TechSemut Malaysia

Anisakiasis: Jangkitan Cacing Parasit daripada Makanan Laut

Anisakiasis: Jangkitan Cacing Parasit daripada Makanan Laut

Anisakiasis: Jangkitan Cacing Parasit daripada Makanan Laut
Julai 17
19:02 2018

Oleh:  (HelloDoktor)

Terdapat dua jenis penyakit disebabkan cacing parasit yang sering dikaitkan dengan pengambilan makanan laut secara mentah, iaitu diphyllobothriasis (jangkitan cacing pita) dan anisakiasis (jangkitan cacing bulat). Di Malaysia, laporan penemuan cacing bulat yang menyebabkan anisakiasis dalam tin ikan sadin menimbulkan kegusaran tentang pengambilan makanan laut tersebut. Adakah anisakiasis berbahaya dan adakah anda berkemungkinan mengalaminya? Ikuti maklumat lanjut tentang penyakit parasit ini.

Apa itu Anisakiasis?

Anisakiasis ialah jangkitan parasit pada sistem gastrousus disebabkan pengambilan larva cacing Anisakis pada makanan laut yang mentah atau kurang masak. Larva anisakis boleh ditemui pada daging pelbagai makanan laut seperti ikan salmon, ikan kembung, sotong dan udang.

Jangka hayat Cacing Anisakis

Larva cacing ini dijumpai pada daging dan organ makanan laut dan boleh hidup selama 51 hari dalam cuka, 50 hari pada suhu 2 celcius, 6 hari dalam 10% formalin pada suhu bilik, dan lebih kurang 2 jam pada suhu -20 celcius. Larva ini akan mati dalam masa beberapa saat dalam suhu 60 celcius.

Oleh itu, makanan laut patut dibekukan pada suhu -20 celcius selama sekurang-kurangnya 24 jam atau dimasak pada suhu 60 celcius untuk menyingkirkan larva parasit ini. Pembekuan komersial kebiasaannya melibatkan suhu di bawah -37 celcius selama sekurang-kurangnya 15 jam untuk membunuh parasit. Kebanyakan penyejuk beku rumah tidak mempunyai suhu rendah yang mencukupi untuk membunuh parasit tetapi proses memasak biasanya melibatkan suhu lebih daripada 60 celcius dan mencukupi untuk membunuh parasit ini.

Simptom Anisakiasis

Kebanyakan jangkitan anisakiasis melibatkan simptom gastrik atau usus. Dalam anisakiasis gastrik, pesakit mungkin mengalami sakit perut, loya, dan muntah secara tiba-tiba sementara anisakiasis usus melibatkan sakit di bahagian bawah perut, loya, muntah, demam dan cirit-birit.

Kerosakan tisu atau kebocoran gastrousus boleh berlaku kerana pencerobohan dinding mukosa sehingga menyebabkan pendarahan. Pesakit juga mungkin mengalami simptom alahan.

Simptom boleh berlaku dalam satu hingga dua minggu selepas pengambilan makanan laut yang mentah atau kurang masak dan mungkin berlangsung selama berbulan-bulan, kadangkala (jarang berlaku) selama bertahun-tahun.

Tersalah diagnosis adalah perkara biasa dalam kes anisakiasis disebabkan oleh simptom-simptom penyakit ini yang tidak spesifik. Diagnosis seperti apendisitis, ulser perut, tumor gastrik, peritonitis, dan penyakit Crohn sering dibuat sebelum Anisakiasis disahkan. Kunci utama diagnosis Anisakiasis adalah sejarah pengambilan makanan laut mentah.

Anisakiasis di Malaysia

Penyakit Anasiakiasis pertama kali dikesan di Netherland dan banyak dilaporkan di negara yang gemar memakan ikan mentah seperti Jepun, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

Di Malaysia, kes Anisakiasis pernah dilaporkan pada tahun 2016 dalam seorang pesakit berusia 64 tahun yang mengalami simptom cirit-birit dan najis berdarah. Pesakit tersebut dipercayai dijangkiti parasit tersebut daripada sushi yang dimakannya dua hari sebelumnya.

Percutian dan pengenalan makanan dan kaedah memasak dari negara-negara asing menjadi trend di seluruh dunia. Trend ini termasuklah makan makanan laut mentah atau kurang masak. Kajian mendapati cacing parasit ini telah pun ditemui dalam hidupan marin di Asia Tenggara dan mungkin akan menyebabkan jangkitan pada manusia di masa akan datang.

Bagaimana Anisakiasis boleh dicegah?

Jangkitan Anisakiasis kebiasaannya tidak berkesan dirawat dengan ubat antihelminth dan selalunya memerlukan endoskopi untuk diagnosis dan rawatan. Oleh itu, cegah Anisakiasis dengan memasak atau membekukan makanan laut sebelum dimakan. Menggaram, memanggang dan memerap ikan tidak akan membunuh larva cacing tersebut. Pencegahan terbaik daripada Anisakiasis adalah dengan mengelakkan makanan laut mentah, atau memastikannya dibekukan di bawah -20 celcius selama sekurang-kurangnya 24 jam. Atau memastikan makanan laut dimasak pada suhu 60 celsius.

Adakah cacing Anisakis dalam tin berbahaya?

Semua organisma hidup, termasuk ikan, mungkin mempunyai parasit. Adalah penting untuk difahami bahawa parasit adalah kejadian semula jadi, bukan pencemaran. Parasit tidak mendatangkan masalah kesihatan dalam ikan yang dimasak dengan teliti. Proses pengetinan ikan melibatkan pemanasan untuk pensterilan komersial yang cukup untuk memastikan kemusnahan parasit.

Sebaliknya, penyakit Anisakiasis patut dikhuatiri dalam pengambilan ikan mentah dan langkah pencegahan yang sesuai patut diambil untuk mengelakkan jangkitan parasit ini.

Artikel ini merupakan sumbangan daripada Hello Doktor untuk diterbitkan semula oleh MajalahSains atas keizinan.

4total visits,4visits today

Related Articles

0 Comments

No Comments Yet!

There are no comments at the moment, do you want to add one?

Write a comment

Write a Comment

<

*

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com