Apple Antara Syarikat Yang Mungkin Disenaraihitam Oleh China Sebagai Tindak Balas Halangan Ke Atas Huawei

Gajah dengan gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah. Di dalam peribahasa ini Huawei telah menjadi pelanduk akibat perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China. Sebentar tadi Jabatan Perdagangan A.S telah mengeluarkan arahan baru yang menyekat Huawei dari mendapatkan cip dari pengeluar global untuk kelengkapan mereka.

Menurut laporan Global Times yang merupakan lidah rasmi kerajaan, China kini bersedia untuk memasukkan syarikat dari Amerika Syarikat seperti Apple, Cisco, Boeing dan Qualcomm ke dalam senarai “entiti yang tidak boleh dipercayai”. Antara langkah yang boleh diambil ialah mengenakan halangan dan melancarkan siasatan ke atas syarikat-syarikat tersebut. Pembatalan pesanan pesawat penumpang Boeing dari syarikat penerbangan China juga mungkin akan dilakukan.

Ini dilihat sebagai tindak balas tindakan Amerika Syarikat ke atas Huawei hari ini. China bersedia mengambil langkah kuat untuk melindungi haknya yang sah menurut sumber Global Times.

Perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China pada awalnya menunjukkan petanda akan diselesaikan tahun lalu selepas pertemuan empat mata di antara Presiden Xi Jinping dan Trump. Tetapi ia kembali tegang selepas Trump menyalahkan China ke atas pandemik Covid-19 yang melumpuhkan dunia.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*