Biogeografi Burung Walit

Munirah Abd Rahman
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari
Universiti Malaysia Terengganu

Pengenalan

Biogeografi burung walit merupakan kajian taburan spesies burung walit (Aerodramus fuciphagus) dan ekosistem sesuatu kawasan geografi spesies tersebut berdasarkan pengiraan zaman geologi. Populasi burung walit dalam ekosistem juga berbeza mengikut gradien geografi iaitu latitud, ketinggian dan pengasingan di sepanjang cerun mengikut habitat.

Kajian biogeografi juga merangkumi integriti konsep dan pengetahuan, evolusi, geologi dan geografi fizikal. Penyelidikan biogeografi moden menggabungkan maklumat daripada pelbagai bidang seperti ekologi terhadap persekitaran organisma mengikut fenomena geologi dan iklim pada skala global dan jangka masa panjang.

Rajah 1 Burung walit (Aerodramus fuciphagus) merupakan spesies burung daripada famili Apodidae (Munirah, 2019).

Evolusi Burung Walit

Evolusi didefinasikan sebagai perubahan rupa dan sifat haiwan atau tumbuhan sepanjang zaman hingga kini. Evolusi burung walit merujuk kepada perubahan sifat burung walit. Kewujudan burung walit di Kepulauan Hainan sekitar tahun 1640-an, Gomantong, Sabah sekitar tahun 1880-an dan Jawa, Indonesia sekitar tahun 1740-an telah menunjukkan spesies burung ini mendiami habitat semula jadi di gua batu kapur untuk bersarang.

Kini, ekoran daripada kemusnahan habitat semula jadi, burung walit kini mendiami rumah-rumah atau bangunan-bangunan sebagai habitat buatan untuk bersarang. Oleh kerana sarang burung walit mempunyai nilai komersil yang sangat tinggi, ramai pengusaha tidak melepaskan peluang untuk menceburi dan melabur dalam industri sarang burung walit.

Rajah 2 Sarang burung walit (Aerodramus fuciphagus) yang mempunyai nilai komersil yang sangat tinggi hanya boleh didapati di kawasan Asia Tenggara.

Ekologi Burung Walit

Ekologi burung walit merujuk kepada habitat dan interaksi burung walit dengan alam sekitar. Antara skop kajian ekologi burung walit ialah pemakanan, predator dan ekolokasi burung walit.

Burung walit memakan spesies serangga terbang yang mempunyai berat 0.01 sehingga 0.69 gram. Burung walit memakan antara 49 sehingga 1104 ekor serangga setiap hari bergantung kepada saiz serangga tersebut. Antara serangga yang menjadi makanan burung walit ialah daripada order Hymenoptera, Coleoptera, Diptera dan Blattodea.

Haiwan predator yang mengganggu burung walit ialah ular, burung hantu, kelawar dan biawak. Gangguan predator akan menyebabkan populasi burung walit di sesuatu kawasan semakin berkurang.

Spesies burung walit juga mempunyai keupayaan ekolokasi. Burung walit menggunakan ekolokasi untuk beradaptasi di dalam habitat yang sangat gelap. Spesies burung ini menggunakan ekolokasi untuk mengelak daripada predator dan juga untuk mencari makanan.

Rajah 3 Pulau Kapas, Terengganu juga merupakan antara habitat semula jadi burung walit (Nabilah, 2020). Rajah 4 Habitat semula jadi di pantai yang mempunyai kepelbagaian spesies pokok menjadi kawasan tumpuan burung walit mencari makanan (Azri, 2020).

[Baca] Khasiat Sarang Burung Walit
[Baca] Cabaran Pemangsa Dalam Industri Burung Walit
[Baca] Kelestarian Burung Walit 
[Baca] Sarang Burung Walit; Alternatif Kepada Sirip Ikan Yu

Rujukan

Munirah, A.R., Puspa, L.G., Eni, N.M.Z., Roslida, A.R., Noor, E.S.S., & Mustafa, M. (2020). Location and Premise Size of Successful Edible Bird Nest (EBN) Swiftlet Houses in Terengganu, Malaysia. International Journal of Advanced Science and Technology, 29(3), 9356-9362.

Munirah, A.R., & Azahar, I. (2015). An Empirical study on Selected Terengganu Bird House Operators’ Perception and Environmental Conditions in Three Types of houses in Terengganu. In: International Conference of Biodiversity Conservation ICBC 2015. 26-28 May 2015, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, Malaysia.

Azahar, I., Abdullah, A.A., & Munirah, A.R. (2013). An Overview of the Study of the Right Habitat and Suitable Environmental Factors that influence the Success of Edible Bird Nest Production in Malaysia. Asian Journal of Agricultural Research, 8(1), 1-16.

Kredit Foto : goldaerodramus

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*