Cabaran Kehidupan Orang Asli Suku Semoq Beri dalam Arus Perdana

Oleh : Muhamad Aidil Zahidin
Jabatan Hematologi, Universiti Sains Malaysia
Prof Dr Mohd Tajuddin Abdullah 
Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu
Candyrilla Vera Bartholomew

Orang Asli merupakan komuniti asal dan minoriti yang tinggal di Semenanjung Malaysia. Terdapat tiga kumpulan utama komuniti Orang Asli iaitu Negrito, Senoi dan Malayu-Proto yang merangkumi enam etnik dalam setiap kumpulan utama. Mereka dapat dibezakan melalui rupa bentuk fikikal, pertuturan dan adat resam. Walaubagaimanapun, persamaan ketara yang dapat dilihat dalam kalangan komuniti Orang Asli adalah kebergantungan kepada sumber semulajadi bagi kelangsungan hidup. Komuniti Orang Asli juga memiliki keunikan yang tersendiri dari segi kepercayaan, budaya dan adat resam mereka.

Suku kaum Semoq Beri merupakan salah satu kaum yang tergolong dalam kumpulan Senoi. Komuniti ini dipercayai berhijrah dari benua Afrika dan masuk ke Semenanjung Malaysia kira-kira 35,000 tahun dahulu. Terdapat lima penghijrahan pra-sejarah direkod berdasarkan data DNA mitokondria. Kini, suku kaum Semoq Beri boleh dijumpai di beberapa negeri di Semenanjung dimana rata-ratanya tinggal di pedalaman negeri pantai timur Semenanjung Malaysia iaitu Terengganu dan Kelantan, dan sebahagian kecil di Pahang. Suku kaum ini juga dikenali sebagai ‘Orang Hutan’ atas kebergantungan mereka dimana hutan dijadikan sebagai ‘bank’ (sumber utama) dalam kehidupan seharian. Beberapa kajian yang telah dibuat menunjukkan komuniti Orang Asli mengeksploitasi sumber tumbuhan dan haiwan yang diperoleh dari hutan sebagai sumber makanan dan ekonomi. Menariknya, komuniti Semoq Beri sangat menitikberatkan akan kelestarian sumber hutan terpelihara. Oleh hal yang demikian, komuniti ini haruslah dikekalkan bagi menjamin kelestarian hutan dan sumber semulajadi negara kita.

Pada waktu petang, golongan wanita akan duduk santai bersama dengan anak atau cucu masing-masing

Kendatipun, masyarakat suku kaum Semoq Beri kurang diberi perhatian dalam beberapa aspek seperti pembangunan dan cabaran dalam kehidupan mereka. Dalam era globalisasi ini, komuniti ini dilihat menghadapi cabaran setempat dan berdepan dengan pembangunan yang pesat. Hal ini demikian kerana, pembangunan akan menjejaskan sumber hutan yang juga merupakan sumber utama makanan dan ekonomi komuniti mereka. Cabaran lain yang dapat dilihat hasil daripada implikasi arus perdana ini adalah komuniti Orang Asli mudah dieksploitasi oleh orang luar. Disebabkan oleh kurangnya tahap pendidikan dan penerimaan maklumat, komuniti ini mudah dipengaruhi dalam melakukan kegiatan yang dilarang. Sebagai contoh, terdapat kes mutakhir ini dimana Orang Asli ditahan dalam kegiatan pemburuan haram. Orang Asli yang dikenali dengan keunikan budaya dan adat resam kini juga diambang pengaruh gejala sosial seperti pengambilan alkohol dan dadah. Hal ini dibuktikan dengan kes penahanan individu Orang Asli kerana memiliki dadah dan didapati juga postif dadah.

Pendidikan merupakan aspek yang penting dalam menghadapi dunia arus perdana. Tanpa mendapat pendidikan yang sempurna, seseorang individu itu tidak akan mampu bergerak seiringan dengan era globalisasi. Oleh itu, komuniti Orang Asli perlulah mula untuk menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka agar menerima pendidikan formal sejak dari kecil lagi. Akan tetapi, cabaran utama untuk mamastikan komuniti ini mendapat pendidikan adalah cara untuk mengubah persepsi ibu bapa dan menarik minat kanak-kanak untuk hadir ke sekolah. Adalah tidak dinafikan bahawa komuniti suku kaum Semoq Beri sangat berpegang teguh kepada budaya dan adat resam mereka. Walaubagaimanapun, dalam era globalisasi kini, komuniti ini haruslah bersedia menghadapi perubahan dari segi perkembangan maklumat dan teknologi. Hal ini adalah untuk memastikan komuniti mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana ini. Oleh hal yang demikian, komuniti ini perlulah mempunyai keupayaan mampu beradaptasi terhadap perubahan bagi menjamin kehidupan yang lebih baik. Untuk merealisasikan harapan agar komuniti suku kaum Semoq Beri berada di hadapan seiring dengan komuniti bukan Orang Asli yang lain, peranan daripada banyak pihak adalah amat penting untuk sama-sama membantu membangunkan kehidupan komuniti Orang Asli ini.

Generasi muda suku kaum Semoq Beria dikhuatiri tidak dapat membesar seiring dengan pemodenan pesat di sekitar kawasan perkampungan mereka. Suku kaum Semoq Beri di sekitar Tasik Kenyir, Terengganu kebiasaannya akan membawa seluruh ahli keluarga mereka untuk mencari hasil hutan dan akuatik berbulan lamanya.

Bibliografi

Abdullah, M. T., Abdullah, M. F., Bartholomew, C. V., Jani, R. (2016). Kelestarian masyarakat Orang Asli Terengganu. Kuala Nerus: Penerbit Universiti Malaysia Terengganu.

Abdullah, M. T., Adanan, N. A., Zakaria, N. A., Ahmad, N. I. I. & Roslan, A. (2019). Tasik Kenyir: Stunning beauty and its biodiversity. Kuala Nerus: Penerbit Universiti Malaysia Terengganu.

Abdullah, M. T., Mohammad, A., Nor Zalipah, M. & Lola, M. S. (2019). Greter Kenyir landscape. Social development and environmental sustainability: From ridge to reef. Springer Nature Switzerland.

Bartholomew, C. V. & Abdullah, M. T. (2018). Amalan lestari dalam kehidupan masyarakat Orang Asli Semaq Beri. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah Publisher (In press).

Carey, I. (1976). Orang Asli: The aboriginal tribes of Peninsular Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Rambo, A. T. (1979). Human ecology of the Orang Asli: A review of research on the environmental relations of the aborigines of Peninsular Malaysia. Federation Museum Journal, 24, 40-71.

Ramle, A., Greg, A., Ramle, N. H. & Mat Rasat, M. S. (2014). Forest significant and Conservation among Semaq Beri tribe of Orang Asli in Terengganu state, Malaysia. Australian Journal of Basic and Applied Sciences, 8, 386-395.

Zahidin, M. A., Wan Omar, W. B., Wan Taib, W. R., Rovie Ryan, J. J. & Abdullah, M. T. (2018). Sequence polymorphism and haplogroup data of the hypervariable regions on mtDNA in Semoq Beri population. Data in Brief, 21, 2609-2615.

Zakaria, B. K. (2019). Orang Asli ditahan, dadah nilai RM 915,000 dirampas. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/10/613247/orang-asli-ditahan-dadah-nilai-rm915000-dirampas.

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*