Bagaimanakah caranya untuk mengintai apa yang anak anda layari di Internet?

Kanak-kanak dan Internet, berpisah tiada. Kerisauan ibu bapa terhadap aktiviti anak ber-Internet ada asasnya. Berdasarkan dapatan suatu kajian, ibu bapa masa kini terlalu sibuk untuk menyelia anak mereka melayari Internet dengan betul [citation needed]. Oleh itu, mengajar anak melayari Internet secara beretika adalah sesuatu perkara yang wajib tetapi sengaja dilepas pandang oleh ibu bapa. Walau bagaimanapun, kami dari RoS amat berharap agar ibu dan bapa moden masih berkesempatan untuk mengajar anak-anak mengaji Al-Quran.

Berdasarkan satu kajian di kalangan 238 orang remaja Malaysia, didapati 21.6% daripada mereka telahpun melayari laman web atau membuat carian laman web cara-cara untuk membunuh diri seawal usia 13 tahun! [request for citation] Apakah ini tidak merungsingkan jika anak anda merupakan salah seorang daripada responden tersebut? Dalam pada itu, 51% responden tahu untuk memadamkan jejak Internet mereka! Padankan muka anda kerana memberikan kebebasan menggunakan TAB sedari mereka masih bayi! Artikel ini menjelaskan beberapa cara mudah yang boleh dibuat untuk mengintip perbuatan anak anda di Internet tanpa mereka sedari.

Etika

Perbuatan mengintip aktiviti Internet seseorang sebenarnya adalah tidak beretika. Ini termasuklah mengintai secara senyap dari belakang, mencuri pakai akaun peribadi yang tidak di-log out, mahupun memasang perisian spyware kepada komputer seseorang tanpa pengetahuan. Namun, disebabkan oleh faktor tertentu, mengintai aktiviti Internet anak adalah salah satu cara untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai apa yang dilihat oleh mereka di Internet. Ini kerana, dengan mengetahui apa yang mereka layari, satu tindakan menyelamatkan keadaan dapat di rancang dan diambil.

Walau bagaimanapun, kesemua perisian keselamatan (antivirus) akan menghalang pihak ketiga daripada memasang aplikasi pengintipan pada komputer anda. Anda harus membuat sedikit modifikasi kebenaran pada perisian keselamatan untuk membenarkan perisian pengintipan tersebut bekerja. Terdapat 2 jenis kaedah untuk anda mengintip: melalui perekodan kekunci (keylogger), dan garis masa petikan skrin (timeline screenshot) – petikan skrin diambil setiap kali berlaku perubahan pada skrin komputer. Melalui gabungan kedua-dua cara pemantauan ini, ia mampu memberikan pemahaman yang mendalam terhadap aktiviti Internet anak anda.

Antara perisian yang boleh digunakan adalah: VNC Connect dan Spy Tech. Anda tidak perlu untuk membayar perkhidmatan tersebut, cukup sekadar mencuba selama 30 hari untuk melakukan pemantauan terhadap anak anda. Lihatlah laporan mengenai aktiviti Internet anak anda. Akan tetapi,  jangan cepat melatah! Jangan terus hentam anak anda. Berbincanglah dengan sesiapa terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan. Ini akan memudahkan anda melakukan aktiviti pemantauan secara berkala tanpa disedari mereka. Setelah tamat tempoh percubaan, maka nyahpasangkan (uninstall) sahaja perisian tersebut dan pasangkan semula apabila anda mengesayaki sesuatu terhadap mereka.

Nota: Jika boleh, pastikan perisian pemantauan yang anda pilih tidak menghalang anak anda dari melayari laman web lucah dan sebagainya.

Beza Pengintip (spyware) dan Perisian Pemantauan (spy software)

Melalui definisi, spyware adalah teknologi perisian yang mengumpul maklumat mengenai pengguna komputer tanpa pengetahuan mereka. Biasanya, spyware jenis ini juga dikenali sebagai adware. Perisian ini sering dipasang bersama-sama dengan pemasangan perisian lain sebagai contoh antivirus percuma, GOM player dan lain-lain perisian percuma yang bermanfaat. Ia bersifat simbiosis. Perisian ini melaporkan kembali kepada penciptanya mengenai: laman web yang anda kerap layari, minat anda ketika gelintar maklumat, demografi, dan lain-lain. Maklumat ini kemudiannya dijual kepada syarikat-syarikat pemasaran dan pihak-pihak lain yang berminat. Manakala, modus operandi perisian pemantauan (spy software) tidak seperti sedemikian.

Perisian pemantauan komputer pula dikenali sebagai perisian pengintip yang digunakan untuk memantau atau merekodkan semua aktiviti yang berlaku pada komputer pengguna. Perisian ini dipasang terus oleh pengguna yang ingin melakukan pemantauan – dan bukannya secara menyelinap secara sembunyi di atas pemasangan perisian lain. Perisian pemantauan boleh dikonfigurasikan untuk memberi amaran kepada pengguna mereka sedang dipantau, atau ia boleh bekerja tanpa pengetahuan pengguna. Perisian pemantauan boleh merakam hampir kesemua aspek yang dilakukan oleh pengguna pada komputer mereka – tetapi ia tidak akan menghantar laporan kepada pihak luar, hanya kepada pemasang perisian sahaja.

Olahan dari:

https://www.spytech-web.com/what-is-spy-software.shtml

sumber : rootofscience.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.