Pandemik dan perang perdagangan menyebabkan Apple memulakan proses untuk tidak lagi mengeluarkan peranti-peranti mereka dari China tahun lalu. Sebelum ini Vietnam dan India dipilih sebagai pusat pengeluaran produk kelas permulaan sahaja seperti iPhone XR. Terkini menurut laporan Nikkei Asian Review, Apple akan mempercepatkan lagi proses pemindahan produksi produk mereka dari China.

Setelah sekian lama hanya menghasilkan peranti generasi lama seperti iPhone XR, India kini bersedia untuk mengilangkan peranti paling mercu Apple iPhone 12. Ini dipercayai akan dilakukan seawal suku pertama 2021.

Seterusnya iPad pula akan dikilangkan buat pertama kalinya di Vietnam pada separuh tahun pertama 2021. Sebelum ini Vietnam menjadi pusat pengeluaran HomePod Mini. Terdapat perancangan untuk menjadikan Vietnam hab pengeluaran produk audio Apple seperti AirPods dan kelak mengilangkan mungkin komputer riba MacBook jua.

Sementara itu pengeluaran Mac Mini pula telah dipindahkan dari China ke Malaysia. Ini dilakukan pada skala kecil terlebih dahulu dengan majoriti pengilangan masih lagi dilakukan di China. Seperti di India dan Vietnam, Apple mungkin ingin melihat kemampuan pengilangan di Malaysia terlebih dahulu sebelum meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Berita buruk bagi China tetapi bagi negara-negara di jiran mereka di Selatan Asia dan Asia Tenggara, keputusan Apple ini pastinya akan ditatang seperti minyak yang penuh.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.