Ahli Matematik Itali dan Ahli Astronomi US terima Hadiah Crafoord 2020

Oleh: Lukhman Abdul Taib
Calon PhD dalam bidang Sains Perkomputeran & Teoritikal,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Enrico Bombieri dan Eugene Parker telah diumum sebagai pemenang Hadiah Crafoord 2020 di dalam matematik dan astronomi. Masing-masing akan menerima hadiah bernilai 6 juta kr (RM 2.55 juta) daripada Akademi Sains Diraja Sweden dengan kerjasama Yayasan Crafoord.

Enrico Bombieri. Photo: Cliff More, Institute for Advanced Study.

Bombieri, profesor emeritus  di Institute of Advanced Study, Princeton, USA, dianugerahkan hadiah tersebut “di atas sumbangannya yang menonjol dan berpengaruh di dalam kesemua bidang utama matematik, terutamanya teori nombor, analisis dan geometri beraljabar.”

Manakala Parker, profesor emeritus  di University of Chicago, USA, dinobatkan “di atas kajian fundamental dan perintis berkenaan angin suria dan medan magnet pada skala bintang sehingga ke skala galaksi.”

Eugene Parker. Photo: John Zich, Chicago University.

Enrico Bombieri, ahli matematik kelahiran Itali, merupakan salah seorang ahli matematik yang menyelesaikan masalah di dalam kesemua cabang matematik, meskipun beliau lebih cenderung kepada teori nombor. Di antara sumbangan terbesar Bombieri ialah menyelesaikan masalah Bernstein, suatu ragaman dari masalah Plateau berkenaan matematik pembentukan lapisan nipis sabun apabila bingkai berwayar dicelup ke dalam larutan sabun.

Eugene Parker, ahli astronomi Amerika, pula menyumbang kepada beberapa penemuan fundamental berkenaan gas-gas yang menyelubungi matahari dan bintang-bintang lain. Beliau juga telah membangunkan teori mengenai kewujudan angin suria dan medan magnet di angkasa serta bagaimana kedua-duanya berubah. Walau bagaimanapun, ia mengambil masa yang agak lama untuk komuniti astronomi menerima teori-teori tersebut menerusi beberapa pemerhatian dari kapal angkasa.


Sumber/Youtube

“Ia datang secara mengejut. Saya pernah menerima beberapa hadiah sebelum ini, tetapi saya amat gembira dengan hadiah ini (Hadiah Crafoord) kerana hubungan saya dengan ahli-ahli matematik Sweden,” ulas Bombieri. Beliau pernah beberapa kali melawat Sweden dan Institut Mittag-Leffler, Akademi Sains Diraja Sweden sebelum ini.

Sementara Parker berkata, “Berita ini membuatkan saya terpegun. Saya diam selama beberapa minit. Sudah tentu saya mengetahui mengenai hadiah Crafoord, sebab itu saya terkejut.”

Crafoord Days akan dianjurkan pada 12 hingga 15 Mei di Lund dan Stockholm, Sweden dan dimeriahkan dengan syarahan dan simposium dari para penerima hadiah. Upacara penganugerahan hadiah akan diadakan pada hari terakhir dan akan dihadiri oleh Raja Carl XVI Gustav dan Permaisuri Silvia.

Sumber: https://www.crafoordprize.se/press_release/the-crafoord-prizes-in-mathematics-and-astronomy-2020

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.