7 Fakta Menarik Mengenai Terence Tao

Oleh: Lukhman Abdul Taib
Calon PhD dalam bidang Sains Perkomputeran & Teoritikal,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Terence Tao baru sahaja diumumkan sebagai penerima pertama Hadiah Riemann yang julung kali diadakan. Nama beliau tidak lagi asing bagi komuniti matematik, dan beliau diangkat sebagai salah seorang ahli matematik yang terhebat di abad ini. Hasil kerjanya telah mendapat perhatian dan pengiktirafan dalam kalangan rakan mahupun penggemar matematik.

Rencana kali ini akan meneroka kehidupan tokoh ini serba sedikit dan menonjolkan beberapa sumbangan terbesarnya kepada matematik.

Muka hadapan majalah Good Weekend bertarikh 7 Mac 2015, menampilkan Terence Tao. Sumber: Twitter @BenNaparstek

Siapakah Terence Tao?

Terence Tao merupakan seorang ahli matematik berwarganegara Australia-Amerika, masyhur dengan sumbangannya yang besar kepada bidang matematik, di antaranya teorem Green-Tao, ketidaksamaan Tao, dan pembuktian berkenaan kewujudan dan kelicinan penyelesaian bagi persamaan Navier-Stokes tiga matra. Beliau telah memperoleh berbagai-bagai anugerah dan penghargaan sepanjang kariernya dan telah menerbitkan sebanyak 275 makalah saintifik.

ARTIKEL BERKAITANTerence Tao Penerima Pertama Anugerah Riemann

Kini beliau menumpukan perhatiannya pada beberapa cabang bidang matematik, termasuklah kombinatorik bergeometri, analisis harmonik, persamaan pembezaan separa, kombinatorik beraljabar, kombinatorik beraritmetik dan teori nombor beranalisis. Sekarang beliau berkhidmat di Jabatan Matematik di UCLA, dan merupakan seorang Felo Akademi Sains Australia dan Royal Society.

Berikut merupakan beberapa fakta menarik tentang profesor Terence Tao:

(1) Terence Tao dilahirkan pada 17 Julai 1975 di Adelaide, Australia. Ibu bapanya pernah menetap di Hong Kong sebelum mereka berpindah ke Australia pada tahun 1972.

Bapanya, Dr. Billy Tao, merupakan seorang pakar pediatrik, berkelulusan dari Universiti Hong Kong di dalam bidang perubatan, sementara ibunya, Grace, memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama di dalam bidang matematik dan fizik dari universiti yang sama. Di situlah mereka berdua bertemu.

Terence merupakan anak sulung di antara tiga beradik.

(2) Ibu bapanya mula menyedari bahawa terence agak sedikit berlainan dari kanak-kanak lain yang sebaya dengannya ketika beliau berusia dua tahun. Pada umur 5 tahun, beliau sudah mampu mengajar kanak-kanak lain bagaimana untuk mengeja dan menyelesaikan masalah penambahan asas.

Apabila ditanya bagaimana beliau boleh mengetahui apa yang beliau ajarkan, beliau menjawab bahawa beliau mempelajarinya dari rancangan televisyen Sesame Street.

Terence Tao berusia 16 tahun. Sumber: Terence Tao

(3) Pada usia 8 tahun, Terence memasuki Sekolah Tinggi Blackwood di Adelaide. Ketika itu, bukanlah suatu perkara yang ajaib untuk menemuinya mentelaah buku-buku matematik lanjutan, seperti kalkulus.

Terence Tao, berumur 10 tahun, bersama dengan Paul Erdős pada tahun 1985.

Terence merupakan peserta Olimpiad Matematik Antarabangsa yang paling muda sehingga kini, pertama kali pada usia 10 tahun. Beliau kekal sebagai pemenang termuda bagi pingat emas, perak dan gangsa di dalam sejarah Olimpiad, memenangi pingat emas sejurus selepas hari jadinya yang ke-13.

Profesor Terence Tao di UCLA

(4) Setelah menamatkan pendidikan sekolah, Terence Tao melanjutkan pengajiannya di Universiti Flinders, Adelaide bersama-sama dengan rakan-rakan sekelasnya pada usia 11 tahun. Di situ, beliau mendapat didikan Profesor Garth Gaudry sepanjang pengajian ijazah sarjana muda dan sarjana.

(5) Terence Tao berjaya menerbitkan makalah kajiannya yang pertama pada usia 15 tahun ketika beliau berada di Universiti Flinders. Beliau kemudiannya berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarana Muda pada tahun 1991 dan Ijazah Sarjana setahun kemudiannya.

Tesis Sarjananya berjudul Convolution operators generated by right-monogenic and harmonic kernels” (“Operator-operator perlingkaran terjana oleh monogen-kanan dan inti harmonik”).

(6) Beliau telah dianugerahkan Pingat Universiti dari Universiti Flinders dan Biasiswa Pascasiswazah Fulbright. Kedua-dua anugerah ini telah membantunya memperoleh tempat untuk melakukan penyelidikan di Universiti Princeton, Amerika Syarikat. Ketika itulah, keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat.

Beliau berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah pada usia 21 tahun, dengan tesis yang berjudul “Three Regularity Results in Harmonic Analysis” (“Tiga Hasil Kenalaran di Dalam Analisis Harmonik”) di bawah seliaan Elias M. Stein. Kemudian, beliau menyertai fakulti di UCLA pada usia 24 tahun, sekaligus menjadikan beliau sebagai manusia termuda yang menjadi profesor sepenuh masa.

(7) Terence Tao berkahwin dengan Laura, seorang jurutera elektrik di Makmal Pendorongan Jet, NASA dan bekas pelajarnya di UCLA. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama William dan seorang anak perempuan bernama Madeleine.

Pada tahun 2007, Terence Tao dinobatkan sebagai Australian of the Year. Ketika itu juga, beliau menerbitkan prinsip ketidaksamaan Tao.

Beberapa Sumbangan Besar Terence Tao

Terence Tao merupakan seorang ahli matematik yang ulung, dikenali dengan sifat berdaya cipta yang sangat tinggi. Dengan kebolehan semula jadinya bekerjasama dengan pakar-pakar dari bidang yang lain, hasil kajiannya mampu merentasi sempadan bidang.

Salah satu hasil kerja utamanya ialah berkenaan teori persamaan pembezaan separa. Persamaan ini merupakan model utama yang sering digunakan di dalam fizik bermatematik dan bidang-bidang lain. Akan tetapi, di samping kegunaannya yang meluas di alam nyata, amat sukar untuk membuktikan persamaan-persamaan ini mempunyai penyelesaian yang boleh dibuktikan atau memiliki beberapa sifat yang dikehendaki.

Tao bersama dengan rakan-rakannya telah membangunkan teorem-teorem kewujudan penyelesaian yang penting di dalam bidang persamaan-persamaan tak linear. Beliau juga telah melakukan kajian berkenaan gelombang, yang mana ia telah digunakan pada gelombang graviti yang telah diramal menerusi Teori Kenisbian Am Einstein.

Sementara pada tahun 2014, Tao membentangkan idea yang berkemungkinan untuk menyelesaikan masalah kewujudan dan kelicinan penyelesaian Navier-Stokes, salah satu dari 7 Millenium Problems.

Selain itu, Terence Tao juga berjaya membuktikan bersama Ben Green bahawa suatu kemunasabahan untuk mencari janjang nombor-nombor perdana dengan langkau yang sama dan sebarang panjang di dalam set integer yang tidak terhingga. Sekaligus, mereka berjaya menyelesaikan masalah berkaitan Konjektur Perdana Kembar (Twin Prime Conjecture).

Terence Tao telah menerima berbagai-bagai anugerah yang penting di atas hasil kerjaya, termasuklah Salem Prize, Breakthrough Prize in Mathematics dan terkini Hadiah Riemann. Beliau merupakan ahli matematik berbangsa Cina kedua yang menerima Pingat Fields, salah satu anugerah berprestij di dalam matematik, sesudah Shing-Tung Yau. Sekaligus, beliau merupakan warganegara Australia yang pertama menerima pingat tersebut.

Sumber:

https://interestingengineering.com/7-things-you-might-not-know-about-mathematician-terence-tao
https://en.wikipedia.org/wiki/Terence_Tao
http://www.smithsonianmag.com/science-nature/tao.html
http://www.ams.org/notices/200609/comm-prize-fields.pdf
https://www.nytimes.com/2007/03/13/science/13prof.html

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*