10 Soalan Untuk Saintis Malaysia: Prof. Madya Dr. P. Susthitha Menon

Prof. Madya Dr. P. Susthitha Menon

Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?

Penyelidikan yang sedang giat saya lakukan sekarang ialah mengenai pengesanan bahan buangan buah pinggang menggunakan pendekatan optikal dan elektrikal iaitu resonan plasmon permukanan berasaskan Kretschmann dan elektrokimia (ECKSPR). Saya juga mempunyai kepakaran dalam pembangunan peranti-peranti optoelektronik seperti laser, modulator, sel suria, dan diodfoto. Beberapa penerbitan terbaik yang pernah saya hasilkan selama melakukan penyelidikan di UKM adalah seperti berikut:

 

  • Menon, P. S., Said, F. A., Gan, S.M., Berhanuddin, D. D., Umar, A. A., Shaari, S. & Majlis, B. Y.. 2018. Urea and creatinine detection on nano- laminated gold thin film using Kretschmann- based surface plasmon resonance biosensor. PLoS One 13(7): 1–14.
  • Said, F. A., Menon, P. S., Rajendran, V., Shaari, S. & Majlis, B. Y. 2017. Investigation of graphene-on-metal substrates for SPR-based sensor using finite-difference time domain. IET Nanobiotechnology 11(8): 981–986.
  • Menon, P.S., Kandiah, K., Ehsan, A.A., Shaari, S. 2011. Concentration-dependent minority carrier lifetime in an In 0.53Ga0.47As interdigitated lateral PIN photodiode model based on spin-on chemical fabrication methodology. International Journal of Numerical Modelling: Electronic Networks, Devices and Fields, 24 (5), pp. 465-477
Saya bersama-sama penyelidik dan pelajar dari Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) yang telah menghantar pelajar untuk sangkutan penyelidikan dalam bidang EC-SPR di IMEN, UKM di bawah seliaan saya. Gambar ini diambil di Makmal Nanofotonik dan Elektronik Kuantum IMEN (2018-2019)

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?

Dewasa ini, kebanyakan pengesan menjadi semakin mesra pelanggan dan disebabkan oleh perkembangan teknologi internet yang pesat, masyarakat memerlukan pengesan yang sensitif, selektif dan stabil. Data pengesanan perlu diperolehi dengan cepat dan tepat dan sekiranya boleh, pelanggan dapat melakukan penentuan keadaan tubuh badan mereka menggunakan cip-cip yang canggih. Hasil kajian mengenai ECKSPR boleh dimuatkan ke dalam peranti kecil yang dinamakan “makmal atas cip” (Lab-on-chip) untuk kegunaan in-situ (“point-of-care”). Penyelidikan ini juga boleh diperkembangkan dengan menggunakan IoT (Internet of Things). Penyelidikan ECKSPR dapat menentukan sama ada seseorang itu menghadapi masalah buah pinggang berasaskan kepada kandungan glukos, urea dan kreatinin di dalam air kencing.

Di mana tempat bertugas sekarang? 

Saya berkhidmat sebagai Felo Penyelidik (Profesor Madya) di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 2009 sehingga sekarang. Penyelidikan saya dilakukan di kumpulan dan makmal Nanofotonik dan Elektronik Kuantum. Kolaborasi saya adalah terutamanya penyelidik-penyelidik dari luar negara seperti Indonesia, India dan USA

Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik/penyelidikan?

Setelah tamat pengajian prasiswazah, saya telah bekerja dengan Intel Malaysia Sdn Bhd iaitu di Intel Kulim di mana Intel merupakan pemberi biasiswa semasa pengajian sarjanamuda saya di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), UKM. Setelah bekerja di Intel selama 4 tahun, pensyarah prasiswazah saya iaitu Prof Sahbudin Shaari sedang mencari pelajar Sarjana untuk diselia di dalam bidang optoelektronik. Beliau baru sahaja menerima dana dari Kementerian Pendidikan dan amat memerlukan pelajar untuk membantu menjayakan projek penyelidikan beliau di dalam bidang diodfoto. Jadi Prof telah menghubungi saya dan saya pun bersetuju untuk menyambung pengajian Sarjana memandangkan ikatan perjanjian saya dengan Intel telah pun tamat pada masa itu. Saya menamatkan pengajian Sarjana pada tahun 2005 dan PhD pada tahun 2008 di IMEN, UKM. Seterusnya, saya telah dilantik sebagai felo pascadoktoral selepas itu iaitu selama 6 bulan di IMEN, UKM juga.

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?

Tokoh Sains yang amat saya kagumi adalah Allahyarham APJ Abdul Kalam. Beliau seorang saintis aeroangkasa di ISRO India dan merupakan bekas Presiden India yang ke-11. Beliau seorang yang berusaha gigih sehingga mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam bidang sains angkasa. Di antara hujahnya yang paling saya sukai adalah: Kita semua tidak mempunyai kebolehan yang sama tetapi kita semua mempunyai peluang yang sama untuk membangunkan kebolehan yang ada pada kita (All of us do not have equal talent. But all of us have an equal opportunity to develop our talents)

Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?

Pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan ialah semasa saya menjadi pelajar PhD di IMEN, UKM. Seperti yang kita sedia maklum, pengajian PhD memerlukan pembuktian hasil kajian yang nobel. Pada suatu petang, saya sedang giat melakukan kajian teoretikal terhadap persamaan yang telah saya bangunkan yang mengaitkan mobiliti serta jangkahayat elektron dengan ketumpatan pembawa. Banyak data analitikal dan teoretikal yang telah saya kumpulkan selama 6 bulan. Setelah semua data ini diperolehi, saya dapat membuktikan bahawa hipotesis saya betul. Walau bagaimanapun, pada masa itu, komputer riba yang saya gunakan menghadapi masalah dan semua data saya hilang. Pengalaman tersebut amat mencabar buat saya kerana saya terpaksa mengulangi kesemua eksperimen yang telah saya lakukan. Walau bagaimanapun, pengajaran yang saya dapati dari pengalaman pahit tersebut adalah untuk sentiasa ‘back-up’ data saya pada setiap masa.

Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?

Saya amat teruja dan bermotivasi apabila saya bersama-sama pelajar-pelajar seliaan saya berjaya menyelesaikan sebarang pemasalahan saintifik. Kejayaan menyelesaikan pemasalahan penyelidikan saintifik amat memotivasikan saya untuk kekal dalam bidang ini. Kadang kala semasa mencari penyelesaian tersebut, kita perlu belajar banyak perkara baru dari penyelidik lain dan saya sentiasa pegun kerana saya sedar masih banyak lagi perkara saintifik yang terus saya pelajari dari masa ke semasa. Saya menjadi lebih teruja jika penyelesaian pemasalahan saintifik dapat diterbitkan dalam jurnal-jurnal berimpak tinggi. Saya juga seronok berkerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai negara dalam melakukan penyelidikan saintifik.

Pengalaman paling menarik?

Pengalaman yang paling menarik bagi diri saya ialah apabila saya ditugaskan untuk bekerja di Intel Systems Manufacturing and Technology Development (SMTD) di Oregon USA selama 6 bulan pada tahun 1999. Saya bersama-sama beberapa orang rakan sekerja ditugaskan untuk memindahkan teknologi modul dengan halaju pemproses 1 GHz (kod nama: Newcastle) untuk komputer riba. Pemindahan teknologi yang baru dibangunkan itu dilakukan dari Intel USA ke Intel Kulim dan kami bertanggungjawab untuk memastikan modul tersebut dapat dibangunkan dengan jayanya di Intel Kulim. Hampir setiap hari kami bekerja selama 16-20 jam supaya produk tersebut dapat dilancarkan pada tarikh yang ditetapkan tanpa sebarang masalah. Selain itu, pengalaman pertama berada di luar negara dan jauh dari keluarga tersayang amat mencabar sekali. Walau bagaimamanapun, saya memperolehi banyak pengalaman untuk bekerja dengan pereka-pereka litar luar negara. Mereka sentiasa membantu sekiranya saya tidak faham sesuatu proses, konsep atau teori berkaitan produk. Ini merupakan pengalaman yang paling menarik bagi diri saya.

Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?

Nasihat saya untuk para remaja amatlah mudah. Bidang sains akan menentukan masa depan negara kita, Malaysia. Oleh yang demikian, para remaja selaku pelapis negara perlu giat menceburkan diri dalam bidang sains kerana banyak aktiviti harian yang berkaitan dengan sains dan banyak fenomena boleh diterangkan menggunakan pendekatan sains. Dengan teknologi canggih sedia ada seperti “Artificial Intelligence”, 5G and “Internet of Things (IoT)”, maklumat-maklumat berkaitan sains amat mudah diperolehi oleh para remaja berbanding beberapa dekad yang lalu. Para remaja perlu giat membaca buku-buku berkaitan sains dan mengaktifkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan sains sama ada di peringkat sekolah atau di luar.

Aktiviti/hobi kegemaran selain tugas hakiki?

Hobi saya ialah melibatkan diri dalam kegiatan komuniti dan NGO seperti IEEE Electron Devices Society. Persatuan profesional bertaraf antarabangsa ini melibatkan jaringan antarabangsa, aktiviti penyelidikan dan penerbitan serta mempunyai banyak program untuk memupuk minat generasi muda untuk berkecimpung di dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik. Saya berpeluang untuk bertemu dan bekerjasama dengan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai negara. Ini membantu meluaskan pengetahuan saya mengenai pelbagai perkara.

Saya selaku Pengerusi IEEE Electron Devices Society Malaysia Chapter 2017-2018 menerima Anugerah R10 Best IEEE EDS Chapter Award dari Dr Radhakrishnan, Vice-Chair IEEE EDS pada tahun 2019. Bersama-sama saya ialah Prof Norhayati Soin dari Universiti Malaya dan Prof Dato’ Burhanuddin Yeop Majlis

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.