Bila Saya Boleh Tahu Saya Dah Hamil?

Oleh : Nurul Nazrah
Artikel ini merupakan perkongsian dari portal HelloDoktor

Kehamilan boleh disahkan dengan dua cara. Pertama, melalui ujian air kencing dan kedua, melalui ujian darah. Kedua-dua ujian dibuat dengan mengesan hCG (human chorionic gonadotropin) yang ada dalam tubuh wanita. Plasenta menghasilkan hormon ini sebaik sahaja embrio menempel pada lapisan uterus. Semasa beberapa hari terawal selepas konsepsi, peringkat hormon ini terus bertambah dan mencetuskan simptom-simptom kehamilan.

Ujian air kencing (urin) 

Ujian air kencing boleh dibuat di rumah ataupun di klinik/ hospital. Terdapat dua cara untuk melakukan ujian air kencing. Pertama adalah dengan meletakkan air kencing dalam bekas, kemudian celupkan alat penguji kehamilan pada urin. Cara kedua pula, letakkan alat penguji pada aliran air kencing anda. Setiap teknik mengambil masa yang berbeza untuk melihat keputusan. Keputusannya akan keluar apabila melihat perubahan pada warna alat penguji, garisan ataupun simbol. Dalam sesetengah jenis alat penguji digital, keputusan boleh dilihat dengan menunjukkan perkataan “pregnant” ataupun “not pregnant”.

Bila masa yang sesuai untuk mengambil ujian air kencing? 

Anda disarankan untuk tidak melakukan ujian kehamilan sehinggalah anda telah melepasi hari haid anda, sekurang-kurangnya lewat sehari. Ini adalah masa di mana usia kandungan anda memasuki minggu kedua (jika anda hamil). Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah alat penguji kehamilan yang bersifat sensitif untuk mengesan kehamilan anda lebih awal.

Adakah keputusan ujian air kencing tepat?

Jika dibuat mengikut prosedur yang betul di rumah, keputusan ujian kehamilan melalui air kencing adalah kira-kira 97% tepat.

Kelebihan melakukan ujian air kencing:

  • Boleh dilakukan sendiri di rumah
  • Mudah dilakukan
  • Kos rendah
  • Privasi anda terjaga
  • Keputusan cepat

Keburukan melakukan ujian air kencing:

Ujian air kencing boleh memberikan keputusan yang salah jika anda tidak mematuhi arahan dengan betul. Oleh itu, jika ujian urin anda memberikan keputusan negatif namun anda mengalami tanda-tanda kehamilan, anda mungkin juga telah hamil. Untuk mengetahui dengan lebih tepat, berjumpa doktor untuk pemeriksaan atau tunggu selepas seminggu dan jalani semula ujian urin di rumah. Antara simptom-simptom kehamilan termasuklah terlewat haid, lesu, payudara sensitif, loya dan sebagainya.

Ujian darah

Secara keseluruhannya, terdapat dua jenis ujian darah iaitu ujian darah kuantitatif dan ujian darah kualitatif. Dalam ujian darah kuantitatif, doktor akan mengukur jumlah sebenar hCG dalam darah anda sementara dalam ujian darah kualitatif, anda akan menerima keputusan “yes” ataupun “no” untuk kehadiran bayi dalam perut anda.

Kelebihan melakukan ujian darah:

  • Kesan kehamilan lebih awal berbanding ujian urin. (Ia boleh memberitahu anda jika anda hamil atau tidak seawal 7 hingga 12 hari selepas konsepsi, jika ada)
  • Memberitahu amaun sebenar hCG dalam darah anda. (Melalui statistik ini, doktor anda boleh tahu jika anda ada mengalami sebarang masalah dengan kehamilan anda)

Keburukannya: 

  • Mesti dibuat dengan berjumpa doktor
  • Mahal (berbanding ujian urin)
  • Mengambil lebih masa untuk mendapatkan keputusan

Sumber : HelloDoktor

26total visits,7visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.