AMD Dilihat Bakal Memperkenalkan Empat CPU Baru Untuk Binaan PC Mampu Milik

AMD memperkenalkan CPU AMD Ryzen Desktop 2000 beberapa bulan yang lepas, dan nampaknya mereka bakal menambah beberapa CPU baru didalam siri tersebut yang dikatakan bakal hadir untuk mereka yang ingin membina komputer pada harga yang lebih mampu milik.

Menurut laporan Anandtech, empat CPU baru ini termasuklah CPU AMD Ryzen 5 2500XRyzen 3 2300X, AMD Ryzen 7 2700E dan juga Ryzen 5 2600E. Beberapa butiran mengenai CPU-CPU ini juga sudahpun diketahui, termasuklah jumlah teras, kelajuan CPU asas dan jumlah kuasa yang digunakan.

Bermula dengan CPU Ryzen 7 2700E, ia hadir dengan lapan teras dan 16 bebenang kuasa pada kelajuan asas 2.8GHz. Dari segi penggunaan kuasa pula, ia dilihat bahawa CPU ini mempunyai TDP setinggi 45W sahaja, jauh lebih rendah berbanding Ryzen 7 2700X yang menggunakan 105W.

CPU Ryzen 5 2600E pula hadir dengan enam teras dan 12 bebenang kuasa dengan kelajuan asas 3.1GHz. Sama seperti CPU AMD Ryzen 7 2700E, CPU ini mempunyai nilai TDP setinggi 45W sahaja.

Beralih kepada CPU AMD Ryzen 5 2500X pula, CPU ini dilengkapi dengan empat teras dan lapan bebenang kuasa pada kelajuan asas 3.6GHz  CPU AMD Ryzen 3 2300X pula mempunyai empat teras dan empat bebenang kuasa pada kelajuan 3.5GHz, Kedua-dua CPU ini mempunyai nilai TDP yang sama pada 65W.

Kedua-dua CPU ini juga hadir dengan ciri-ciri sama yang hadir pada CPU AMD Ryzen Desktop 2000 yang membolehkannya di-overclock dengan mudah seperti Precision Boost 2, Xtended Frequency Range 2 dan sebagainya.

Buat masa ini, beberapa butiran seperti nilai frekuensi Turbo, penyejuk CPU, tanda harga dan juga tarikh pengeluaran CPU-CPU ini masih belum diketahui, tetapi kami syak bahawa syarikat tersebut akan membuat pengumuman mengenai CPU-CPU ini di acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada minggu hadapan.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.