Sedia maklum, sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sahaja. Sementara, semua murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga empat pula diarahkan untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau ringkasnya adalah PdPR. Keputusan itu dibuat bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini. Pada masa sama, melindungi keselamatan anak-anak.

Pelajar Sekolah

Jadi apabila keadaan ini berlaku, peranti pintar seperti telefon bimbit, tablet, laptop atau komputer merupakan antara keperluan penting bagi memudahkan anak-anak melaksanakan semua tugasan yang diberikan sebaiknya. Bukan itu sahaja, malah capaian rangkaian internet juga kini bukan lagi  satu  kemahuan tetapi menjadi keperluan. Manakala dari sudut lain, ia secara tidak langsung memberi sedikit masalah dan bebanan kepada sesetengah pihak – terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah. Tambahan pula, harga peranti pintar baharu yang dijual sekarang boleh dikatakan agak mahal.

Tapi tidak perlu risau, sebabnya masih ada beberapa pilihan untuk gajet – misalnya tablet yang sememangnya agak murah dan baik daripada segi harga. Ia juga sesuai digunakan oleh anak-anak untuk mengikuti PdPR. Oleh itu, dalam artikel kali ini kami senaraikan beberapa model tablet yang boleh dimiliki pada anggaran harga di bawah RM1,000. Mungkin penyenaraian ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak tertentu untuk mendapatkan tablet dengan harga yang lebih murah. Sekaligus, memudahkan anak-anak agar dapat mengakses pelbagai kandungan pembelajaran dengan sebaiknya. Untuk memudahkan semua, kami turut meletakkan pautan pembelian untuk membawa secara terus kepada produk.


1) Samsung Galaxy Tab A7 WiFi (3GB + 32GB)

Android 10 | 10.4-inci TFT WUXGA+ (2000 x 1200) | Snapdragon 662 | 3GB RAM + 32GB ROM | 7040mAh | Kamera Utama : 8MP | Kamera Swafoto : 5MP

Samsung Galaxy Tab A7 (2020) diperkenalkan sekitar bulan September 2020. Kebiasaanya, tablet daripada Samsung di bawah siri Galaxy Tab A sering menawarkan harga jualan yang mampu milik, di samping spesifikasi dalam kategori kelas pertengahan. Salah satu perkara menarik pada tablet ini adalah rekaannya yang padat dan nipis – sekaligus menjadikan ia selesa untuk dipegang. Skrin bersaiz 10.4-inci pada tablet ini juga mampu memberi pengalaman penggunaan yang baik.

Rekaan bezel yang sekata juga memberikan nisbah skrin-ke-badan yang agak luas iaitu sekitar 80%. Boleh dikatakan mencukupi untuk memaparkan kandungan pembelajaran harian anak-anak. Bukan itu sahaja, aktiviti lain seperti menonton, membaca dan melayari web juga terasa memuaskan.

Untuk spesifikasi dalaman, tablet ini dijana cip pemproses Snapdragon 662, memori 3GB RAM, storan dalaman 32GB dan bateri 7,040mAh. Dengan sokongan bateri yang besar ini turut membolehkannya memberi masa penggunaan peranti yang lebih lama. Untuk kamera, tablet ini menggunakan sensor 8-Megapixel untuk kamera utama. Seterusnya, diiringi 5-Megapixel untuk kamera swafoto. Tidak ketinggalan, sistem pembesar suara yang baik dengan sokongan Dolby Atmos turut mampu memberi pengalaman audio lebih imersif.

Info Lanjut : Samsung Galaxy Tab A7 WiFi


2) Samsung Galaxy Tab A 8.0 (2GB + 32GB)

Android Pie | 8.0-inci TFT WXGA (1280 x 800) | Snapdragon 429 | 3GB RAM + 32GB ROM | 5100mAh | Kamera Utama : 8MP | Kamera Swafoto : 2MP

Kemudian, Samsung Galaxy A 8.0. Ia direka untuk pengguna yang mencari tablet untuk kegunaan asas – misalnya menonton video, melayari web mahupun bersantai. Ia juga sesuai digunakan oleh anak-anak sebagai alat pembelajaran. Ditambah pula dengan adanya mod kanak-kanak khusus iaitu Samsung Kids Home – sekaligus membolehkan ibu bapa untuk memantau penggunaan peranti bagi anak-anak kecil.

Di hadapan peranti terdapatnya skrin berukuran 8-inci boleh dikatakan mampu menyediakan pengalaman tontonan memuaskan. Kemudiannya, ia juga dibekalkan bateri sebesar 5,100mAh bagi memastikan ketahanan penggunaan peranti yang panjang. Tablet dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 429 yang dibantu oleh memori 2GB RAM dan storan dalaman 32GB. Andai kata tidak mencukupi, ruangan ini boleh dikembangkan menerusi kad MicroSD sehingga 512GB. Kamera sebesar 8-Megapixel untuk sensor utama. Sementara, kamera swafoto pula adalah 2-Megapixel.  

Info Lanjut : Samsung Galaxy Tab A 8.0


3) Lenovo Tab M7 (2GB+32GB)

Android Pie | 7-inci IPS LCD HD (1024 x 600) | MediaTek MT8765| 2GB RAM + 32GB ROM | 3,590mAh | Kamera Utama : 2MP | Kamera Swafoto : 2MP

Seterusnya, Lenovo Tab M7. Tablet ini lebih cenderung kepada penggunaan asas. Kiranya bersesuaian bagi mereka yang mencari tablet untuk anak-anak mengikuti pembelajaran dalam-talian, melayari web untuk bacaan atau tugasan ringan. Binaannya juga baik dengan skrin berukuran 7-inci, dilihat mampu memberikan pengalaman visual yang luas.

Saiznya ini boleh dikatakan baik – yang mana dilihat terlalu besar atau terlalu kecil. Ditambah pula dengan berat sekitar 236 gram, ia boleh dikatakan peranti yang ringan. Jadinya, tangan tidak lenguh apabila menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang lama.

Untuk spesifikasi dalaman, Lenovo Tab M7 dijana cip pemproses MediaTek MT8765, memori 2GB RAM, storan dalaman 32GB dan bateri yang diiklankan dengan ketahanan mencapai sekitar 10 jam. Tablet ini juga menggunakan lensa 2-Megapixel untuk kedua-dua kamera di hadapan dan belakang.

Info Lanjut : Lenovo Tab M7


4) Lenovo Tab M8 (2GB+32GB)

Android Pie | 8-inci IPS LCD HD (1024 x 600) | MediaTek Helio A22 | 2GB RAM + 32GB ROM | 5,100mAh | Kamera Utama : 5MP | Kamera Swafoto : 2MP

Kemudian, Lenovo Tab M8. Boleh dikatakan tidak banyak tablet yang hadir dengan skrin berukuran 8-inci. Tablet ini mempunyai saiz yang seimbang – tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Boleh dikatakan, mampu memberikan ruang yang cukup untuk beberapa penggunaan yang rawak.

Tablet ini juga mempunyai paparan yang baik – sekaligus mampu menyajikan pengalaman penggunaan yang memuaskan. Dalam erti kata mudah, memadai untuk kebanyakan pengguna. Paparannya mungkin bukanlah yang paling tajam, namun masih memadai untuk penggunaan harian majoriti pengguna.

Untuk spesifikasi dalaman, Lenovo Tab M8 dijana cip pemproses MediaTek Helio A22, memori 2GB RAM, storan dalaman 32GB dan bateri berkapasiti 5.100mAh. Tablet ini juga menggunakan lensa 5-Megapixel untuk kamera utama. Sementara, kamera swafoto pula sebesar 2-Megapixel.

Info Lanjut : Lenovo Tab M8


5) Lenovo Tab M10 (HD) Gen 2 (2GB+32GB)

Android Pie | 10.1-inci IPS HD (1280 x 600) | Snapdragon 429 | 2GB RAM + 32 ROM | 3,500mAh | Kamera Utama : 5MP | Kamera Swafoto : 2MP

Kita teruskan lagi degan tablet daripada jenama yang sama juga iaitu Lenovo Tab M10 (HD). Seperti sejumlah tablet lain, ia juga tidak lari daripada mempunyai binaan yang berkualiti. Maksudnya di sini, tablet ini dibina dengan baik sekali. Spesifikasi memadai, kemudian digabungkan dengan reka bentuk padat dan ergonomik. Sekaligus, menjadikannya antara salah satu tablet di bawah RM1000 yang boleh dipertimbangkan untuk anak-anak.

Bercakap mengenai spesifikasi, tablet ini dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 429, memori 2GB RAM da storan dalaman sehingga 32GB. Kemudian, masih terdapat juga pilihan untuk sokongan slot kad mikroSD sehingga 256GB sekiranya ruangan tidak mencukupi. Seterusnya, tablet ini mempunyai paparan 10.1-inci. Mungkin ia bukanlah sebuah tablet dengan paparan beresolusi tinggi. Namun masih memadai untuk penggunaan harian pengguna.

Info Lanjut : Lenovo Tab M10 (HD) Gen 2


6) Teclast P20HD (4GB + 64GB)

Android 10 | 10.1-inci IPS FHD (1920×1200) | UNISOC SC9863A | 4GB RAM + 64GB ROM | 6,000mAh | Kamera Utama : 5MP | Kamera Swafoto : 2MP

Mungkin ramai di antara kita yang kurang mengenali akan jenama ini. Tetapi, jenama ini terkenal dengan penawaran tablet pada harga mampu milik. Salah satu daripadanya adalah Teclast P20HD. Tablet ini boleh dikatakan hadir dengan spesifikasi yang boleh dikatakan baik tanpa menelan belanja yang besar.

Meskipun berada dalam segmen tablet bajet, namun apa yang dibawakan memiliki daya tarikan tersendiri. Binaan yang nampak minimalis tetapi kukuh menjadikannya sebuah tablet yang berkualiti. Ditambah lagi dengan rekaan yang nipis dan ringan, sekaligus memudahkan tablet ini digunakan dengan mudah sekali. Skrin berukuran 10-inci dimuatkan pada panel hadapan dirasakan cukup untuk memberi pengalaman tontonan yang memuaskan.

Untuk spesifikasi, Teclast P20HD dilengkapi sistem operasi Android 10 terkini. Selain, turut menggunakan cip pemproses UNISOC SC9863A dan digabungkan dengan memori 4GB RAM untuk pengurusan multi-tugas. Seterusnya, memori ini turut dibantu storan sebesar 64GB yang boleh dikembangkan menerusi ruangan khas slot mikroSD. Tetapan kamera utama pula adalah 5-Megapixel, sementara kamera hadapan sebesar 2-Megapixel. Tidak ketinggalan, ia juga diiklankan dengan ketahanan penggunaan sehingga 7 lamanya menerusi bateri berkapasiti 6000mAh.

Beli Di Lazada : Teclast P20HD

Beli Di Shopee : Teclast P20HD


7) Teclast M40 (6GB+128GB)

Android 10 | 10.1-inci IPS FHD (1920 x 1200) | UNISOC T618 | 6GB RAM + 128GB ROM | 6,000mAh | Kamera Utama : 8MP | Kamera Swafoto : 5MP

Selain daripada itu, Teclast M40 juga antara model yang boleh dipertimbangkan. Ia bukan sahaja sebuah tablet yang sesuai untuk tugasan asas seperti melakukan kerja. Bahkan, dikatakan bersesuaian untuk penggunaan bersantai atau bermain permainan mudah-alih. Pada panel hadapan, ia mempunyai paparan berukuran 10.1-inci yang sememangnya cukup besar – sekaligus mampu memaparkan visual dengan lebih jelas dan memuaskan.

Melaluinya juga, terdapat gabungan cip UNISOC T618 yang disertakan dengan memori 6GB RAM yang besar dan storan dalaman 128GB. Kemudian, ia juga dibekalkan bateri yang sama dengan Teclast P20HD iaitu sebesar 6000mAh. Keupayaan kameranya pula terdiri dengan 8-Megapixel untuk lensa utama. Sementara, lensa swafotonya pula adalah 5-Megapixel.

Beli Di Lazada : Teclast M40

Beli Di Shopee : Teclast M40


PENAFIAN : Untuk senarai 3 tablet terakhir ini, ia dilengkapi spesifikasi yang baik untuk penggunaan harian – termasuklah membuat sebarang tugasan ringkas. Ia bagaimanapun keluaran Huawei yang sedia maklum tidak lagi dilengkapi Google Mobile Services (GMS). Akibatnya sekiranya kelas atas talian dijalankan menerusi Google Meet, pelajar langsung tidak boleh menggunakan aplikasi ini. Malahan Google menghalangnya juga sekiranya Meet cuba digunakan menerusi versi pelajar web. Maka kami tidak menyarankan pembelian jika Google Meet adalah perlu digunakan. Jika kelas menggunakan ZOOM pula, aplikasi boleh dimuat turun menerusi Petal Search sahaja tetapi tidak menerusi Huawei App Gallery

8) Huawei MatePad T10s (3GB+64GB)

Android 10 | 10.1-inci IPS FHD (1920×1200) | Kirin 710A | 3GB RAM + 64GB ROM | 5,1000mAh | Kamera Utama : 5MP | Kamera Swafoto : 2MP

Kemudian, Huawei MatePad T10s. Tablet ini juga didatangkan dengan binaan yang baik. Binaan keempat-empat sisi melengkung padanya mampu menjanjikan keselesaan apabila berada di tangan. Malah, beratnya yang sekitar 450 gram juga boleh dikategorikan sebagai ringan. Sekaligus, langsung tidak membebankan untuk dibawa ke mana-mana.

Di samping itu, ia juga menyertakan paparan yang dilengkapi teknologi, HUAWEI ClariVu Display Enhancement Technology yang mampu meningkatkan ketepuan warna dan ketajaman pada imej. Tidak ketinggalan, paparannya di sini turut mendapat pensijilan TUV Rheinland untuk pencahayaan sinar biru yang rendah bertujuan untuk keselesaan mata pengguna. Dengan ini, ia pastinya memberi keselesaan kepada anak-anak ketika menggunakannya untuk kandungan pembelajaran jenis video yang diberikan oleh guru mereka.

Untuk spesifikasi, MatePad T10s dikuasakan oleh pemproses Kirin 710A, memori 3GB RAM dan storan dalaman 64GB. Dari segi bateri pula, ia sangat memadai untuk pengunaan peranti yang panjang menerusi bateri berkapasiti 5,100mAh. Cuma sayangnya, ia menggunakan sistem operasi Android yang tiada GMS. Sekaligus, menjadikan penggunaan peranti ini amat terhad berbanding dengan tablet Android lain.

Inilah kekurangan paling utama pada tablet ini. Permalahan ini akan menyebabkan pengguna atau pelajar tidak dapat mengakses sebarang perkhidmatan daripada Google. Situasi ini menjadi lebih parah apabila Google Classroom antara aplikasi utama yang sering digunakan oleh para guru untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan kekangan untuk seseorang pelajar mengikuti kelas dengan baik.

Info Lanjut : Huawei MatePad T10s


9) Huawei MatePad T8 (2GB+32GB)

Android 10 |8.0-inci LCD HD (1280 x 800) | MTK MT8768 | 2GB RAM + 32GB ROM | 5,100mAh | Kamera Utama : 5MP | Kamera Swafoto : 2MP

Seterusnya, Huawei Mate T8. Ia turut menyasarkan pengguna yang memerlukan tablet dengan harga mesra poket untuk kegunaan aktiviti harian. Seperti Namanya, tablet ini dilengkapi paparan berukuran 8-inci dengan resolusi 1280 x 800.

Rasanya saiznya di sini tidak begitu besar, bahkan selesa sahaja untuk digunakan dengan sebelah tangan. Jadinya, anak-anak dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dengan sebaiknya. Bukan itu sahaja, aktiviti harian biasa seperti melayari web, menonton kandungan video dan sebagainya pasti dapat digunakan dengan baik-baik sahaja. Tapi sayangnya, ketiadaan sebarang perkhidmatan Google Mobile Services (GMS) – menjadikan penggunaan tablet ini agak terhad.

Untuk spesifikasi, tablet ini dilengkapi cip MTK MT8768 yang dibantu oleh memori 2GB RAM dan storan dalaman 32GB untuk tujuan multi-tugas. Turut melengkapi tablet ini kamera utama 5-Megapixel dan kamera swafoto sebesar 2-Megapixel untuk tujuan fotografi serta panggilan video. Bateri padanya pula adalah sebesar 5,100 mAh yang mana diiklankan ketahanan yang mencecah 12 jam.

Info Lanjut : Huawei MatePad T8


10) Huawei MatePad T10 (2GB + 32GB)

Android 10 | 9.7-inci IPS HD (1280 x 800) |  Kirin 710A| 4GB RAM + 65GB ROM | 6,000mAh | Kamera Utama : 5MP | Kamera Swafoto : 2MP

Jika mahukan lagi tablet dengan harga mesra poket daripada Huawei, mungkin Huawei MatePad T10 boleh dipertimbangkan. Berbanding MatePad 10s, tablet ini memiliki skrin sedikit kecil. Tetapi, ia cukup memadai untuk memenuhi penggunaan harian. Boleh dikatakan, masih seimbang dari sudut prestasi dan juga keselesaan – serta agak mudah untuk digunakan.  Cumanya, ketiadaan sebarang perkhidmatan Google Mobile Services (GMS) – menjadikan penggunaan tablet ini agak terhad.

Penawaran yang asas di sini juga lebih ditujukan kepada mereka yang memerlukan tablet untuk kegunaan ringan seperti menonton kandungan video atau melakukan tugasan ringkas. Oleh itu, bersesuaianlah tablet ini untuk dijadikan pilihan buat anak-anak mengikuti sesi PdPR dengan sebaiknya. Meskipun paparannya hanya bersaiz 9.7-inci dan tidak sebesar yang terdapat pada MatePad 10Ts. Tetapi, ia masih mampu memberi satu pengalaman penggunaan yang memuaskan – terutama ketika digunakan untuk kandungan pembelajaran jenis video.

Bab spesifikasi agak menarik, tetapi soal perisian ada kekurangannya. Walau bagaimanapun, memandangkan penggunaan tablet ini agak terhad. Sama seperti MatePad T10s juga, sedikit kesukaran akan timbul. Lebih-lebih lagi jika melibatkan sesi interaksi secara langsung bersama guru menerusi aplikasi Google Classroom.

Info Lanjut : Huawei MatePad T10

BONUS – Apple iPad 2020 (3GB + 32GB)

iPadOS 14.4 | 10.2-inci IPS LCD (1620 x 2160) |  Apple A12 Bionic| 3GB RAM + 32GB ROM | 8,827mAh | Kamera Utama : 8MP | Kamera Swafoto : 1.2MP

Setakat ini kesemuanya tablet yang kami sarankan adalah menggunakan sistem operasi Android. Tetapi kami tahu pasti ada ibu bapa yang ingin mencari tablet iPadOS terbaik juga. Oleh sebab itu kami sarankan pembelian Apple iPad 2020 yang dijual pada RM1449 – 50% di luar julat harga kesemua tablet dia atas.

Mengapa kami masih sarankan walaupun harganya lebih mahal? Kerana iPad 2020 (juga dikenali sebagai iPad Gen-8) ialah tablet paling mampu milik ditawarkan oleh Apple pada waktu artikel ditulis. Dengan skrin 10.2″ LCD ialah cukup besar untuk memaparkan kesemua yang hadir dalam sesi telesidang. Dipadankan pula dengan cip Apple A12 Bionic yang masih cukup berkuasa walaupun sudah berusia dua tahun. Sistem operasi telah dikemaskini ke iPadOS 14.4 yang terkini dan akan disokong sehingga lima tahun.

Tidak berakhir di situ kamera hadapan HD lebih dari mencukupi untuk sesi telesidang dan kamera 8MP cukup baik untuk menangkap gambar kerja rumah ke Google Classroom misalnya. Terdapat juga aksesori papan kekunci fizikal jika pelajar ingin menggunakannya seperti sebuah komputer riba. Dengan bateri sebesar 8827 mAh pula, ia cukup besar untuk sesi telesidang sepanjang hari sebelum perlu dicas.

Kesemua aplikasi penting seperti Google Meet, Google Classroom dan Zoom boleh dimuat turun terus dari App Store tidak seperti pada tablet Huawei. Jika anda sanggup berbelanja lebih dan mahukan sebuah iPad, ini ialah model yang kami paling sarankan.

Info Lanjut : Apple iPad 2020


Sehingga artikel ini ditulis, penawaran harga untuk setiap model tersenarai adalah seperti yang terpapar pada pautan pembelian. Sebenarnya, masih banyak lagi pilihan dan model yang berada di pasaran. Tetapi, apa yang tersenarai ini adalah di antaranya. Akhir kata, kami berharap semoga perkongsi artikel ini bermanfaat bagi semua pembaca dan dapat membantu mereka yang mencari tablet pada harga mesra poket. Sekiranya anda juga ada pendapat dan cadangan lain untuk jenis model pada anggaran harga sebegini, jangan lupa kongsikan di ruangan komen di bawah untuk manfaat bersama.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.