Apple Menghasilkan Pelitup Muka Buatan Sendiri Untuk Kegunaan Kakitangan

Dengan barisan pereka mereka sendiri, Apple telah menggunakan kepakaran kendiri untuk menghasilkan topeng muka untuk kegunaan kakitangan. Rekaan Apple Face Mask telah tertiris menerusi laman Bloomberg.

Pelitup muka ini dihasilkan sendiri oleh pasukan kejuruteraan dan rekaan industri Apple yang berpangkalan di Cupertino. Bahagian atas pelitup muka berbentuk tiga segi bagi menghalang hembusan nafas yang mengaburkan pengguna bercermin mata.

Pada bahagian dagu pula ia berbentuk bulat bagi menghalang udara masuk dari bahagian bawah. Tali pengikatnya pula boleh dilaras mengikut keselesaan pemakai. Apple Face Mask boleh dibasuh sehingga lima kali sebelum perlu dibuang.

Apple dilaporkan akan mengedarkan pelitup muka ini kepada kakitangan secara berperingkat minggu hadapan. Ia turut akan digunakan oleh kakitangan Apple Store untuk keselamatan ketika melayan pelanggan.

Pada waktu yang sama mereka turut menguji pelitup muka kalis cahaya yang dibangunkan oleh Gallaudet University untuk memudahkan kakitangan berinteraksi dengan pelanggan dengan masalah pendengaran yang membaca gerak bibir untuk berinteraksi.

Topeng muka Apple untuk pekerja barisan hadapan.

Malang sekali buat pengumpul barangan Apple, Apple Face Mask tidak akan dijual kepada umum. Awal tahun ini Apple telah menghasilkan pelindung muka bagi kegunaan pekerja barisan hadapan yang boleh dimuat turun pelannya oleh semua.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*