Bomoh Geofizik ? Bahagian I

Oleh : Dr Mohd Hariri Arifin, Kamilia Sofia Mohd Hathim & Asirah Rahmat
Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia

Pengenalan

Gelaran ‘Bomoh Geofizik’ bukanlah menggambarkan seorang tabib atau dukun yang boleh mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi serapah. Bomoh geofizik juga jauh sekali jika ingin disamakan dengan seorang pawang yang pakar dan berkemahiran untuk menyihir orang lain. Panggilan ‘bomoh’ yang telah lama digunakan sangat terkenal dalam masyarakat kita. Namun begitu, apa yang ingin dibincangkan dalam penulisan ini ialah bomoh geofizik iaitu orang yang mengamalkan ilmu dan kemahiran dalam bidang geologi dan geofizik dalam menyelesaikan masalah-masalah geologi yang ada pada masa sekarang.

Geofizik secara umumnya membawa erti cabang ilmu geologi yang menggunakan ilmu fizik untuk mengkaji sifat-sifat bumi, termasuk meteorologi, oseanografi dan seismologi. Menurut Abdul Rahim & Idrus Shuhud (1991), geofizik didefinisikan sebagai satu bidang sains yang menggunakan prinsip fizik untuk mengkaji keadaan dalam bumi. Perkataan geofizik sebenarnya berasal daripada gabungan ringkasan dua istilah sains, iaitu geo yang bermaksud kajian tentang sejarah dan perkembangan bumi berdasarkan kajian terhadap batuan manakala fizik adalah bidang sains yang mengkaji sifat jirim dan tenaga. Justeru itu, geofizik boleh dikatakan sebagai satu bidang kajian sifat dan fenomena fizikal bumi. Jadual 1 menunjukkan antara kaedah geofizik yang ada serta aplikasinya.

Geofizik dan Aplikasinya

Kemahiran mengaplikasikan kaedah-kaedah geofizik dimiliki oleh golongan bomoh geofizik. Bomoh Geofizik ini yang memegang peranan mencari air bawah tanah menggunakan kaedah keberintangan geoelektrik, mencari bijih besi menggunakan kaedah magnet, mengesan kewujudan sumber hidrokarbon menggunakan kaedah graviti serta seismos dan sebagainya. Seseorang bomoh geofizik juga berkemahiran melakukan penyiasatan geoteknik bagi membantu perancangan awal dalam pembangunan infrastruktur. Dalam penulisan ini, aplikasi geofizik yang akan dihuraikan adalah daripada aspek hidrogeologi, penjelajahan mineral dan hidrokarbon, penjelajahan arkeologi serta aspek kejuruteraan.

Jadual 1 : Gambarajah matriks keseluruhan teknologi Geofizik dan penggunaannya yang diambil daripada Abdul Rahim Samsudin (2002).

A) Bomoh Air

Air bawah tanah merupakan sumber air alternatif utama di Malaysia. Secara umumnya, kajian geofizik dari aspek hidrogeologi membabitkan penentuan sifat fizik perlapisan bumi serta hubungannya dengan eksplorasi sumber air bawah tanah. Pada kebiasaannya, air bawah tanah tersimpan di dalam lapisan bumi yang dikenali sebagai akuifer dan isipadunya bergantung kepada jenis dan ketebalan lapisan akuifer tersebut. Sebelum mengeksploitasi sumber air ini, maklumat-maklumat tentang akuifer perlu diketahui terlebih dahulu untuk menilai kesesuaiannya bagi tujuan penerokaan air bawah tanah. Di sinilah bomoh air memainkan peranan dalam menunjukkan kemahiran menggunakan kaedah geofizik seperti kaedah keberintangan geoelektrik dan pengkutuban teraruh.

Rajah 1 menunjukkan contoh peta pentafsiran potensi air bawah tanah hasil kaedah keberintangan geoelektrik dan pengutuban teraruh. Penyiasatan sumber air bawah tanah sangat penting dilakukan sebelum kerja penggerudian dilaksanakan. Kos yang tinggi diperlukan bagi aktiviti penggerudian tidak seharusnya dibazirkan tanpa kajian awalan. Sumber air bawah tanah sangat diperlukan terutama pada musim kemarau dan pasca banjir (John Stephen kayode et. Al., 2019). Kebakaran tanah gambut pada musim kemarau saban tahun sungguh memberikan kesan kesihatan yang tidak baik dan perlu ditangani secara mapan.

Di samping penjelajahan air bawah tanah, kajian geofizik juga digunakan bagi menyelidik kewujudan mata air panas. Usaha dari bomoh air untuk memperoleh maklumat kawasan takungan adalah penting untuk mengetahui potensi setiap kawasan air panas dimajukan dengan tujuan membangunkan industri pelancongan negara dan potensi kegunaan lain berasaskan sumber mata air panas tersebut.

Rajah 1. Contoh hasil keberintangan geoelektrik dan pengutuban teraruh bagi potensi air bawah tanah di kawasan sekolah berasrama

B) Bomoh Tanah Runtuh

Aplikasi geofizik digunakan dengan meluas dalam aspek geologi kejuruteraan bertujuan mengenalpasti punca utama tanah runtuh secara khususnya oleh bomoh tanah runtuh. Namun begitu disebabkan oleh kekurangan pakar dalam bidang ini serta kebolehan bakat dan ilmu dalam mengintegrasikan maklumat bersama jurutera, kaedah geofizik untuk kajian tanah runtuh di Malaysia masih belum mencapai tahap optimum. Antara kajian kes tanah runtuh yang dilakukan oleh sekumpulan bomoh tanah runtuh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah kajian di sekitar Bukit Fraser, Pahang (Rajah 2). Pendekatan penyelidikan bersepadu digunakan melalui teknik geofizik dan geologi kejuruteraan dalam menentukan kedalaman satah gelongsoran di bawah permukaan cerun (Mohd Hariri Arifin et. al., 2020).

Penyelidikan geofizik juga boleh dilakukan pada cerun potongan tanah mahupun batuan bagi memperoleh korelasi antara parameter geofizik yang diukur dengan gred luluhawa batuan. Kajian ini perlu dijalankan terhadap tiga jenis batuan utama iaitu batuan igneus, sedimen dan metamorf bagi mendapatkan korelasi antara parameter geofizik yang diukur dengan gred luluhawa batuan. Aspek tanah runtuh di kawasan tropika mungkin jauh sekali bezanya dengan negara lain yang menuntut bomoh tanah runtuh untuk arif dalam hal sebegini.

Rajah 2. Taburan lokasi tanah runtuh di kawasan Bukit Fraser, Pahang

bersambung…

Kandungan selanjutnya bersambung dibahagian kedua siri artikel ini melalui pautan di bawah :

Artikel Berkaitan: Bomoh Geologi. Bahagian II

majalahsains.com

Rujukan

Pembaca digalakan merujuk dan membaca senarai rujukan di bawah bagi mendapat pemahaman yang lebih. Mungkin dengan cara ini bakal memberikan minat kepada anda semua dan generasi muda sebagai pewaris bakat sebagai “Bomoh”.

Abdul Rahim Samsudin, 2002, Kaedah dan Peranan Geofizik: Menyingkapi Tabir Struktur dan Maklumat Bawah Permukaan Bumi, Syarahan Perdana Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. 57ms

Abdul Rahim Samsudin dan Idrus Shuhud (Terj.), 1991: PRINSIP-PRINSIP GEOFIZIK, DBP, K.L., 399 ms..

Fidel Russel. 2012. Geophysical Exploration of Petroleum Products: London, UK. Auris  Reference Ltd.

John Stephen Kayode, Mohd Hariri Arifin, Mohd Khairul Amri Kamarudin, Azimah Hussin, Mohd Nawawi Mohd Nordin & Norsyafina Roslan. 2019. The vulnerability of the aquifer units in the flood-affected areas of the east coast Peninsula Malaysia. Arabian Journal of Geosciences.12:146

Khan, S.D.& Jacobson, S. 2008. Remote Sensing and Geochemistry for Detecting Hydrocarbon            Microseepages”. Geological Society of America Bulletin120: 96    105

Lindeque, A.S., Ryberg, T., Stankiewicz, J., Weber, M.H. and De Wit, M.J., 2007. Deep  crustal seismic reflection experiment across the southern Karoo Basin, South        Africa. South African Journal of Geology110(2-3), pp.419-438.

Masron, T. & Saidin, M. 2015. Teknologi Maklumat Ruangan Dalam Arkeologi. Penerbit USM

Mohd Hariri Arifin, Nor Shahidah Mohd Nazer dan Abdul Qayyum Jalal. 2020. Pengecaman mekanisme utama tanah runtuh cetek di Bukit Fraser, Pahang. Bulletin Geological Society of Malaysia. (69):79-88.

Waddell, J., Fenwick, J. and Barton, K. 2009. Rathcroghan: archaeological and     geophysical survey in a ritual landscape, Bray: Wordwell.

Kredit Foto : kutztown

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*