Bayam, Tambah Darah, Batu Karang?

Oleh :  Dr Fatimah Binti Salim
Pensyarah Kanan
Institut Atta-ur-Rahman UITM

Ramai antara kita pasti tahu yang memakan sayur bayam merah sering dikaitkan dengan “tambah darah”. Seorang rakan yang sering merasakan impak yang sama meminta saya menerangkan mengenai keupayaan ini secara kimia.

Melalui carian saintifik berkaitan, saya berjumpa dengan beberapa hasil kajian yang memperoleh dapatan positif. Sebagai ahli kimia, cara berfikir saya pastinya tertumpu kepada bahan-bahan kimia terlibat dalam tindakbalas dalam memberikan hasil positif ini. Maka, dalam artikel ini saya akan menerangkan tentang kimia dalam bayam. Sebelum itu, jom kita ambil tahu dahulu komponen dalam darah agar dapat dikaitkan dengan bahan kimia dalam bayam.

Ilustrasi 3D Sel Darah & Limfosit

Apakah itu Darah?

Darah merupakan bendalir badan yang terdiri daripada empat komponen utama iaitu plasma, platlet, sel darah putih, dan sel darah merah. Komponen yang memberikan warna merah kepada darah ialah sel darah merah. Sel darah merah ini terbentuk daripada Hemoglobin (Hb) yang merupakan sejenis metalloprotein (protein yang mengandungi logam).

Struktur Hemoglobin

Bagaimanakah struktur kimia Hb?

Setiap molekul Hb terdiri daripada empat unit heme yang dikelilingi oleh protein yang mengandungi empat unit rantaian globin (2 alpha- dan 2 beta-polipeptida). Semua komponen ini bergabung membentuk struktur tetrahedral.

Komponen heme itu pula ialah sejenis molekul kompleks yang terbentuk daripada 4 gelungan struktur organik yang dikenali sebagai porphin di mana di tengahnya terdapat ion besi (Fe2+) yang terikat secara kovalen.

Fungsi utama Hb ialah mengangkut oksigen dari peparu ke seluruh tisu badan. Hb membentuk ikatan tidak stabil dan berbalik dengan molekul oksigen (fasa teroksida) menjadi oxyhemoglobin yang berwarna merah terang. Apabila ianya berada dalam fasa penurunan (tanpa oksigen) ianya akan berwarna biru ungu.

Hb dihasilkan dalam sum-sum tulang. Bilamana sel darah merah mati, Hb akan terurai, zat besi akan terasing dan digunakan semula dalam menghasilkan sel darah merah yang baru. Komponen lain pula akan membentuk bilirubin (bahan kimia berwarna hijau) yang diangkut ke dalam hempedu.

Ilustrasi Funsi Zat Besi

Daripada struktur kimia Hb di sini, disebabkan badan kita tidak mampu menghasilkan zat besi, maka jelas zat besi diperlukan daripada sumber luar agar pembentukan sel darah merah (hematopoiesis) boleh berlaku. Kekurangan zat besi dalam darah akan menyebabkan anemia. Dianggarkan 20-30% populasi dunia mengalami anemia (termasuklah saya). Selain daripada pembentukan darah, zat besi juga terlibat di dalam pelbagai fungsi badan yang lain termasuk biosintesis sesetengah asid amino, hormone, neurotransmiter dan kolagen.

Bayam Merah & Bayam Hijau

Bayam merah atau nama saintifiknya Amaranthus tricolor (Chinese spinach) merupakan sejenis tumbuhan dari genus Amaranthus (bayam), family Amaranthaceae. Terdapat 60 species dalam genus ini di mana ada yang ditanam sebagai sayur, tumbuhan hiasan dan pseudocereal (bijirin bukan cereal). Spesies yang biasa ditanam untuk tujuan bijirin (tidak bergluten) ialah Amaranthus hypochondriacus, Amaranthus caudatus dan Amaranthus cruentus. Di Malaysia, selain daripada bayam merah, bayam hijau juga mendominasi pasaran tempatan. Bayam hijau ini nama saintifiknya ialah Amaranthus dubius.

Secara perbandingan, jenis bahan kimia semulajadi dalam semua bayam adalah sama, cuma komposisinya berbeza yang menyumbang kepada kepelbagian spesies. Bayam mengandungi bahan kimia semulajadi utama dari kumpulan betalain, carotenoid, saponin, steroid, flavonoid, coumarin, sesquiterpene, fatty acids, amino acids serta phenolic lain. Warna pada bayam disebabkan oleh kehadiran bahan kimia pewarna (pigment) semulajadi seperti kumpulan klorofil (biru kehijauan ke hijau gelap), betalain dan carotenoid (kuning, oren dan merah). Untuk bayam merah, warna merah keunguan adalah disebabkan oleh kehadiran bahan kimia dari kumpulan betalain iaitu amaranthin.

Kesemua fitokimia ini mampu memberikan pelbagai manfaat kepada tubuh badan kita termasuk membantu dalam mengawal keseimbangan kimia proses pertahanan badan dari pelbagai segi (immunomodulatory). Untuk mendapatkan manfaat kesihatan ini secara optimum, bayam (juga sayuran lain) haruslah dimasak dengan seketika. Ini bertujuan untuk mengelakkan bahan kimia organik ini daripada termusnah oleh haba.

Selain daripada fitokimia ini, bayam juga kaya dengan bahan kimia yang perlu untuk pertumbuhan dan kesihatan umum badan atau lebih dikenali dengan nutrien. Gambar perincian nutrien di bawah menunjukkan bayam kaya dengan pelbagai mineral termasuklah zat besi (iron) dan kuprum (copper) yang diperlukan untuk pembentukan sel darah merah. Jika dikaitkan dengan struktur Hb dalam darah merah tadi, maka pengambilan bayam dalam diet mampu menghalang anemia (kekurangan sel darah merah).

Kandungan Nutrien Bayam Hijau

Bolehkah Bayam diambil Secara Berlebihan?

Tidak. Segala yang berlebihan itu akan membawa mudarat kepada badan. Ketahui tahap kesihatan anda agar anda tahu keperluan badan.

Selain daripada bahan kimia yang bermanfaat, bayam (terutamanya bayam hijau) juga tinggi dengan kandungan bahan kimia oxalic acid yang mana boleh terurai membentuk bes oxalate. Semasa proses penyediaan dan memasak, bes oxalate ini mampu bertindakbalas dengan ion-ion mineral (seperti iron, calcium, copper, magnesium) membentuk garam oxalate. Mineral dalam bentuk garam ini sukar untuk diserap oleh badan. Bergantung kepada sistem badan, garam oxalate ini boleh termendak dalam saluran kencing membentuk batu karang.

Maka mereka yang mempunyai masalah batu karang adalah dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan bayam dalam diet harian. Bagi sistem badan yang normal pula, dinasihatkan untuk mengambil air kosong yang mencukupi untuk mengelakkan pembentukan garam oxalate. Garam oxalate ini larut air maka ianya akan dibuang bersama dengan air kencing.

Selain daripada itu, bayam juga mengandungi vitamin K yang banyak (4 kali dari keperluan harian). Mereka yang mengambil ubat pencair darah warfarin haruslah mengelakkan pengambilan bayam dalam kadar yang banyak kerana ianya mampu menggangu fungsi ubat ini.

Bayam juga mengandungi zat potassium yang tinggi. Maka mereka yang mempunyai masalah buah pinggang (tidak mampu menapisnya) haruslah mengurangkan pengambilan.

Kesimpulan

Bayam merah atau bayam hijau dua-dua mengandungi kadar zat besi yang tinggi. Namun kandungan bahan kimia oxalic acid dalam bayam hijau adalah lebih banyak daripada bayam merah. Ini menyebabkan kadar serapan zat besi dari bayam hijau oleh badan menjadi kurang. Dan konsep “tambah darah” itu bukan disebabkan warna merah pada bayam.

Tips Untuk Mendapatkan Manfaat Mineral dalam Bayam:

Bagi membebaskan mineral ini daripada garam oxalate agar mudah diserap oleh tubuh badan, bayam boleh diambil bersama dengan makanan berasid (contohnya cuka, limau, vitamin C…). Dan elakkan mengambilnya dengan bes (contohnya susu).

Jika dilihat pada komposisi nutrien bayam ini, ianya secara semulajadi mengandungi vitamin C. Sebenarnya jumlah nutrien yang dimanfaatkan daripada bayam ini sudah cukup seimbang untuk keperluan badan yang normal. Namun bagi mereka yang ingin mendapatkan manfaat lebih daripada kandungan mineral terutamanya zat besi ini, haruslah menambah ikhtiar dengan mengetahui kebarangkalian proses kimia yang boleh membantu tadi.

*Semoga bermanfaat 😊*

Rujukan

1) Ancuceanu, R., Dinu, M., Hovaneţ, M.V., Anghel, A.L., Popescu, C.V., Negreş, N., 2015. A Survey of Plant Iron Content—A Semi-Systematic Review. Nutrients 7 (12), 10320-10351.
2) Noonan, S.C., Savage, G.P., 1999. Oxalate content of foods and its effect on humans. Asia Pac J Clin Nutr. 8(1), 64-74.
3) Hussain, M.M., 2019. A comprehensive review on the phytoconstituents from six species of the Genus Amaranthus. Bangladesh Pharmaceutical Journal 22(11), 117-124.
4) Tanmoy, G., Arijit, M., Tanushree, S., Jagadish, S., Kumar, M.T., 2014. Pharmacological actions and phytoconstituents of Amaranthus spinosus Linn: A Review. International Journal of Pharmacognosy and Phytochemical Research 6(2), 405-413.

Kredit Foto :
Shutterstock 
google
asset-a.grid.id

1332total visits,692visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.