Aplikasi Dron Untuk Pemantauan Kawasan Perhutanan

Oleh : Dr. Shaparas binti Daliman

Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Jeli, Locked Bag 100, 17600 Jeli, Kelantan

Nota : [Berikut merupakan ringkasan prosiding Intan Noradybah Md Rodi, Radhiah Zakaria, Ibrahim Busu & Penulisi sendiri berjudul “Characterisation of Tropical Rainforest Tree Structure Parameter Based on Remote Sensing Imagery yang diterbitkan dalam Proceeding of 39th Asian Conference on Remote Sensing (ACRS), Vol. 2, 835 -842 pada tahun 2018.

DJI Phantom 4 Pro

Malaysia adalah negara yang dua pertiga daripada kawasannya dilitupi hutan hujan tropika. Namun begitu, terdapat aktiviti penebangan hutan secara haram yang perlu dipantau dan ditangani melalui kaedah pemantauan yang lebih efektif, ditambah dengan kaedah penguatkuasaan daripada pihak berkuasa. Dilaporkan terdapat 190 kes pembalakan haram dalam tempoh 10 tahun yang lalu (http://www.kosmo.com.my/terkini/kira-kira-190-kes-pembalakan-haram-dalam-tempoh-10-tahun-1.741439). Melalui bantuan teknologi dron, kawasan perhutanan dapat dipantau dengan lebih efisien tanpa perlu melakukan rondaan secara manual di kawasan hutan tersebut.

Apakah Teknologi Dron?

Dron adalah kenderaan udara tanpa pemandu yang dikawal dari jarak jauh. Ia juga merupakan salah satu sistem penderiaan jauh (remote sensing) yang kelihatan seperti helikopter atau pesawat penggambaran yang mempunyai pelbagai faedah dan aplikasi berlainan yang boleh digunakan. Penggunaan dron dapat merangkumi kawasan perhutanan yang lebih luas dalam jangka masa yang lebih singkat berbanding pemantauan secara manual ke dalam kawasan pembalakan. Namun demikian, teknologi dron ini perlu disokong dengan kaedah pemprosesan imej digital bagi penghasilan imej kawasan perhutanan yang beresolusi tinggi untuk tafsiran imej yang lebih cekap.

Pemantauan Hutan Rizab Gunung Basor Menggunakan Teknologi Dron

Oleh itu, satu kajian menggunakan dron telah dijalankan pada 18 April 2018 di Hutan Rizab Gunung Basor, Kelantan. Dengan penerbangan dron setinggi 170m, imej kawasan perhutanan di Hutan Rizab Gunung Basor telah dicerap. Sejumlah 122 imej foto telah diimbas dengan menggunakan DJI Phantom 4 Pro dengan kawasan seluas 0.218 km2 telah dirangkumi. Imej-imej daripada dron tersebut kemudiannya telah diproses dengan menggunakan perisian AgiSoft Photoscan bagi menggabungkan imej tersebut menjadi orthofoto bagi pengkelasan kawasan perhutanan. Hasilnya, ketepatan keseluruhan pengkelasan pembahagian kawasan pokok hutan adalah 82.9% dengan nilai kappa 0.7278 dengan menggunakan teknik pemprosesan imej algoritma kemungkinan maksimum (maximum likelihood) dengan perisian ENVI.

Berdasarkan hasil ini, status terkini kawasan litupan hutan di Hutan Rizab Gunung Basor dapat ditentukan dengan menggunakan teknologi dron. Dengan gabungan imej resolusi tinggi daripada dron dan teknik pemprosesan imej digital yang bersesuaian, parameter struktur hutan dapat dianggarkan lebih lanjut bagi segmentasi kawasan pokok hutan dan mengemaskini status kawasan perhutanan di Kelantan, khususnya dan di Malaysia, amnya. Kajian ini juga diharapkan dapat membangunkan teknik pengesanan kawasan perhutanan secara automatik menggunakan teknik pemprosesan imej yang seterusnya dapat menyokong pengurusan hutan dan sumber asli secara semulajadi dan lestari.

Orthophoto yang dihasilkan daripada 122 imej daripada dron di sebahagian kawasan Hutan Rizab Gunung Basor. Pengkelasan kawasan hutan berdasarkan orthofoto Hutan Rizab Gunung Basor

Kredit Foto : mashable

9total visits,9visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.