Akumulasi Logam Berat oleh Pokok Keladi (Colocasia esculenta)

Oleh: Dr. Rozidaini Mohd Ghazi & Chan Kar Men
Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan

Artikel ini merupakan ringkasan daripada jurnal berikut:

Chan Kar Men & Rozidaini Mohd Ghazi. (2018). Phytoremediation of Chromium(VI) using Colocasia esculenta in Laboratory Scale Constructed Wetlands. Journal of Tropical Resources and Sustainable Science, 6, 45-49.

Colocasia esculenta (C. esculenta) sejenis pokok keladi yang juga ditemui di Malaysia merupakan tumbuhan herba yang hidup dalam tanah basah yang biasa ditemui di seluruh kawasan tropika dan sebahagian besar sub-tropika. Tumbuhan ini boleh hidup dalam keadaan yang kering dan berair dengan akar mendalam dan batang panjang. Ia mempunyai ciri-ciri biojisim yang tinggi, penanaman mudah, keupayaan kompetitif yang luas dan rintangan kuat terhadap tekanan persekitaran. Ia mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi seperti rumpai lain dan dengan fungsi akumulasi logam berat di dalam air atau tanah.

Pokok keladi (Colocasia esculenta ) mempunyai sifat akumulasi logam yang tinggi

Pada masa kini, pencemaran air disebabkan oleh aktiviti manusia adalah tinggi.  Antara bahan pencemar disebabkan aktiviti tersebut ialah logam berat seperti kromium (Cr), plumbum (Pb), arsenik (As), kuprum (Cu), merkuri (Hg) dan lain-lain. Kandungan logam berat yang tinggi dalam air atau tanah boleh menjejaskan kesihatan manusia apabila memakan tumbuhan tersebut kerana tumbuhan seperti C. esculenta berpotensi untuk akumulasi logam berat dalam akar, batang dan daunnya. Pendedahan kepada logam berat seperti kromium boleh menyebabkan loya, cirit-birit, kerosakan hati dan buah pinggang, dermatitis, pendarahan dalaman dan masalah pernafasan.

Kebolehan C. eskulenta untuk akumulasi logam kromium telah dikaji menggunakan air sisa sintetik yang mengandungi logam kromium. Kepekatan logam kromium telah dihitung menggunakan instrumen spektometer serapan atom (AAS). Kajian telah berlangsung selama sebulan menggunakan reaktor yang ditanam pokok C. eskulenta dan disiram dengan air sisa sintetik yang mengandungi logam kromium. Hasil daripada kajian ini, didapati akar pokok C. eskulenta berkeupayaan untuk akumulasi logam kromium sebanyak 300 mg/L lebih tinggi berbanding batang dan daunnya.

Oleh kerana pokok C. eskulenta mempunyai sifat akumulasi logam berat yang tinggi, keadaan persekitaran yang tercemar boleh meyebabkan pencemaran pada pokok tersebut. Namun begitu, dari aspek pemuliharaan alam sekitar, pokok C. eskulenta berpotensi untuk merawat air sisa yang mengandungi logam berat.

Gambarajah skematik bagi reaktor yang digunakan untuk kajian

Kredit Foto : shutterstock

1026total visits,743visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.