Prof Dr Norbahiyah Misran
Pengerusi
Pusat Kejuruteraan Elektronik & Komunikasi Terkehadapan (PAKET)
Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dalam siri Kenali Saintis kali ini kami memperkenalkan Prof Dr Norbahiyah Misran yang kini berkhidmat di Universiti kebangsaan Malaysia. Dalam siri yang lalu kami telah menemubual Prof Madya Dr Airil Yasreen, Dr. Adlyka Annuar dan Dr. Jayaraj Vijaya Kumaran 

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Saya dan rakan kumpulan penyelidikan terlibat dalam rekabentuk antena. Kami banyak terlibat dalam rekabentuk antena untuk sistem komunikasi dan sistem pengurusan penjagaan kesihatan. Diantaranya adalah untuk aplikasi dalam sistem satelit nano, dalam sistem RFID, untuk pengesanan awal tumor, sistem terintegrasi sel suria dan sebagainya.

Bersama collaborator dari Jepun, dalam Makmal Pengukuran Medan Dekat (Near Field Measurement Lab). Instrument berwarna biru kuning itu digunakan untuk mengukur prestasi peranti RF yang direkabentuk.
Di Makmal Gelombang Mikro bersama penyelidik dan kolaborator dari UDE, Prof. Solbach. Dalam kabinet di belakang adalah beberapa prototaip antena yang telah dibangunkan.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Antena tatasusun pantulan contohnya boleh menggantikan antena parabola yang besar dan melengkung. Antena tatasusun pantulan mempunyai permukaan rata dan boleh diintegrasi dengan panel sel suria yang juga rata bagi meringkaskan fizikal peranti.

Komunikasi merupakan asas perhubungan antara manusia, dan antara benda-benda di sekeliling kita. IoT sebagai teknologi terkini menjadikan peranti pengesan/sensor sebagai tulang belakang dan antena merupakan salah satu pengesan/sensor dalam sistem tersebut yang berasaskan gelombang elektromagnet.

Di mana tempat bertugas sekarang? (Kumpulan penyelidikan, institusi, makmal, kolaborasi)

Saya bertugas di Makmal Teknologi Gelombang Mikro, Pusat Kejuruteraan Elektronik & Komunikasi Termaju (PAKET), Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, UKM.

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik/penyelidikan?

Saya mula terlibat dalam penyelidikan apabila menjalani pengajian peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Komunikasi di The Queen’s University of Belfast, Northern Ireland, UK. Saya tamat pengajian PhD pada bulan Jun 2004 sewaktu berusia 28 tahun.

Sekembalinya saya dari UK, saya menyertai kumpulan penyelidikan Allahyarham Prof. Madya Dr. Zainol Abidin Abdul Rashid di Makmal Gelombang Mikro UKM. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada Oktober 2006. Semenjak itu, saya diberi kepercayaan oleh fakulti untuk meneruskan legasi beliau di makmal tersebut.

Ketika itu saya terpaksa cepat belajar untuk mengurus penyelidikan dan tuntutan-tuntutannya serta memimpin sekumpulan pelajar seliaan, tanpa saya sendiri mempunyai cukup pengalaman. Ia satu pengalaman yang hebat. Saya banyak belajar dari kesilapan-kesilapan yang dilakukan, dan tekanan yang saya hadapi pada fasa ini membantu saya menguasai pelbagai kemahiran terutamanya kemahiran pengurusan stres dengan lebih baik.

Menerima cenderahati dari penyelia, Dr Robert Cahill pada hari terakhir di QUB.

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Saya tiada idola tertentu yang menjadi sumber inspirasi kerana saya mengkagumi kesemua saintis ilmuan Islam zaman terdahulu. Mereka menjadi pelopor dalam banyak asas-asas sains sekarang. Apa yang mengkagumkan ialah mereka ini adalah pakar dalam lebih daripada satu cabang ilmu sains dan pada masa yang sama mereka juga menguasai ilmu-ilmu penting lain. Ibnu Sina contohnya, seorang pakar perubatan tapi turut menguasai bidang seperti astronomi dan falsafah malah muzik dan syair. Begitu juga cendekiawan-cendekiawan Islam silam yang lain.

Saya mengkagumi mereka kerana penguasaan ilmu mereka yang padu, tanpa bantuan teknologi yang hebat seperti sekarang. Saya dapat merasakan kebergantungan tinggi mereka kepada Allah SWT agar dikurniakan ilmu yang bermanfaat. Inilah menifestasi kehambaan mereka bahawa kita sangat memerluan kekuatan dari Allah untuk menjalankan tugas sebagai khalifah di dunia ini.

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Pengalaman menyelia pelbagai latarbelakang pelajar dalam penyelidikan dan pengajaran sangat mencabar terutama pelajar dari luar negara. Budaya, bahasa serta cara komunikasi yang berbeza boleh menyebabkan perselisihan faham di antara para pelajar dan juga dengan penyelia. Pada waktu itu saya belum mahir dan telah melakukan beberapa kesilapan dalam mengendalikan perkara sebegini sehingga pernah menyebabkan pelajar berhenti belajar dan tidak bergraduat. Saya masih menyesali peristiwa tersebut sehingga kini.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Saya bertahan atas rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara terhadap ilmu yang dipinjamkan-Nya. Lebih dari itu saya sebenarnya adalah pihak yang memperoleh manfaat dalam penglibatan ini. Penyelidikan saintifik mengajar saya cara berfikir (dan berperasaan) yang betul yang membantu saya menjalani kehidupan dengan lebih tersusun dan terpandu.

Saya berpengalaman berada di Antartika sebagai sebahagian dari aktiviti penyelidikan. UKM mempunyai stesen penerima GPS di Scott Base, Antartika. Data isyarat gelombang radio dari sistem penerima GPS tersebut kemudiannya diproses untuk memahami beberapa fenomena perambatan gelombang radio di kutub selatan dan melihat perkaitannya dengan fenomena bumi. Antartika adalah benua paling sejuk di dunia,  tidak ada penduduk yang tinggal di sana kecuali mereka yang menjalankan penyelidikan atau melakukan aktiviti pemantauan. Saya perlu memiliki fizikal yang kuat dan emosi yang stabil untuk berada di kawasan beriklim ekstrem.

Pemandangan indah di Antartika.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Remaja hendaklah fokus dan berjiwa besar dalam menimba ilmu. Remaja mesti mempunyai iltizam untuk menyumbang kepada pengembangan ilmu. Jiwa besar maksudnya jiwa yang tahan ujian, jiwa yang bercita-cita besar, jiwa yang merendah diri tetapi keyakinan kepada Allah yang tinggi, jiwa yang berfikiran positif dan optimis, jiwa yang tidak terkesan dengan remeh-temeh kehidupan. Remaja mesti membina jati diri yang utuh, mempunyai prinsip hidup yang benar, yakin dengan keupayaan yang Allah anugerahkan kepadanya dan tidak leka dengan hiburan keduniaan.

Pesanan terakhir saya kepada remaja, hendaklah kita bersikap haloba terhadap ilmu dan mahu menjadi di antara mereka yang memandu dunia. Kita tidak mahu sekadar jadi penonton kepada perubahan dan perkembangan dunia ini. Islam adalah agama yang mendorong umatnya untuk belajar dari sejak dari alam buaian hingga ke liang lahad. Remaja adalah masa depan umat.

Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?

Hobi saya sederhana sahaja iaitu membaca. Di fakulti, saya bersama beberapa rakan (kami gelar DOKTOR PAKAR BEDAH BUKU) akan bertemu secara berkala dan akan membedah buku-buku di luar bidang penyelidikan kami seperti buku tentang isu Islam Liberal, lanskap ekonomi negara, sejarah negara dan situasi politik Malaysia.

Saya juga terlibat dalam aktiviti NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menganjurkan program-program untuk masyarakat atau berjumpa pelajar-pelajar memberikan motivasi.

Apabila stres atau rasa hidup terlalu mendatar, saya suka menyusun semula perabot di rumah atau pejabat bagi mendapatkan suasana baru.

Bersama Wanita ISMA sebagai penganjur program untuk masyarakat.

  Terima kasih Prof. Semoga terus cemerlang dunia dan akhirat.

14total visits,10visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.