Apakah Pengakhiran Revolusi Industri Ke-4?

Oleh: Dzulkifli Abdul Razak, Prof. Tan Sri

Siri ini bermula dengan satu persoalan penting yang menjejaki perkembangan ilmu sains dan teknologi; dan kesannya kepada manusia. Walaupun perkara ini agak lumrah dan sering diambil ringan oleh masyarakat umum, hal ini mula berubah dengan ‎munculnya Revolusi Industri Ke-4. Malah, cerdik pandai seperti mendiang Stephen Hawking juga telah mula memberi amaran awal tentang perkembangan tersebut. Khususnya melalui ciptaan robot dan kecerdasan buatan (AI) yang banyak mengubah pandangan. Begitu juga Albert Einstein yang dijejaki Hawking. Einstein turut menyatakan kegusarannya terhadap isu yang sama walaupun robot ketika itu masih merupakan “angan-angan” dan cerita khayalan sains. Beliau ada mengatakan kebimbangannya akan terwujudnya sekumpulan”bahlol” (fools) akibat pengaruh teknologi yang tidak lagi terkawal. Perkara ini sudah mula dirasai apabila ramai menyalahgunakan teknologi sehingga mengancam keselamatan diri sendiri. Penggunaan swa-foto yang mengakibat kematian dan keretakan hubungan oleh kerana apps media sosial merupakan beberapa contoh di antara banyak kemudaratan yang lain.

Maka, dengan itu teknologi canggih yang merekacipta dan membentuk berbagai jenis‎ peranti, peralatan mahupun jentera berautomasi boleh juga “membentuk” sifat manusia itu sendiri sehingga mendatangkan akibat yang sama: sama ada membahaya atau mengancam keselamatan serta kesihatan dan ekosistem mereka. Inilah antara ciri-ciri Revolusi Industri Ke-4 yang mula mendapat perhatian ramai pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2016. Walaupun bibit-bibitnya sudahpun berlaku beberapa tahun lebih awal, terutama sekali di negara Jerman, di mana idea ini tercetus mengikut kronologi (perkembangan revolusi), tetapi tidak dihiraukan. Apatah lagi memandangkan negara tersebut terdahulu dalam bidang sains dan teknologi, serta mengalami perkembangan sosial yang tinggi sehingga hampir tiada kes pengangguran. Semua ini dianggap sebagai pemangkin teknologi berautomasi yang amat kuat dan berupaya membentuk perspektif yang lain. Hatta, WEF 2016 merupakan satu pentas dunia untuk penyebaran idea tersebut keseluruh pelusuk dunia. Tidak kira sama ada pemangkin yang alami Jerman berlaku atau tidak, yakni sama ada konteksnya sama atau tidak.

Oleh yang demikian, terdapat lebih banyak kerisauan baru yang timbul kerana keadaan dan persekitaran (termasuk nilai, norma dan budaya) yang lain sudah terkesan dengan lebih nyata. Bak kata perpatah: lain padang, lain belalang. Khusus bagi mereka di sebelah Timur dan berpegang kepada agama, terutama sekali Islam. Hal ini banyak dibangkit dan dibincang dalam artikel-artikel terdahulu melalui hujah-hujah berkaitan. Dan apa pula penyelesaiannya terutama sekali dalam memelihara serta memperlihatkan ciri-ciri kemanusiaan yang berupaya mengasingkannya dari segala bentuk mesin dan robot yang dikatakan mirip manusia, Sophia (link) sebagai contoh yang sering diperkatakan, apatah lagi apa yang disebut sebagai “trans-manusia” ataupun “pasca-manusia” – rekaan baru tatkala titik singulariti dilampaui sepertimana yang telah dibicarakan dalam artikel sebelum ini.

Jelas oleh itu timbul beberapa pertimbangan baru memandangkan terdapat keluasan “masalah” yang bakal muncul menghantui masa hadapan kelak. Termasuklah berlakunya permusuhan antara mesin ala-robot dengan manusia sehinggalah “peperangan” antara keduanya, di mana ramai menelaah bahawa manusia akan dikalahkan; kalau tidakpun akan diperhambakan sepertimana tawanan perang. Semua ini semakin mendekati apa yang Hawking maksudkan sepertimana yang tercatat dalam artikel terdahulu.

Maka tidak anehlah jika menjelang WEF 2019 mula berlakunya anjakan-anjakan tertentu yang agak drastik. Jika pada tahun 2016 tujahannya adalah Revolusi Industri dan keselarasan ekonomi, tiga tahun kemudian lain pula halnya. Revolusi Sosial Ke-4 sudah mula mendapat tempat dan soal survival manusia mula dibangkitkan dengan serius. Ini terutama dibuktikan bahawa alam sekitar semakin merosot hasil dari berbagai ancaman teknologi canggih. Revolusi Industri Ke-4 tidak terkecuali ! Wah ini satu anjakan yang begitu lebar sekali; seolah-olah berpaling tadah. Mengapa? Apa yang sudah terjadi dalam masa singkat tiga tahun? Tidak dapat tidak, ketidakpastian tentang apa itu sebenarnya “revolusi” yang bakal berlaku berbanding dengan hanya satu lagi proses perubahan teknologi industri untuk kali keempatnya atau disebut Industri‎ 4.0, tanpa istilah “revolusi” membezakannya.

Malah sepanjang penulisan kolum ‘Sains untuk Manusia‘‎, inilah asas perbincangan yang cuba diketengahkan dengan memberi bukti dan contoh-contoh yang berkaitan. Mengambil iktibar “revolusi” terdahulu (termasuk “revolusi sosial” sekalipun) yang tidak dapat tidak, akan membawa perubahan besar – termasuk yang negatif, Revolusi Industri Ke-4 tiada bezanya. Hanya kali ini, manusia dan kemanusiaan akan terlibat secara langsung, bukan lagi sipi-sipi seperti yang terdahulu. Oleh kerana itu jugalah kali ini kesannya amat dibimbangi kalau tersilap yang bererti kemusnahan kelompok manusia sama sekali, bak kata Hawking dan Einstein antara ramai lagi yang ternama. Dan jika ambil sudut pandang agama dan falsafah Timur ketidaktentuan ini cukup bertentangan sama sekali dengan ajaran dan pandangan alam masing-masing. Perkara tidak langsung diambil kira sehingga hari ini dalam desakan memberi laluan kepada Revolusi Industri Ke-4 tanpa memikirkan semasak-masaknya. Sebab itulah ada diutarakan cadangan Revolusi Manusia Ke-5 agar ini dapat menjadi bahan imbangan dalam perbincangan yang menyanggah fikiran perdana teknologi semasa. Dengan kata lain dipenghujungnya Revolusi Industri Ke-4, mesti memberi laluan kepada soal-soal manusia dan kemanusiaan yang disandarkan kepada idea Revolusi Manusia Ke-5, yakni manusia yang beriman dan mempunyai roh tanpa dikesampingkan dalam apa jua perkembangan sains dan teknologi. Gagasannya adalah STREAM dan bukan STEM tanpa dicampur dengan HACD sebagai pengimbangan bagaimana dikehendaki Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Nota – Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak merupakan penerima anugerah Tokoh Akademik Negara 2017. Beliau merupakan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia (WAAS) dan mantan Naib Canselor USM (2000-2011). Beliau boleh dihubungi melalui emel: dzulrazak51@gmail.com

1264total visits,418visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.