Apple Sedang Membangunkan Lensa Semi-Lutsinar Untuk Kaca Mata AR

Apple telah diperkatakan beberapa kali sebelum ini yang mana mereka sedang membangunkan kaca mata pintar tersendiri. Terbaru, ia dilaporkan yang mana Apple telah mencapai fasa baru dalam pembangunannya, dan kini bekerjasama dengan pihak Foxconn dalam pembangunan lensa semi-lutsinar untuk peranti realiti-terimbuh (AR).

Seperti ramai sedia maklum, kaca ini akan memainkan peranan penting dalam pembangunan dan implementasi kaca mata realiti-terimbuh berkenaan. Ia juga akan membawa kepada bagaimana implementasi dilakukan, dan bagaimana pengalaman pengguna kelak ketika menggunakannya.

Buat masa ini, lensa ini masih pada peringkat pembangunan, dan mungkin mengambil masa setahun dua lagi sebelum dikeluarkan secara pukal. Ia dikatakan pengeluaran ini agak mencabar kerana lensa ini perlu mempunyai beberapa lapisan sintetik berbeza bagi memastikan ia tahan calar, dan tidak mudah rosak, serta perlu dikeluarkan dalam persekitaran bebas debu.

Kaca mata pintar realiti-terimbuh ini dijangka akan mengubah kaedah kita berinteraksi hari ini, selain dijangka akan menggantikan penggunaan telefon pintar pada hari ini. Sekiranya diimplementasikan dengan betul, kita mungkin melihat pengguna berinteraksi sepenuhnya menggunakan kaca mata pintar berbanding penggunaan telefon pintar hari ini.

Sebelum ini, Google pernah hadir dengan Google Glass – namun ia boleh dikatakan bertahun terlalu awal, dan ia gagal dipasarkan secara meluas. Microsoft pula mempunyai penawaran tersendiri dinamakan Hololens yang lebih ditujukan kepada perusahaan, selain Facebook turut sedang melihat kepada arena sama.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*