Laporan Wartawan MajalahSains

PLANETARIUM NEGARA, 13 OKTOBER– Lokasi NICE’17 yang lain pula ialah Planetarium Negara. Planetarium Negara turut menyediakan aktiviti serta pendedahan yang meluas berkenaan ilmu Fizik Angkasa atau Astronomi kepada pengunjung. Antaranya, Pencerapan Matahari, Tayangan Planetarium, National Astronomy Convention (ASTROCON2017), National Space Challenge dan Himpunan 500 Teleskop.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa matahari merupakan suatu objek yang amat menarik untuk dilihat secara lebih dekat dan dikaji dengan lebih mendalam. Banyak fakta-fakta yang turut disediakan di sana untuk pengetahuan pengunjung.

Mungkin ramai di luar sana menganggap ilmu Fizik Angkasa suatu bidang yang ‘sukar dan complicated’. Hal ini mendorong MajalahSains untuk menemubual Pensyarah Kanan Makmal Fizik Angkasa, Universiti Malaya Dr. Nazathul Shima yang bertindak sebagai pembentang di Planetarium Negara mengenai kepentingan ilmu Astronomi.

“Aeroangkasa dan bidang Astronomi ini merupakan salah satu cabang dalam ilmu Sains Angkasa. Ada peringkat yang mudah untuk difahami dan ada yang memang sukar untuk kita rungkaikan bila mana melibatkan hukum-hukum serta konsep Fizik yang kompleks. Namun, dengan mendalami ilmu Astronomi walau sedikit, kita dapat memahami tentang ‘bumi’ kerana ia merupakan salah satu planet dalam sistem suria,

“Banyak fenomena yang berlaku hasil dari pergerakan bumi, matahari dan bulan misalnya, gerhana matahari dan bulan dan kejadian air pasang surut. Ilmu Astronomi ini akan membuat kita lebih memahami lebih terperinci bila sesuatu fenomena itu berlaku. Andaikata berlakunya gerhana matahari. Mereka yang tak tahu apa-apa tentang fenomena itu tentu sekali akan mudah bingung, khususnya untuk penganut agama Islam khususnya. Secara peribadi, tidakkah dengan mendalami ilmu Astronomi itu sendiri akan membuka mata terhadap kebesaran Tuhan?” Jelas beliau.

Dr. Nazathul turut mengulas dan memberi penerangan ringkas mengenai fenomena gerhana matahari bersempena dengan aktiviti Pencerapan Matahari yang disediakan oleh pihak Planetarium Negara.

“Kita tahu secara dasarnya matahari merupakan objek yang sangat panas dan terang. Suhu permukaannya sahaja mencecah 6000 darjah Kelvin. Namun, dengan kemudahan dan teknologi teleskop, kita boleh melakukan pencerapan bagi melihat secara dekat permukaan matahari dan mengkaji dengan lebih mendalam tentang kelakuan matahari sendiri,

“Fenomena yang dianggap menarik dan unik yang terdapat di permukaan matahari adalah tompok matahari, solar prominence, solar flare dan solar burst.” Tambah Dr. Nazathul.

Ditanya mengenai skop kerjaya dalam bidang Sains Fizik khususnya Astronomi ini, beliau yakin bidang berkaitan Sains dan Teknologi amat luas termasuklah peluang pekerjaan di masa akan datang.

“Memang seharusnya rakyat Malaysia terutamanya remaja dan para pelajar ditanamkan rasa cinta terhadap ilmu Sains agar kita tidak ketinggalan dengan perkembangan teknologi dunia yang kian maju ke hadapan. Bagi ilmu Sains berkaitan dengan Fizik Angkasa ini perlu diterokai dengan lebih mendalam. Ada banyak rahsia di dalam angkasa yang kita sendiri tidak mampu untuk rungkaikan sehingga hari ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada mereka di luar sana khususnya anak-anak muda yang minat dengan ilmu berkaitan Sains dan Astrofizik untuk menguasai dengan baik dan sempurna bagi merungkai pelbagai rahsia yang menyeluputi di angkasa sana.” Beliau mengakhiri perbualan dengan MajalahSains.

Anda semua diseru untuk datang berkunjung ke NICE’17 yang berlangsung di Technology Park Malaysia, Pusat Sains Negara dan Planetarium sehingga 16 Oktober ini. Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi ekspo terbesar negara anjuran MOSTI.

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ERROR: si-captcha.php plugin: GD image support not detected in PHP!

Contact your web host and ask them to enable GD image support for PHP.

ERROR: si-captcha.php plugin: imagepng function not detected in PHP!

Contact your web host and ask them to enable imagepng for PHP.