. Aku pun bilang “Ada sampel kelawar Bob”. Kami semua ketawa kerana tidak menyangka Bob bergitu serius mendengar arahan saya dan memang bersedia memeluk beruang. En Bob masih berkhidmat dengan USM dan antara staf USM yang amat dedikasi dalam kerjanya.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Sains menjadi lebih menarik apabila anda menjalankan ujikaji untuk membuktikan sesuatu. Bagi yang masih tercari-cari jalan untuk memulakan projek sains anda, sebenarnya banyak eksperimen kecil yang boleh dibuat di rumah dan tidak memerlukan belanja yang banyak. Banyak pula maklumat yang ada di internet yang boleh dicari sebagai panduan memulakan projek-projek ini.  Berkawanlah di forum dan facebook groups yang berkaitan untuk mendapatkan ilmu dan bertukar pendapat berkaitan projek sains berikut. Ramai juga pensyarah yang berminat dan berkongsi ilmu dalam forum sebergini.

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?

Banyak juga hobi saya, dulu suka main pasang Gundam, tapi sekarang saya banyak meluangkan masa dengan motosikal berkuasa tinggi, dan selalu pergi ke litar sepang untuk melepaskan gian menunggang motorsikal laju. Gambar ini diambil oleh jurugambar pada tahun lalu. Saya juga gemar melukis dan memasak pada masa lapang.

Melepaskan gian di Sepang International Circuit (SIC). Terlibat sebagai crew dalam perlumbaan Pirelli Malaysia Superbike Championship.

439total visits,439visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.