5 Aplikasi Yang Boleh Menyekat Masalah Ketagihan Peranti Pintar

Perkembangan teknologi membawakan perubahan besar dalam kehidupan pengguna. Jika diteliti, peranti pintar  kini menjadi semakin murah dan boleh dimiliki oleh semua peringkat masyarakat. Meskipun ada kebaikannya, namun sedar atau tidak ia sebenarnya turut menyumbang kepada keburukan seperti masalah ketagihan yang tidak terkawal. Perkara ini sudah tentu memberikan impak yang negatif seperti pembaziran masa berharga, bersosial secara maya tanpa menghiraukan orang keliling, isu kesihatan tidak terjaga dan banyak lagi.

Bagi menangani isu ini fungsi Digital Wellbeing diperkenalkan pada peranti Android dan Screen Time pada iOS. Namun begitu tidak semua peranti Android telah menerima kemaskini dan mungkin ada juga di antara anda yang mahukan lebih banyak pilihan berbanding dua fungsi terbina ini.

Oleh terdapat aplikasi pintar yang dapat membantu pengguna untuk mengawal ketagihan terhadap penggunaan peranti pintar. Dalam erti kata mudah, aplikasi ini akan ‘mengunci’ segala notifikasi dan aktiviti aplikasi media sosial yang tidak perlu termasuklah permua yang membuatkan anda ketagih. Berikut ialah lima aplikasi yang boleh anda cuba hari ini.

1. Social Fever

Aplikasi ini adalah penyelesaian untuk membantu anda membendung masalah ketagihan terhadap peranti pintar. Ia direka bentuk dengan beberapa ciri hebat seperti tetapan matlamat penggunaan, mengurangkan penggunaan aplikasi dan menetapkan minat pengguna.

Selain itu, ia juga memaparkan setiap sejarah penggunaan peranti bagi membantu anda merancang penggunaan selanjutnya. Tidak ketinggalan, ia juga akan menghantar maklum balas sekiranya terdapat penggunaan secara berlebihan.

Tambahan lagi, aplikasi ini juga ibarat diari kesihatan anda kerana dapat mencadangkan beberapa langkah yang sepatutnya dilakukan untuk kekal sihat. Contohnya berapakah jumlah bilangan air yang perlu anda ambil seharian, jenis senaman yang boleh anda lakukan.

Muat turun Social Fever dari Google Play Store

2. OFFTIME

Aplikasi OFFTIME dapat membantu anda untuk menyekat panggilan, mesej dan notifikasi yang tidak penting sekaligus memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting. Ia juga akan memaparkan statistik dan maklumat mengenai masa penggunaan sebenar harian, mingguan dan bulanan anda.

Ia disertakan dengan beberapa mod seperti Work, Family atau Me Time bagi memudahkan anda mengakses kepada perkara yang penting sahaja pada peranti. Tidak ketinggalan, ia juga menyertakan fungsi “custom auto-replies” yang mana merupakan fungsi membalas mesej secara automatik yang mengambil alih tugas menjawab / membalas mesej ketika pengguna sibuk atau tiada.

Muat turun OFFTIME dari Google Play Store

Muat turun OFFTIME dari App Store

3. YourHour

Aplikasi ini memaparkan statistik terperinci mengenai semua maklumat penting yang perlu anda ketahui mengenai penggunaan peranti sepanjang hari. Aplikasi ini menyimpan setiap trek jumlah penggunaan dan menyediakan grafik perbandingan aktiviti selama seminggu. Anda juga boleh melihat garis masa keseluruhan penggunaan aplikasi harian dan mengetahui berapa banyak masa yang telah dihabiskan untuk setiap aplikasi yang digunakan.

Terdapat juga kiraan yang akan muncul pada setiap aplikasi bertujuan membolehkan anda melihat sendiri masa yang digunakan. Aplikasi boleh digunakan secara percuma dengan fungsi-fungsi asas tetapi terdapat juga versi berbayar yang membenarkan penggunaan tanpa iklan dan data yang boleh dieksport dalam bentuk PDF atau Excel.

Muat turun YourHour dari Google Play Store

4. AppDetox

Aplikasi ini membantu anda “menyahtoksikkan” diri dan mengurangkan tabiat penggunaan peranti yang berlebihan terutamanya dalam aplikasi media sosial. Melaluinya, anda boleh mengunci aplikasi yang kerap digunakan dengan menetapkan sendiri had masa penggunaan dalam tempoh masa tertentu. Sekiranya anda didapati melebihi had ditetapkan, aplikasi ini akan memberi amaran dan ‘memaksa’ anda untuk berhenti dengan menutup aplikasi tersebut.

Selain itu, pengguna juga boleh memilih tabiat penggunaan yang berbeza. Contohnya, ia berupaya mengehadkan aplikasi pada tempoh waktu dan hari yang tertentu. Anda juga boleh melihat sendiri laporan ‘pelanggaran’ yang telah dibuat sebagai salah satu usaha untuk lebih kekal berdisiplin.

Muat turun AppDetox dari Google Play Store

5. FLIPD

Sama seperti AppDetox, aplikasi ini juga mengawal penggunaan dengan mengunci peranti anda untuk jangka masa yang ditetapkan. Dalam erti kata mudah, segala notifikasi daripada aplikasi media sosial anda akan disekat sepanjang jangka masa tersebut dan tidak dapat diakses sama sekali. Aanda masih boleh menerima panggilan dan mesej. FLIPD dilihat menawarkan kemasan antaramuka yang menarik dan ia akan muncul sebagai pengira masa pada kekunci skrin untuk memberitahu berapa lama anda sudah tidak menggunakan peranti.

Muat turun Flipd dari Google Play Store

Muat turun Flipd dari App Store

Sebagai kesimpulan, adakah anda salah seorang yang memiliki masalah ini? Berikut adalah antara aplikasi yang dapat membantu membendung masalah tersebut. Aplikasi yang disenaraikan ini berfungsi secara automatik dan menawarkan laporan terperinci dan mudah difahami. Melaluinya juga anda akan dapat menguruskan masa dengan bijak dan mengurangkan penggunaan peranti yang berlebihan. Sebenarnya banyak lagi aplikasi mudah alih yang anda boleh gunakan, namun apa yang paling penting sentiasalah mengamalkan disiplin diri. Mudah kan?

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*