Bahayanya Penggunaan Ubat Kuat Terlarang Untuk Mengatasi Masalah Mati Pucuk

Oleh : Dr. Fitri Fareez Ramli
Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Mati pucuk merupakan istilah umum yang digunakan bagi menggambarkan keadaan seseorang yang mempunyai gangguan fungsi ketegangan zakar. Istilah ini mungkin disalahertikan sebagai keadaan seseorang yang tidak mempunyai kemampuan ketegangan zakar sama sekali. Pada hakikatnya, erti gangguan fungsi ketegangan zakar atau ‘erectile dysfunction’ dalam istilah Bahasa Ingeris, adalah lebih luas. Ia merangkumi pelbagai aspek dalam hubungan seks seperti keinginan, fungsi ketegangan zakar, fungsi orgasmik atau klimaks, dan juga kepuasan seks. Terdapat beberapa tahap mati pucuk iaitu ringan, ringan-sederhana, sederhana dan teruk.

Mati pucuk adalah masalah yang lazim terutamanya dengan peningkatan usia. Kelazimannya pada lelaki yang berusia18 tahun ke atas di Malaysia adalah sebanyak 31%. Ini bermakna, 3 daripada 10 orang lelaki dianggarkan mempunyai masalah mati pucuk. Tahap kelaziman yang paling tinggi ditemukan pada lelaki yang berusia 60 tahun ke atas iaitu lapan daripada sepuluh orang mempunyai masalah ini.

Seseorang yang mempunyai masalah ini seharusnya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada doktor. Masalah ini biasanya merupakan satu kesan daripada penyakit yang dialami. Antara penyakit atau keadaan yang berkaitan dengan masalah mati pucuk adalah penyakit darah tinggi, penyakit jantung, kadar kolesterol yang tinggi, obesiti dan kencing manis. Seseorang dengan penyakit tersebut mungkin tidak mempunyai gejala selain daripada gangguan fungsi ketegangan. Gangguan kesihatan mental atau psikologi seperti kemurungan, keresahan prestasi seks dan isu dalam hubungan  juga dapat meningkatkan risiko mati pucuk. Ubat-ubat tertentu seperti ubat untuk rawatan penyakit darah tinggi, sawan atau epilepsi, kemurungan dan ubat batuk juga dapat menyebabkan masalah mati pucuk. Oleh yang demikian, pemeriksaan kesihatan wajib dilakukan sebelum rawatan yang wajar dapat diberikan.

Rawatan mati pucuk yang diberikan kepada pesakit adalah berbeza, bergantung kepada penyebabnya. Perubahan gaya hidup seperti senaman berkala, pengurangan berat badan, pengambilan makanan yang seimbang dan berhenti merokok adalah rawatan barisan pertama. Perubahan gaya hidup ini dapat membantu dalam mengawal tekanan darah, kadar gula, kolesterol dan berat badan disamping meningkatkan kesihatan jantung dan fungsi ketegangan zakar. Bagi pesakit yang mempunyai mati pucuk yang disebabkan oleh masalah psikiatri dan psikologi, kaunseling dan ubat-ubat yang sesuai biasanya diberikan. Keterlibatan pasangan adalah penting terutamanya dalam sesi kaunseling kerana ia dapat meningkatkan kadar kejayaan rawatan. Bagi masalah mati pucuk yang mungkin disebabkan ubat tertentu, doktor mungkin menggantikan ubat anda kepada ubat lain yang mempunyai risiko yang lebih rendah. ‘Ubat kuat’ adalah antara rawatan yang lazim diberikan kepada pesakit dengan masalah mati pucuk. Sildenafil dan tadalafil adalah contoh ubat kuat yang tergolong dalam kelas ini yang masing-masing lebih dikenali dengan jenama Viagra® dan Cialis®. Ubat ini berfungsi dengan meningkatkan fungsi ketegangan dengan cara meningkatkan aliran darah ke zakar.

Di Malaysia, ubat kuat yang berdaftar hanya boleh diperolehi melalui doktor atau ahli farmasi dengan mengemukakan preskripsi daripada doktor. Oleh sebab mati pucuk masih dianggap sebagai perkara sensitif dalam masyarakat kita, ia menyebabkan pesakit berasa malu untuk mendapatkan rawatan perubatan. Kebanyakan pesakit lebih cenderung mengambil langkah alternatif bagi merawat sendiri melalui pembelian ubat atau produk-produk kesihatan yang dikatakan dapat membantu dalam meningkatkan prestasi seks.

Isu mengenai ubat kuat yang tidak berdaftar, palsu dan yang dicampurkan ke dalam produk makanan, kesihatan dan herba merupakan masalah global yang bukan sahaja terjadi di negara kita, malah di negara maju seperti Singapura, Belanda dan Jerman. Pengeluar produk-produk seperti ini semakin bijak dalam mengatur pelbagai strategi bagi mengelakkan pihak berkuasa untuk mengesan kewujudan bahan aktif dalam produk mereka. Selain itu, penjualan produk tersebut yang berleluasa di kedai-kedai tanpa lesen penjualan ubat yang sah dan secara dalam talian, menyukarkan lagi usaha pihak berkuasa untuk membendung masalah ini. Sesetengah penjual lebih cenderung untuk berkongsi tentang testimoni positif berkaitan penggunaan produk tetapi menyembunyikan testimoni negatif daripada pengguna. Iklan-iklan menarik yang menggunakan testimoni positif menjadi pelaris terhadap sesuatu produk. Keadah ini sangat berbeza dengan ubat yang telah terbukti melalui kajian saintifik kerana kajian yang dilakukan wajib mendapat kelulusan terlebih dahulu. Selain daripada laporan tentang kesan positif daripada ubat, kesan sampingan juga mesti dilaporkan dan produk yang memberikan kesan negatif yang membahayakan akan ditarik semula kelulusannya.

Apakah perbezaan antara produk asal dan produk palsu? Produk palsu mungkin mempunyai kadar keberkesanan yang berbeza disebabkan perbezaan kadar kandungan bahan aktif. Kepekatan kandungan bahan aktif ubat kuat dalam produk tidak berdaftar berkisar antara 1 – 25 kali ganda daripada dos yang dibenarkan.  Sebahagian produk mengandungi lebih daripada satu jenis bahan aktif, iaitu antara dua hingga lima. Kebanyakan produk dipasarkan dalam bentuk minuman iaitu kopi. Penggunaan dos yang lebih tinggi atau lebih daripada satu jenis bahan aktif ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan produk. Walaubagaimanapun,  risiko kesan sampingan yang membahayakan turut meningkat. Selain daripada itu, produk palsu juga mungkin mengandungi bahan aktif lain yang tidak sepatutnya seperti bedak talkum, dakwat pencetak dan juga cat.

Pelbagai kesan sampingan boleh terjadi. Ianya boleh terjadi pada dos yang dibenarkan atau lebih tinggi. Antara kesan sampingan yang dilaporkan adalah sakit kepala, kemerahan kulit, gangguan penglihatan, hidung tersumbat dan gangguan pencernaan. Penurunan tekanan darah secara drastik juga dapat terjadi pada pesakit yang mengambil ubat untuk rawatan jantung atau darah tinggi seperti nitroglycerin. Selain itu, terdapat juga kes di mana terjadi penurunan paras gula yang mendadak. Pemeriksaan produk ini menunjukkan terdapat ubat kencing manis yang dicampurkan secara tidak sengaja dalam proses pembuatan. Pemantauan yang kurang ketat dan tidak mengikut prosedur yang digariskan menjejaskan kualiti ubat yang dihasilkan oleh pengeluar produk tidak berdaftar.

Jadi, apakah yang anda harus lakukan jika anda mengalami gejala mati pucuk? Anda perlu mendapatkan konsultasi daripada doktor di klinik kesihatan atau klinik swasta. Bergantung kepada situasi, doktor di klinik mungkin akan melakukan pemeriksaan tertentu seperti mengambil darah bagi mengetahui punca yang berpotensi menyebabkan masalah ini. Rujukan ke klinik pakar mungkin diberikan kepada pesakit bagi mendapatkan konsultasi lanjut berkenaan mati pucuk. Elakkan daripada membeli ubat tanpa mendapatkan pemeriksaan dan konsultasi daripada doktor. Elakkan daripada mencuba pelbagai produk makanan dan herba kerana bimbang akan kandungan yang berbahaya. Pengguna harus tahu bahawa ubat kuat bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk masalah tersebut. Terdapat golongan yang dilarang sama sekali untuk mengambilnya.

Kesimpulannya, masalah mati pucuk adalah masalah yang lazim dihidapi oleh sesetengah lelaki. Pemeriksaan oleh doktor adalah perlu sebelum memulakan sebarang rawatan. Sebagai pengguna bijak, kita seharusnya mengetahui risiko dan kesan buruk ubat kuat terhadap kesihatan dengan mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih seperti doktor dan laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengguna tidak sepatutnya memandang enteng terhadap perkara ini kerana penggunaan produk-produk tersebut dapat menimbulkan pelbagai kesan sampingan termasuk mengancam nyawa. Jangan perjudikan kesihatan kita dengan produk palsu untuk kesenangan pada waktu yang singkat.

Kredit Foto : Unsplash

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*