Daging Rusa Palsu? Pemerkasaan Industri Rusa Melalui Teknologi Reproduktif Berbantu & Pengecaman Daging Rusa Asli

Oleh :  Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar1Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin2

Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia1

Fakulti Sains Gunaan, UiTM2

Menjelang musim perayaan, rakyat Malaysia akan mula merancang menu juadah untuk dinikmati bersama keluarga. Antara sumber protein yang turut meningkat permintaannya adalah daging rusa ternakan daripada spesies Rusa timorensis. Namun begitu, pengeluaran daging rusa ternakan negara berada pada tahap rendah dan timbul isu daging rusa yang diragui ketulenannya. Peningkatan ilmu tentang ciri-ciri daging rusa asli dan peningkatan produktiviti ladang rusa merupakan serampang dua mata untuk pemerkasaan industri rusa dan solusi bekalan daging rusa tempatan.

: Ternakan rusa, Rusa timorensis boleh dikembangkan melalui teknologi reproduktif berbantu yang berupaya untuk memberi pulangan yang lumayan.

Teknologi Reproduktif Berbantu Pada Rusa Berupaya Mengubah Landskap Penternakan Rusa Negara

Malaysia memerlukan baka rusa yang mempunyai daya pengeluaran daging tinggi dan berdaya tahan penyakit. Antara cabaran yang bakal dihadapi penternak dan pengurus haiwan dalam jangka masa panjang jika tidak menukar pembiak baka adalah pembiakbakaan dalam atau penghasilan anak rusa hasil daripada kacukan hubungan keluarga yang rapat. Tinjauan awal kami mendapati bahawa spesies rusa sedang mengalami penurunan daya kesuburan. Teknologi reproduktif berbantu seperti permanian beradas berupaya untuk memindahkan sumber genetik dengan kos-berkesan. Selain itu, teknologi ini dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit melalui pembiakan dan pembelian haiwan yang baharu.

Hasil penyelidikan kami menunjukkan keunikan rusa jantan yang mempunyai waktu pembiakan bermusim bergantung kepada status hormon testosteron penjantan; didapati berlaku di antara bulan April dan Julai. Kualiti dan kuantiti air mani rusa juga mempunyai potensi untuk dikriopreservasi atau disimpan pada suhu kriogenik rendah menggunakan cecair nitrogen pada -196˚C. Air mani rusa yang telah disejuk beku mempunyai keupayaan seperti rusa penjantan untuk membuat persenyawaan pada rusa betina. Justeru, kos rusa penjantan, transportasi, perubatan dan pengurusan berkaitan rusa jantan dapat dikurangkan. Penggunaan rusa penjantan yang tinggi nilainya juga dapat digunakan secara maksimum dan meluas melalui teknologi ini.

Daging rusa mempunyai warna merah gelap dan tanpa lemak.

Ciri-Ciri Daging Rusa Asli

Penternak bergantung harap pada penjualan daging rusa terutamanya pada musim perayaan. Namun begitu, sejauh manakah pengguna dapat membezakan daging rusa asli, daging rusa import dan daging lembu. Ciri daging rusa asli sangat berbeza dari segi warna, kandungan air dan lemak dan juga kekenyalan. Secara amnya, warna daging rusa lebih gelap seakan warna daging kerbau manakala daging lembu sedikit cerah berbanding rusa. Daging rusa mempunyai kandungan air dan lemak kurang berbanding daging lembu. Namun perkara yang membuatkan penggemar rusa gian untuk menikmati dagingnya adalah kerana haiwan ini meragut secara bebas dan ini menyumbang kepada rasanya yang unik. Manakala, daging import boleh mempunyai keenakan dan rasa yang sedikit rendah daripada daging liar dan juga kurang berjus kerana telah disejuk beku lebih daripada 90 hari. Namun begitu, pengguna masih gemar membeli daging import ekoran harga yang rendah dan juga tidak pandai membezakan keunikan rasa daging asli dan import. Akibatnya, saingan yang tidak sihat boleh membantutkan pendapatan penternak dan menyumbang kepada penutupan kandang.

Kesedaran masyarakat tentang daging rusa asli menjamin pilihan yang menyokong perniagaan dan pengeluaran daging rusa tempatan yang mampan. Teknologi reproduktif berbantu seperti permanian beradas merupakan salah satu alat yang berupaya untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti daging rusa negara terutamanya yang dibelenggu masalah genetik.

Akhir kalam, pilihan di tangan anda, jadilah penternak dan pengguna yang bijak membuat keputusan. Sila laporkan aktiviti menjual daging yang diragui ketulenannya pada pro@dvs.gov.my

Dr Wan Nor Fitri Wan Jaafar

Pensyarah Kanan (Theriogenologi & Sitogenetik)
Jabatan Pengajian Klinikal,
Fakulti Perubatan Veterinar, UPM
03-86093908
wannorfitri@upm.edu.my

Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin
Pensyarah Kanan (Sains Daging, Analisis Halal)
Ketua Perhidmatan Makmal Halal, Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS)
Fakulti Sains Gunaan, UiTM
sitiaimi@uitm.edu.my,

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*