Berita Menarik

Beberapa Persoalan Mengenai Cerapan Anak Bulan

Pembaca : 12
0 0

1. Bagaimana penentuan bulan Ramadan di Malaysia?

Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan permulaan bulan Ramadan. Rukyah adalah cerapan hilal dengan mata, manakala hisab adalah kiraan bila hilal akan dapat dicerap.

2. Bila boleh lihat anak bulan (Hilal) Hijrah?

Anak bulan Hijrah dicerap pada hari ke 29 bulan semasa selepas matahari terbenam di ufuk timur (waktu Maghrib). Jika anak bulan kelihatan, maka bulan semasa hanya 29 hari dan keesokkannya adalah bulan baharu. Jika anak bulan tidak kelihatan, keesokkannya adalah hari ke 30 bulan semasa dan lusa adalah permulaan bulan baharu.

3. Apakah perbezaan anak bulan dengan fasa bulan baru?

Fasa bulan baru merupakan istilah astronomi di mana Matahari, Bulan dan Bumi berada dalam satu garisan, fasa bulan baru juga dikenali sebagai ijtimak. Manakala anak bulan (hilal) adalah berlaku beberapa jam selepas ijtimak berlaku. Pada 23 April 2020, ijtimak bermula pada 10.25 pagi waktu Malaysia. Ini bermakna umur anak bulan semasa matahari terbenam (ghurub) adalah 8 jam 55 minit.

4. Bila mula pencerapan anak bulan bagi Malaysia?

Cerapan anak bulan kali pertama di buat bagi seluruh Malaysia adalah pada 7 Oktober 1972 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Ini berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali Yang ke-92 yang bersetuju penetapan tarikh permulaan Puasa, AidilFitri dan AidilAdha meliputi seluruh Malaysia. Sebelum keputusan tersebut, setiap negeri menetapkan sendiri permulaan tarikh Puasa, AidilFitri dan Aidiladha.

5. Kenapa terdapat perbezaan penentuan tarikh Puasa?

Sering berlaku terdapat negara yang berpuasa sehari awal atau sehari lewat dari Malaysia. Ada beberapa sebab bagaimana ini berlaku. Antaranya adalah penetapan tarikh melihat anak bulan itu sendiri. Disebabkan setiap negara mempunyai kiraan kalender Hijrahnya sendiri, maka tarikh melihat anak bulan Ramadan itu sendiri, iaitu 29 Sya’aban akan berbeza.

Dalam masa yang sama, penentuan hilal juga berbeza di antara negara, terdapat negara yang hanya perlu menampakkan hilal. Ada negara yang mengira kedudukan hilal dan perlu menetapi kriteria tertentu, seperti Malaysia dan Turki. Ada negara yang penduduk Islamnya minoriti mengikut ketetapan persatuan Islam di negaranya seperti di Amerika Syarikat di mana beberapa persatuan Islam yang menentukan tarikh permulaan bulan.

Bagi negara yang menetapkan kriteria tertentu juga mempunyai perbezaan. Ada yang hilalnya boleh lebih tinggi di ufuk tanpa meletakkan umur hilal. Manakala bagi Malaysia, telah ditetapkan kriteria imkanur rukyah.

Pada tahun 2020 bagi Malaysia, 29 Sya’aban jatuh pada 23 April 2020. Jika mengikut perkiraan, hilal memenuhi kriteria imkanur rukyah. Iaitu, sudut elongasi Matahari dan Bulan melebihi 3 darjah. Manakala altitud hilal melebihi 2 darjah dari atas ufuk.


6. Kenapa Malaysia selalu tidak dapat mencerap anak bulan seperti negara lain?

Pencerapan anak bulan di Malaysia agak sukar kerana terdapat lindungan atau halangan. Kebiasaannya langit Malaysia yang sentiasa berawan menyukarkan pencerapan anak bulan yang begitu halus. Manakala negara-negara yang mempunyai kelembapan udara yang rendah dan kurang berawan lebih mudah mencerap anak bulan.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Tinggalkan Balasan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.