Caj Pembatalan Grab – Apa Anda Perlu Tahu?

Beberapa hari lalu, kami telah melaporkan bahawa Grab Malaysia bakal memperkenalkan caj pembatalan perkhidmatan dimana pelanggan Grab akan dikenakan bayaran sebanyak RM3 hingga RM5 untuk pembatalan yang dibuat selepas lima minit mana-mana pemandu telah menerima permintaan anda.

Grab Batal

Grab Malaysia baru-baru ini telah hadir dengan penjelasan bagaimana bayaran pembatalan ini berfungsi. Menurut Grab, pelanggan hanya akan dikenakan caj penalti ini apabila salah satu daripada dua insiden berlaku:

  • Pelanggan membatalkan tempahan kenderaan lima minit selepas seorang pemandu Grab telah menerima tempahan
  • Pelanggan tidak hadir lima minit selepas pemandu Grab tiba di lokasi yang dipersetujui

Untuk bayaran tunai, pelanggan akan perlu membayar yuran pembatalan tersebut apabila mereka menggunakan perkhidmatan seru-pandu Grab seterusnya, dan untuk pembayaran kad kredit ataupun GrabPay, pelanggan tersebut akan dikenakan bayaran tersebut secara terus.

Grab Batal

Untuk insiden kedua, pemandu biasanya akan tanya kepada pelanggan jika mereka sudahpun berada di lokasi yang ditetapkan, dan jika mereka akan lewat tiba di lokasi tersebut, pemandu boleh menunggu untuk pelanggan tersebut, dan hanya akan membatalkan tempahan jika dia rasakan bahawa pelanggan tersebut tidak akan tiba selepas lima minit.

Grab turut menyatakan bahawa untuk pembatalan selepas lima minit yang pertama, pengguna tidak akan dikenakan bayaran tersebut, dan jika pengguna merasakan bahawa bayaran tersebut tidak munasabah, mereka boleh membuat laporan kepada Grab, dan jika ia dilihat bahawa alasan anda kukuh, bayaran tersebut akan dibayar semula kepada anda tanpa terlalu banyak soalan.

Caj pembayaran yang akan dikenakan kepada pelanggan adalah seperti berikut:

  • GrabCar, GrabShare, JustGrab, GrabTaxi, GrabAirport, GrabMandarin – RM3
  • GrabCar, GrabShare, JustGrab, GrabTaxi, GrabAirport, GrabMandarin (6-10 orang) – RM4
  • GrabPremium, GrabLuxe – RM5

Grab Batal

Apabila disoal mengenai caj pembatalan tersebut, Grab berkata bahawa ia akan dimasukkan terus kedalam akaun pemandu yang dibatalkan tersebut, dan Grab tidak akan mengambil sebarang potongan daripada caj pembatalan itu.

Grab juga sedar bahawa terdapat pemandu yang membatal tempahan kenderaan, dan untuk ini, Grab juga akan membayar balik pengguna pada kadar yang sama jika ia didapati bahawa terdapat pemandu-pemandu seperti ini yang sering membatalkan tempahan,

Dalam pada itu, Grab juga akan mengambil langkah disiplin seperti penggantungan ataupun melarang terus pemandu-pemandu tersebut daripada memandu untuk Grab.

Grab Batal

Menurut Grab lagi, isu pembatalan lewat ini melibatkan hanya 0.5 peratus daripada pelanggan Grab setiap hari, dan walaupun jumlah ini sangat sedikit, ia nampaknya melibatkan sejumlah pemandu Grab, yang merasakan bahawa ia tidak adil kerana minyak dan masa yang digunakan boleh dimanfaatkan untuk pelanggan yang benar-benar memerlukan perkhidmatan mereka.

Grab akan mula mengenakan caj pembatalan ini bermula 25 Mac kelak, dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia akan ditetapkan pada harga RM3 ke RM5 bergantung kepada perkhidmatan seru-pandu yang ditempah.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.