Apple MacBook Pro 16-Inci Dilancarkan – Papan Kekunci Baharu, Storan 8TB Dan Harga Bermula RM10499

Seperti yang diramalkan sejak dua minggu lalu, Apple MacBook Pro 16-inci akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini, Selain skrin yang lebihg besar, MacBook Pro 16-inci turut hadir dengan papan kekunci baharu Magic Keyboard dan juga pilihan storan sehingga 8TB. Ini menjadikannya komputer riba dengan storan terbesar pernah ditawarkan di pasaran.

Skrin 16-inci Retina Display dipadankan dengan pemproses Intel Core-i7 generasi kesembilan enam teras ataupun Intel Core-i9 generasi kesembilan lapan teras, Memori ditawarkan adalah sehingga 64GB dan seperti kami katakan tadi storan SSD pula sehingga 8TB. GPU yang digunakan pula ialah AMD Radeon Pro 5000M  dengan 8GB VRAM. Bagi menampung kuasa yang lebih tinggi ini, sistem penyejukan juga dipertingkatkan berbanding model terdahulu,

Kembali ke papan kekunci, Magic Keyboard ini menggunakan semula mekanisme gunting yang pernah digunakan dahulu. Eksperimen Apple dengan papan kekunci kupu-kupu berakhir selepas empat tahun dan pelbagai masalah kerosakan yang serius. Selain itu butang kuasa merangkap pengimbas cap jari Touch ID dan butang Escape kini dipisahkan dari TouchBar. Kedua-dua model MacBook Pro 16 yang ditawarkan hadir dengan TouchBar.

Melengkapi spesifikasi ialah bateri sebesar 100Wh yang mampu memberikan tempoh penggunaan sehingga 11 jam. Penambahan lain yang dilakukan terletak pada pembesar suara lebih lantang serta mikrofon dengan pembatalan hingar.

Di Malaysia MacBook Pro 16 ditawarkan pada harga bermula RM 10499 sebuah untuk model dengan pemproses 2.6 GHz Intel Core-i7 6 teras, 16GB RAM DDR4 dan 512GB SSD. Ia meningkat pula ke RM 12199 untuk model dengan pemproses 2.3 GHz Intel Core-i9 8 teras, 16GB RAM DDR4 dan storan 1TB SSD. Dengan pelancaran MacBook Pro 16 hari ini, MacBook Pro 15 tidak lagi ditawarkan oleh Apple.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.