Bukanlah Lalat Biasa (The Remarkable Fly)

Oleh :  Dr. Tan Li Peng
Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan

Lalat rumah, Musca domestica

Apakah itu lalat? Adakah anda sedar bahawasanya lalat terdiri daripada pelbagai spesis dan mempunyai diet yang berbeza? Secara umumnya lalat merupakan sejenis serangga yang selalu disinonimkan dengan kekotoran, busuk, pembawa kuman, dan pengacau. Tanggapan ini hanya melingkungi sebahagian daripadanya.

Lalat merupakan sejenis serangga yang diklasifikasikan di bawah Order: Diptera, dimana “Di-” bermaksud dua dan “-ptera” bermaksud sayap. Sekiranya anda perasan, kebanyakan serangga mempunyai dua pasang sayap, tetapi lalat hanya mempunyai sepasang. Ini adalah disebabkan sayap belakang ia telah diubahsuai dalam bentuk baton yang dikenali sebagai “haltere”. Haltere berfungsi sebagai organ pengimbangan yang membolehkan lalat terbang bagai penerbang aerobatik. Tidak hairanlah betapa susah jika anda ingin menangkap lalat yang tengah terbang.

Lalat rumah, Musca domestica merupakan salah sejenis lalat yang paling biasa ditemui seharian. Ia merupakan salah satu daripada serangga yang paling luas tersebar di seluruh dunia. Kira-kira 90% daripada semua lalat di kawasan perumahan merupakan lalat rumah. Ia sangat terkenal sebagai pembawa kuman yang boleh membawa hampir 100 jenis patogen yang di antaranya termasuk virus, bakteria dan parasit.

Anda mungkin akan keliru lalat rumah dengan langau dan lalat daging, kedua-dua lalat ini juga sering dijumpai di kawasan yang dihuni manusia, terutamanya tempat yang mempunyai bangkai atau tempat pembuangan sampah yang berbau busuk. Saiz kedua-dua lalat ini adalah lebih besar berbanding dengan lalat rumah. Langau selalunya berwarna hijau, biru atau hitam metalik manakala lalat daging mempunyai jalur hitam yang sangat jelas atas toraks.

Kedua-dua jenis lalat ini juga dikaitkan dengan pembawa patogen, tetapi mereka adalah lebih dikenali sebagai penyebab miasis – luka berengga pada kulit. Langau akan bertelur atas luka sekecil-kecil mata jarum dan apabila telur menetas, larva tersebut akan masuk ke dalam badan melalui luka tersebut dan makan tisu-tisu otot perumahnya. Langau, spesis Cochliomyia hominivorax merupakan salah satu serangga yang digolongkan di bawah senarai penyakit wajib lapor disebabkan kebolehan lalat ini menyerang sejumlah haiwan domestik yang besar dalam masa yang singkat.

Langau, spesis Cochliomyia hominivorax

Selain daripada itu, terdapat juga lalat yang sering dijumpai di kawasan rumah tetapi tidak disangka ianya adalah lalat. Antaranya adalah lalat cuka dan lalat longkang. Lalat cuka, yang juga dikenali sebagai lalat buah ataupun bari-bari, adalah sejenis lalat yang tertarik dengan bau buah yang telah rosak. Ia tidak harus dikelirukan dengan lalat buah “benar” kerana dua jenis lalat ini berada di bawah famili yang berlainan. Lalat cuka tertarik dengan bau buah rosak yang meyerupai bau cuka adalah tergolong bawah famili Drosophilidae manakala lalat buah yang mengerumuni buah-buahan dan boleh menyebabkan kerugian ekonomi adalah tergolong di bawah famili Tephritidae.

Lalat Cuka, Drosophilidae Lalat Buah, Tephritidae

Lalat longkang pula adalah lalat yang menyerupai kupu-kupu dan sering dijumpai di bilik mandi. Lalat ini juga digelar sebagai lalat limbah, ia tidak berbahaya dan hanya akan menjadi kegusaran apabila populasinya menjadi tinggi. Tabiat lalat ini yang hidup dan membiak di kawasan lembap yang terperangkap dengan bahan organik dan organisma seni di dalamnya dapat disingkirkan dengan kerap membersihkan saluran, paip dan celah-celah jubin bilik mandi.

Terdapat juga lalat yang dietnya adalah darah manusia atau haiwan. Lalat ini sering dijumpai di kawasan ladang yang menternak lembu, kambing atau kuda. Dua jenis lalat yang biasa ditemui adalah lalat kandang dan lalat kuda. Rupanya yang menyerupai lalat rumah, tergolong di bawah satu famili dengan lalat rumah adalah lalat kandang. Beza antara lalat kandang dan lalat rumah yang paling ketara adalah bentuk mulut lalat kandang yang berbentuk jarum. Bentuk mulut lalat kandang diubahsuai mengikut diet lalat ini yang membolehkan ia menghisap darah manusia dan haiwan. Kedua-dua jantina lalat ini menghisap darah, haiwan yang dikerumuni akan menjadi anemia dan lemah.

Lalat Kandang, Stomoxys calcitrans Lalat Kuda, Tabanidae

Lalat kuda walaupun tidak mumpunyai mulut berbentuk jarum, lalat betina jenis ini tetap hisap darah untuk mendapatkan protien untuk pembiakan. Lalat tersebut akan mencederakan mangsa dengan memotong kulitnya supaya darah mengalir keluar dari luka tersebut, kemudian ia akan menghisap dengan mulutnya yang berbentuk span. Lalat tersebut selalunya dalam saiz yang besar, ia sering menyerang haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kuda dan kadang kala pada manusia. Oleh sebab ia merupakan salah satu perosak utama pada kuda, ia juga dikenali sebagai lalat kuda selain daripada nama biasanya, pikat.

Lalat Bunga, Syrphidae Larva lalat askar hitam, Hermetia illucens Larva langau steril spesis Lucilia sericata

Walaupun lalat menpunyai reputasi yang buruk di tanggapan orang ramai, terdapat juga pelbagai jenis lalat yang penting dari segi pertanian, ekologi, makanan dan perubatan yang harus kita menghayati kemunculannya di sekitar kita. Antara contohnya adalah lalat bunga (Famili: Syrphidae), di mana lalat dewasanya adalah pendebunga yang penting dan larvanya merupakan pengawal perosak pertanian yang memburu afid; larva lalat askar hitam, Hermetia illucens yang digunakan sebagai makanan untuk haiwan ternakan kerana isi kandungannya yang berprotein tinggi; larva langau steril spesis Lucilia sericata yang digunakan untuk membersihkan luka dan kemunculan beberapa sepsis langau yang berkepentingan di sisi forensik.

Kredit Foto : Shutterstock.com

19total visits,13visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.