Coronavirus & Pensanitasi Tangan (hand sanitizer)

Oleh : Dr Amirah Mohd Gazzali
Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia

Pengenalan

Dunia telah digemparkan dengan penularan wabak COVID-19 sejak beberapa bulan yang lalu. Wabak ini telah dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020 dan bilangan kes didapati terus meningkat setiap hari di seluruh dunia. Episenter jangkitan COVID-19 ini berpindah dengan pantas, dari China ke Itali, ke Amerika dan yang terkini di Amerika Latin. Keupayaan virus ini untuk bermutasi dan menjangkiti manusia dengan pantas menjadikan usaha untuk mengekang wabak ini menjadi sukar dan hal ini menyebabkan beberapa negara telah mengambil langkah-langkah drastik seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia (terkini PKPP). Sebelum meneruskan pembacaan artikel ini, terdapat beberapa istilah penting yang perlu difahami oleh pembaca bagi memudahkan pemahaman topik ini:

COVID-19 (Coronavirus Disease 2019)

Sejak sekian lama, jangkitan virus telah menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada manusia. Virus influenza sering menyebabkan batuk selesema, dan virus lain seperti coronavirus mampu menyebabkan penyakit yang lebih serius seperti sindrom pernafasan akut teruk (severe acute respiratory syndrome, SARS) yang melanda dunia pada 2002-2003 dan kini SARS-CoV2 2019 yang menyebabkan COVID-19. SARS 2002 telah menjangkiti sekitar 8000 orang di seluruh dunia dan telah menyebabkan hampir 800 kematian. COVID-19 pada hari ini pula telah menyebabkan kesan yang jauh lebih teruk, dengan lebih 5 juta individu terjangkit dan lebih 300,000 kematian di seluruh dunia (data sehingga Mei 2020).

Sebelum kita mengulas lebih lanjut berkenaan coronavirus dan pensanitasi tangan (hand sanitizer), kita perlu memahami ciri-ciri virus COVID-19 terlebih dahulu. COVID-19 merupakan virus bersampul (enveloped virus). Pada permukaan virus ini, terdapat struktur seakan-akan mahkota yang telah memberikan nama corona (Latin: coronam = crown) kepada virus tersebut.

Coronavirus. (Kredit foto: rawpixel.com)

Kehadiran sampul pada permukaan coronavirus membantu untuk mengekalkan bentuk virus ini. Sampul virus dibentuk oleh lapisan lemak (lipid) yang melindungi komponen genetik dalaman virus tersebut daripada faktor luaran yang boleh merosakkan virus. Justeru, tanpa sampul, coronavirus menjadi tidak stabil dan akan musnah dengan pantas.

Kajian terkini pada SARS-CoV2 menunjukkan kebolehjangkitan virus ini kekal selama 3 hari pada permukaan plastik dan besi tahan karat (stainless steel), 24 jam di atas permukaan kad dan 4 jam di atas permukaan kuprum. Secara umumnya, kajian-kajian terdahulu telah menunjukkan kebolehjangkitan (infectivity) human coronavirus (HCoV) hanya hilang sepenuhnya selepas enam ke sembilan hari berada atas sebarang permukaan keras. Keadaan ini bergantung kepada suhu dan keadaan persekitaran, iaitu seperti dalam jadual di bawah:

Suhu dan kelembapan relatif memainkan peranan dalam penentuan survival coronavirus. Pada kelembapan relatif 80 % dan suhu 20 °C (suhu bilik berhawa dingin), kebolehjangkitan virus ini menurun dengan pantas berbanding pada suhu yang lebih rendah. Kelembapan relatif yang tinggi di Malaysia (sekitar 80%) mungkin menjadi kelebihan yang membantu eliminasi virus dengan lebih pantas, berbanding negara dengan kelembapan yang lebih rendah.

Disinfeksi menggunakan Pensanitasi Tangan

Penyebaran virus kebiasaannya berlaku melalui titisan cecair daripada saluran pernafasan (batuk, bersin) dan sentuhan tangan serta permukaan. Hal ini menyebabkan disinfeksi atau pembersihan tangan dan permukaan menjadi antara langkah penting untuk mengekang penyebaran virus ini, selain pemakaian topeng muka oleh individu bergejala. Dua langkah ini merupakan saranan pihak WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada ahli masyarakat sebagai usaha melindungi diri daripada dijangkiti COVID-19.

Kajian telah menunjukkan kewujudan sampul pada permukaan coronavirus merupakan kelemahan virus ini yang dapat digunakan untuk memerangi penyebarannya. Atas sebab kehadiran sampul tersebut, proses nyahaktif boleh dilakukan dengan mudah dengan menggunakan sabun dan air. Sabun merupakan bahan yang berupaya untuk melarutkan komponen lemak pada sampul virus ini dan setelah sampul musnah, kandungan di dalam virus itu akan dapat disingkirkan bersama-sama aliran air. Justeru, mencuci tangan dengan sabun dan air merupakan kaedah terbaik untuk membunuh COVID-19.

Selain sabun dan air, produk pensanitasi tangan (hand sanitizer) atau cecair pembersih tangan juga merupakan pilihan berkesan sebagai langkah perlindungan menentang COVID-19. Produk ini merupakan item penting yang perlu ada sejak wabak COVID-19 melanda dunia, selari dengan saranan WHO untuk kerap membersihkan tangan. Pensanitasi tangan yang biasa didapati di kedai farmasi ialah produk berasaskan alkohol. Berdasarkan garis panduan semasa daripada WHO dan KKM, hanya Pensanitasi tangan berasaskan alkohol yang berkesan untuk menyahaktifkan bakteria dan virus, termasuk COVID-19. Sama seperti sabun, alkohol juga dapat melarutkan sampul coronavirus dan seterusnya menyahaktifkan virus ini dengan berkesan.

Selain alkohol, terdapat juga produk Pensanitasi tangan bebas alkohol di pasaran, yang menggunakan bahan seperti silver, chlorhexidine digluconate, benzalkonium chloride dan sebagainya, dengan jaminan keberkesanan oleh pengeluar. Hal ini mengundang kekeliruan dalam kalangan pengguna – terutama kepada golongan masyarakat yang memilih untuk tidak menggunakan alkohol sebagai pensanitasi tangan.

Hasil daripada kajian tinjauan karya (literature review) menunjukkan keberkesanan bahan-bahan yang berbeza sebagai pensanitasi tangan ialah seperti berikut:

Jurnal-jurnal kajian yang telah diterbitkan menunjukkan bahan-bahan bukan alkohol tidak berkesan secara total untuk menyahaktifkan SARS-CoV. Namun kombinasi beberapa bahan seperti chlorhexidine digluconate dengan ethanol adalah berkesan. Benzalkonium chloride (BKC) yang merupakan sejenis bahan sabun dapat menyahaktifkan SARS-CoV, tetapi tempoh mencuci tangan yang lebih panjang diperlukan, iaitu sekitar 60 saat. Kebanjiran produk pensanitasi tangan / hand sanitizer tanpa alkohol kemungkinan disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna yang kurang menggemari produk berasaskan alkohol.

Terdapat juga produk pensanitasi tangan berasaskan nanopartikel perak (silver nanoparticles). Namun demikian, tiada kajian spesifik keberkesanan produk berasaskan perak terhadap coronavirus, sebaliknya hanya pada virus-virus bersampul lain seperti HIV dan virus herpes simplex. Justeru, sukar untuk dipastikan sama ada nanopartikel perak dapat menyahaktif coronavirus berdasarkan dapatan kajian sedia ada. Selain itu, faktor keselamatan nanopartikel perak juga menjadi perbincangan kerana tiada data lengkap yang menyokong penggunaannya sebagai pensanitasi tangan.

Isu sekitar penggunaan sanitizer berasaskan alkohol

Penggunaan alkohol secara kerap pada permukaan kulit dapat mengakibatkan kegatalan dan pengeringan kulit  signifikan, yang akan mengundang ketidakselesaan pada pengguna. Atas faktor ini, kebanyakan produk pensanitasi tangan (jika tidak semua) mengandungi pelembap sebagai komponen dalam produk yang dihasilkan. Pelembap seperti gliserin dan ekstrak aloe vera pada kepekatan yang sesuai akan membantu memberikan rasa lembut dan lembab pada permukaan kulit tangan selepas penggunaan sanitizer. Namun sebaliknya, kuantiti pelembap yang terlalu banyak dalam produk akan mengakibatkan kulit terasa melekit dan kurang selesa.

Terdapat sesetengah pihak yang mempersoalkan hukum menggunakan alkohol oleh umat Islam. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan panduan yang mengatakan penggunaannya harus, dan tiada sebarang masalah terkait dengan soal ibadah dan sebagainya. Justeru, pengguna tidak perlu bimbang untuk memilih produk berasaskan alkohol sebagai pensanitasi tangan. Penerangan lanjut dapat dirujuk daripada link ini: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4307-al-kafi-1652-penggunaan-hand-sanitizer-ketika-melakukan-solat

Kesimpulan

WHO dalam satu kenyataan pada 11 Mac 2020 mengatakan:

“We have never before seen a pandemic sparked by a coronavirus. This is the first pandemic caused by a coronavirus. And we have never before seen a pandemic that can be controlled, at the same time.”

Ini merupakan kali pertama coronavirus mengakibatkan wabak berstatus pandemik. Namun dalam masa yang sama, walaupun COVID-19 berstatus pandemik, ia boleh dikawal melalui langkah-langkah pencegahan seperti memakai topeng muka dan kerap mencuci tangan.

WHO dan KKM menyarankan ahli masyarakat supaya kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, atau menggunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Justeru, ahli masyarakat perlu cakna akan hal ini dan memastikan pensanitasi tangan yang dipilih ialah berasaskan alkohol dan pada kepekatan yang sesuai, iaitu lebih daripada 60%. Pada kepekatan yang lebih rendah, keberkesanan alkohol untuk menyahaktif virus ini tidak dapat dijamin. Pengguna disarankan untuk membaca kandungan produk pensanitasi tangan yang mahu dibeli dan memastikan kepekatan alkohol yang sesuai, serta kehadiran pelembap dalam produk tersebut. Pengguna juga harus sedar bahawa alkohol merupakan bahan sanitasi terbaik untuk menyahaktifkan virus. Sebagai pengguna bijak, kita wajar meneliti faktor keberkesanan sebagai satu faktor penting kerana keberkesanan tidak wajar dikompromi.

Rujukan 

[1] Rabenau, H.F., Kampf, G., Cinatl, J. & Doerr, H.W. (2005). Efficacy of various disinfectants against SARS Coronavirus. The Journal of Hospital Infection, 61(2): 107-111.

[2] World Health Organization (2020). Laboratory biosafety guidance related to novel coronavirus (2019-nCoV). https://www.who.int/docs/default-source/coronaviruse/laboratory-biosafety-novel-coronavirus-version-1-1.pdf?sfvrsn=912a9847_2 Accessed on 28 May 2020.

[3] Eggers, M. (2019). Infectious disease management and control with povidone iodine. Infectious Disease and Therapy, 8: 581-593.

[4] World Health Organization (2020). Coronavirus disease (COVID-19) advice for the public. https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/advice-for-public

[5] Geller, C., Varbanov, M. & Duval, R.E. (2012). Human Coronaviruses: Insights into environmental resistance and its influence on the development of new antiseptic strategies. Viruses, 4(11): 3044-3068.

[6] Reynolds, S.A., Levy, F. & Walker, E.S. (2006). Hand sanitizer alert. Emerging infectious Diseases, 12(3): 527-529.

[7] Centre for Disease Control and Prevention (2020). Hand Hygiene Recommendation. https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/hcp/hand-hygiene.html. Accessed on 28 May 2020.

[8] Galdiero, S., Falanga, A., Vitiello, M., Cantisani, M., Marra, V. and Galdiero, M. (2011). Silver nanoparticles as potential antiviral agents. Molecules, 16(10): 8894-8918.

[9] Doremalen, N., Morris, D., Holbrook, M.G., et al (2020). Aerosol and surface stability of SARS-CoV-2 as compared with SARS-CoV-1. The New England Journal of Medicine, 382: 1564-1567.

Kredit Foto : cen.acs

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*