Aplikasi Geospatial dalam Sektor Perhutanan: Lebih dari Sekadar Fungsi Pemetaan

Oleh : Gs. Dr. Azita Ahmad Zawawi
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan beberapa isu perhutanan seperti kebakaran hutan di California, Australia dan Kalimantan, Indonesia yang mengakibatkan jerebu berpanjangan, gempa bumi di Lombok yang melibatkan denai pendakian di Taman Negara Rinjani serta isu pembangunan tanah tinggi di Malaysia.

Pemuliharaan Hutan Tropika

Kawasan hutan hujan tropika diketegorikan antara kawasan yang kompleks dan sensitif. Pembinaan lebuh raya, pembangunan kawasan peranginan, serta pembukaan kawasan hutan untuk pembangunan memberi impak kepada kestabilan kawasan hutan, terutamanya kepada kawasan tanah tinggi dan pemuliharaan ekosistem. Pengesanan awal impak dan juga langkah pengawalan antara strategi utama dalam aktiviti memulihara dan memelihara kawasan sensitif ini. Penggunaan teknologi spatial merupakan salah satu teknik pintar dalam menguruskan kelestarian hutan.

Penggunaan teknologi spatial memberi kelebihan kepada kajian topografi, perancangan denai pendakian dan pengurusan risiko rekreasi di kawasan hutan pergunungan (Sumber: Koleksi peribadi).

Apakah Teknologi Infomasi Spatial?  

Teknologi infomasi geospatial merujuk kepada penggunaan peranti spatial seperti Global Positioning System (GPS), satelit serta kaedah pengkomputeran bagi teknik pengimejan, pengukuran, serta analisis bentuk muka bumi dengan tujuan mendapatkan sesuatu data yang kemudiannya akan diproses untuk memberi maklumat. Teknik perkomputeran jarak jauh ini digunakan dalam pelbagai bidang di negara maju dan kini semakin berkembang di Malaysia.

Simulasi digital dan imej tiga dimensi yang dihasilkan memberi gambaran lebih interaktif mengenai sesebuah kawasan (Sumber: Koleksi peribadi)

Kepelbagaian Perisian Untuk Tujuan Pemprosesan Data

Penggunaan pelbagai perisian komputer seperti ArcGIS, ENVI, Surfer dan SAGA GIS mampu menganalisis kepelbagaian data bagi pengurusan dan perancangan sumber hutan. Sebagai contoh, perisian SAGA GIS yang dibangunkan oleh University Hamburg, Jerman berkemampuan untuk memproses pelbagai format data dan berpotensi  untuk menghasilkan kepelbagaian maklumat mengenai sesuatu kawasan hutan seperti mengukur kecerunan, mengukur kelembapan dan peratusan litupan hijau, dan struktur keserataan muka bumi yang mana faktor ini penting dalam penilaian sesebuah kawasan sama ada untuk perancangan pembangunan, pengeluaran hasil, perancangan sumber rekreasi mahupun bagi tujuan konservasi.

Aplikasi spatial memberi kelebihan kepada potensi visual dan paparan tiga dimensi yang penuh infomasi, interaktif dan lebih menarik. Penggunaan teknologi ini tidak hanya terhad kepada fungsi pemetaan tetapi juga berpotensi untuk membantu pihak yang terlibat dengan bidang perhutanan dalam pelbagai aspek perancangan dan pengurusan sumber. Sebagai contoh, menganalisa kesesuaian kawasan dan perancangan aktiviti berasaskan sumber hutan seperti  pembangunan dan pemuliharaan denai pendakian  kawasan tanah tinggi, kesesuaian tapak dan perancangan fasiliti, mengenal pasti kawasan sensitif, berisiko  dan memantau pengeluaran hasil hutan, mengkaji hubung kait antara elemen semula jadi dan impak serta memantau corak kemasukan dan aktiviti pengunjung.

Di negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, aplikasi spatial digunakan secara meluas dalam pengurusan kawasan rekreasi terutamanya yang melibatkan operasi mencari dan menyelamat. Aplikasi seperti Google Earth dan GPS Visualizer mampu melakukan analisis ringkas topogafi dan memberi gambaran tiga dimensi sesuatu kawasan. Aplikasi seperti ExpertGPS, MapSource dan Topo Fusion berkebolehan merekod dan menghasilkan profiling kecerunan denai pendakian. Maklumat yang diperolehi penting dalam proses pembuatan keputusan terutamanya dalam situasi kritikal. Terdapat juga aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma bagi kegunaan orang awam atau penggiat rekreasi.

Contoh analisis penilaian struktur kanopi hutan. Ketepatan keputusan dipengaruhi oleh resolusi imej (Sumber: Zawawi, Shiba & Jemali (2015)

Ketepatan Data Spatial di Hutan Hujan Tropika

Penggunaan teknologi ini memberi manfaat kepada pihak pengurusan kawasan dan menggalakkan penjimatan kepada kos tenaga buruh, serta memberi faedah kepada penyimpanan maklumat yang lebih efisien untuk jangka masa yang panjang.

Ketepatan data yang mengandungi maklumat kawasan hutan adalah sangat penting bagi menentukan kesinambungan kajian dan merancang pelan pemuliharaan.Walau bagaimana pun, ciri-ciri hutan hujan tropika yang padat dengan beberapa lapisan silara memberi kekangan kepada peranti untuk mendapatkan data yang tepat.  Kajian kami menunjukkan bahawa ketepatan maklumat turut dipengaruhi oleh jenis hutan dan resolusi imej. Beberapa kajian antarabangsa menunjukkan peratus ketepatan data adalah agak rendah iaitu sekitar 25 – 56% bagi hutan dengan struktur yang kompleks dan berkepadatan tinggi di mana bagi setiap peningkatan kepadatan hutan (bilangan pokok), ketepatan data akan berkurang sebanyak 10-20%.

Hutan yang padat memerlukan penggunaan data dengan resolusi tinggi, dan ini turut melibatkan kos yang sangat tinggi. Penggunaan teknologi LiDAR (Light Detection and Ranging) yang menggunakan sistem pengesanan laser dibuktikan mampu mendapatkan data yang lebih tepat, namun kos yang tinggi mengehadkan pengembangannya dalam bidang perhutanan di Malaysia.

Perkembangan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV Drone) juga  mempunyai potensi yang sangat tinggi dalam kaedan capaian data perhutanan. Di Indonesia, aplikasi UAV ringan diguna bagi mendapatkan maklumat guna tanah hutan, pembalakan dan juga kedapatan hidupan liar. Sementara itu, di Jerman teknologi ini digunakan bagi mendapatkan imej jarak kanopi hutan yang mana maklumat ini sangat bernilai dalam penilaian lanjut biodiversiti.

Walaupun teknologi spatial telah lama diperkenalkan, aplikasinya dalam bidang perhutanan di Malaysia masih terhad kepada fungsi pemetaan dan pemantauan. Selain itu, kekurangan pendedahan, kepakaran serta kos yang tinggi merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani demi mencapai objektif pengurusan dan perancangan hutan secara mampan.

Pelbagai kajian lanjut diperlukan supaya algoritma baru dapat diperkenalkan untuk mengembangkan penggunaan teknologi spatial dalam bidang perancangan dan pengurusan hutan di Malaysia.

Secara amnya, teknologi itu sangat pantas berkembang. Namun persoalannya, bersediakah kita?

Kredit Foto : cnr

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*