Oleh: Prof Madya Dr Shahrul Kadri Ayop,
Jabatan Fizik
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Dalam siri kelima Kenali Saintis Malaysia kali ini, kami membawakan temubual singkat bersama Prof Madya. Dr Shahrul Kadri Ayop. Beliau bertugas sebagai pensyarah fizik di Universiti Pendidikan Sultan Idris UPSI.Sejak April 2018 hingga Mac 2019, beliau dijemput sebagai Specially Appointed Associate Professor di Makmal Fotofizik, Institut Penyelidikan Sains Elektronik, Universiti Hokkaido, Jepun.

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Kajian tumpuan saya ialah mikromanipulasi optik, khususnya penggunaan penyepit optik.

Penyepit optik adalah alat untuk memanipulasi objek bersaiz mikro atau lebih kecil tanpa sentuhan mekanikal menggunakan laser terfokus.

Selain, itu saya juga menjalankan kajian pendidikan fizik seperti penghasilan alat bantu mengajar, pengukuran salah konsep fizik dan reka bentuk pembelajaran fizik.

FOTO 1: Menyelenggara penyepit optik di UPSI.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Aplikasi penyepit optik belum lagi mencapai tahap komersial.

Namun begitu beberapa syarikat sudah mula menjual penyepit optik bagi tujuan penyelidikan.
Sebelum ini, penyepit optik perlu dibina secara modular oleh penyelidik sendiri.

Antara kegunaan penyepit optik ialah pengukuran mikroheologi bahan dan manipulasi sel biologi.

Terkini, penyepit optik dilaporkan berupaya memegang sel darah merah yang mengalir dalam kapilari pada telinga tikus secara in-vivo. Ini membuka dimensi baru bagi alternatif rawatan perubatan tanpa pembedahan pada masa depan.

Penyepit optik juga menawarkan kaedah mikropembuatan industri alternatif bagi pembentukan kristal, filem tipis dan bahan lembut.

Di mana tempat bertugas sekarang? (Kumpulan penyelidikan, institusi, makmal, kolaborasi)

Kini, saya merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fizik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dari April 2018 hingga Mac 2019, saya dijemput sebagai Specially Appointed Associate Professor di Makmal Fotofizik, Institut Penyelidikan Sains Elektronik, Universiti Hokkaido, Jepun.

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik/penyelidikan? 

Saya bermula dalam dunia akademik setelah menyertai UPSI sebagai tutor pada 2002, sesudah bergraduat Ijazah Pertama dari Universiti Teknologi Malaysia.

Seterusnya, pada 2005 saya memperoleh Sarjana Sains dari Universiti Leipzig Jerman, di mana saya mula mengenali kajian berkaitan penyepit optik.

Pada 2011, saya lulus PhD dari Universiti Hokkaido Jepun.

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Setakat ini tiada idola khusus yang saya temui. Saya masih mencari idola yang bukan sahaja boleh diikuti dari segi kejayaan  aktiviti sainsnya, malah cara kehidupan yang boleh dicontohi.

Namun begitu, saya mengkagumi beberapa tokoh berlatarbelakangkan sains seperti

  1. Tun Dr Mahathir Mohamed – Siapa yang tidak kenal?
  2. Angela Merkel – Canselor Jerman yang berkelulusan Kimia Kuantum dan seorang wanita.

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

*Penyelidikan

Pengalaman paling mencabar saya adalah ketika menjalankan PhD.

i- Pada asalnya kajian menumpukan kepada pengesanan tekanan sinaran daripada cahaya berkeamatan tinggi. Selama 2 tahun, apa yang dikesan bukanlah apa yang dicari. Lalu kajian saya bertukar topik kepada kesan fototerma pada tahun terakhir.

ii-Sistem laser yang saya gunakan rosak menyebabkan kajian saya tergendala selama 6 bulan.

iii-Pada Mac 2011, Sendai di Jepun dilanda tsunami dan loji nuklear Fukushima mengalami kebocoran. Sesi viva PhD saya telah dijadualkan 3 hari selepas kejadian itu. Saya sangat panik kerana risau sesi viva saya akan dibatalkan sedangkan tempoh cuti belajar saya hanya berbaki sebulan. Beberapa Universiti di Jepun telah ditutup operasi. Dalam masa yang sama isteri saya sarat mengandung 7 bulan anak ke-2 ketika itu. Semua orang cemas. Bekalan beras dan air mineral di pasar raya habis kerana orang ramai risau akan pencemaran radioaktif iodin dalam bekalan air. Dalam masa saya menyiapkan slaid persembahan viva saya beberapa jam selepas tsunami, gegaran susulan dirasai. Teringat-ingat saya air dalam cawan di sebelah komputer saya berkocak-kocak. Dalam fikiran saya “apa nak jadi, jadilah.. moga dipermudahkan viva saya, dan saya balik dengan status tamat PhD, keluarga saya selamat”.

Alhamdulillah segalanya selesai. Bila mengenang kembali saat-saat menjalani PhD tersebut, perasaan seriau kembali dirasa. Semoga sahabat-sahabat yang sedang melalui PhD tabah menjalani perjalanan solo ini dengan jayanya.

FOTO 2: Bersama anak sulung di salah satu padang tanaman shibazakura di Hokkaido, ketika melanjutkan pelajaran PhD.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Saya mengaku ada kalanya saya berputus asa atas sebab-sebab tertentu dalam halangan dan cabaran menjalankan penyelidikan saintifik.
Sebagai pensyarah, penyelidikan adalah salah satu daripada portfolio tugas yang diamanahkan.

Saya lebih cenderung dan minat kepada portfolio pengajaran.

FOTO 3: Bersama mahasiswa UPSI menganjurkan sambutan mini Tahun Cahaya Antarabangsa 2015.


Pengalaman paling menarik? 

Pada 2012, pasukan yang saya ketuai berjaya memenangi Program Inovasi Penyelidikan Sains Mikrograviti Peringkat Universiti 2012 anjuran Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dengan kerjasama Japan Aerospace and Exploration Agency (JAXA). Dengan itu, kami layak merealisasikan cadangan penyelidikan kami iaitu Penimbang Semesta dalam suasana mikrograviti melalui penerbangan parabolik di Nagoya Jepun. Kami diberi tempoh masa 4 bulan untuk mempersiapkan peralatan ujikaji kami dengan pelbagai kekangan dalam pesawat seperti ruang ujikaji yang sempit, pematuhan piawaian elektronik, pergerakan pengkaji yang terhad dan tempoh masa ujikaji yang singkat kurang 20 saat! Pengalaman berkerjasama dengan pelbagai agensi dan melibatkan ramai penyelidik ini memberikan satu pengalaman yang amat bermakna.

Pada 2013, pasukan saya sekali lagi memenangi Program tersebut berbekalkan pengalaman tahun sebelumnya.

FOTO 4: Bersama pasukan dari Thailand dan Jepun bagi Program Penyelidikan Mikrograviti Melalui Penerbangan Parabolik di Nagoya, Jepun.

Montaj Perjalanan Program 2012 https://youtu.be/zT-TCbI1ong
 dan Montaj Perjalanan Program 2013 https://youtu.be/em1GxDeeQUI

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Jangan sempitkan bidang sains.

Kerjaya masa depan mungkin memerlukan anda mengintegrasikan pelbagai bidang..

Contohnya:

  1. Muzik – komposisi frekuensi bunyi berbeza menghasilkan gubahan rentak menarik
  2. Agama – pada kita Al-Quran terkandung sains yang menjelaskan ciptaanNYA
) linguistik – teknologi pengecaman suara yang membolehkan alih bahasa semerta

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’? 

Saya suka melayari internet. Sifat ingin tahu saya agak tinggi. Jadi, apabila sesuatu terlintas di fikiran, saya membuat carian di internet. Pencarian itu tidak terhad kepada sains dan ia membawa saya kepada bacaan pelbagai perkara melalui internet.

Selain itu, saya suka merayau-rayau di pasar raya dan membelek-belek bahan jualan.

FOTO 5: Melepak melayari internet di hadapan Bangunan Bata Merah Pentadbiran Hokkaido

Lawati http://www.kadri.my untuk mengikuti blog aktiviti dan perkembangan Dr Kadri.

9total visits,9visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.