Clubhouse ialah sebuah laman media sosial baru yang memfokuskan kepada pergaulan menggunakan audio, sama seperti panggilan telefon ataupun audio atas talian yang boleh didengari orang ramai.

Baru-baru ini, pemerhati internet Stanford Internet Observatory telah melaporkan bahawa salah satu pembekal perkhidmatan yang digunakan Clubhouse, iaitu Agora Inc. didapati menghantar maklumat metadata seperti nombor ID pengguna dan juga bilik perbualan ke mesin-mesin pelayan mereka di China.

Data ini juga dihantar ke mesin-mesin tersebut secara teks biasa tanpa penyulitan, dan sesiapa yang dapat memintas penghantaran data ini bukans sahaja mendapat akses kepada perbualan audio, tetapi juga mengetahui pengguna-pengguna manakah yang sedang berada didalam bilik tersebut.

Pihak Agora telah mengeluarkan kenyataan dan mengatakan bahawa metadata yang dihantar ke mesin-mesin pelayan mereka tidak disimpan, dan data tersebut hanya digunakan untuk memerhati kualiti panggilan pada aplikasi tersebut.

Data audio Clubhouse juga semuanya disimpan di Amerika Syarikat, dan menurut Agora, walaupun kerajaan China memiliki metadata itu, ia tidak berguna kerana mereka tidak akan mendapat akses kepada penstriman audio tersebut.

Walaupun begitu, pihak Clubhouse telah mengatakan bahawa mereka akan mengemaskini keselamatan pengguna mereka dengan memastikan metadata ini tidak dihantar ke pelayan di China.

Clubhouse mengatakan lagi bahawa secara teknikalnya, Clubhouse tidak ditawarkan di China, tetapi pengguna telah mencari jalan untuk memuat-turunnya, dan ia telah digunakan sehinggalah kerajaan China mengharamkan penggunaannya secara meluas di negara tersebut.

Buat masa ini, aplikasi Clubhouse masih lagi eksklusif untuk peranti iPhone, dan anda perlu mendapat jemputan khas daripada pengguna lain untuk menggunakannya.

Sumber : amanz.my

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.