Dasar Kebersihan Negara: Kemampuan dan Persepsi “Kata di Kotakan”

Oleh Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Bin Md Din
Pengarah Pelestarian Kampus, Universiti Teknologi Malaysia

Masyarakat Malaysia tentu berbangga dan menjadi lebih teruja dengan beberapa siri pengenalan program, inisiatif, kempen dan pelancaran rasmi di pelbagai peringkat menjurus ke arah Dasar Kebersihan Negara. Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin bersama-sama dengan Ketua Menteri Melaka, YB Adly Zahari telah membuat ikonik pelancaran tersebut bersempena dengan Sambutan Hari Habitat Sedunia 2019 peringkat Malaysia dan Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2019. Sebagai rakyat Malaysia, siri pelancaran berkaitan dasar ini amat penting untuk difahami. Terdapat LIMA (5) kluster yang menyokong perlaksanaan ini iaitu, (1) kesedaran terhadap kebersihan, (2) kelestarian alam sekitar, (3) ekonomi kitaran, (4) tadbir urus dan penguatkuasaan, dan (5) modal insan berkualiti dan berkemahiran. Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia diberikan wadah segar dan penyatuan program yang sewajarnya telah membangkitkan komitmen dan mentaliti gaya hidup moden. Menerusi paparan media juga menunjukkan pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat menyatakan sokongan seperti program kitar semula, “Trash for Cash”, “Berani Tegur” dan “Ini Rumah Kita” yang merupakan antara kempen berbentuk perang psikologi dan menguatkan jatidiri masyarakat Malaysia. Menariknya, pengenalan dasar ini juga menekankan kepentingan teknologi sediada, sampah sebagai pendapatan tambahan dan meningkatkan penjenamaan baharu pekerja di sektor ini (kebiasaannya dikenali sebagai pekerja 3D: Dirty, Dangerous and Difficult). Untuk jangkamasa panjang, pihak SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) Malaysia juga telah membuat penambahbaikan dalam penarafan sijil kemahiran dan membina mentaliti kelas pertama melibatkan perkhidmatan ini. Komitmen di peringkat nasional juga telah banyak diperluaskan menerusi program setempat, kelompok sasar di setiap daerah dan negeri, serta aktiviti kemasyarakatan menerusi cabang persatuan dan badan-badan bukan kerajaan.

Peranan Media dan Pengaruh Ikon

Justeru, melihat kepelbagaian inisiatif dan perancangan terperinci kerajaan dalam mengurus dan melaksana perkhidmatan ini, tidak dapat dinafikan keupayaan serta kemampuan untuk mencapai kualiti perkhidmatan sampah awam. Jika diselusuri secara komprehensif, pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sering melaksanakan program dan aktiviti berkaitan. Tidak termasuk yang dilaksanakan menerusi perkongsian di media sosial seperti “Let’s Do It Malaysia!”,World Clean-up Day Malaysia!” dan pelbagai kempen yang menarik dan memberikan nilai-nilai murni penjagaan kebersihan. Sedih dan malangnya, program seperti ini amat jarang mendapat perhatian tinggi daripada pengguna media sosial sendiri. Rata-rata pengunjung yang melayari laman sesawang ini cuma sekitar beberapa ratus orang sahaja. Malah, tanda “LIKE” yang biasa dikaitkan dengan kesukaan pengunjung media sosial juga hanya sekadar penghias promosi program berkenaan atau sekadar seadanya. Sekiranya dinilai menerusi kacamata program kesukarelawan ini, minat dan tarikan kepada golongan muda (terutamanya) amat hambar kerana budaya dan mentaliti masyarakat masih menyatakan alasan yang serupa dan berulang, seperti “bukan saya yang buat”, “saya sangat sibuk” ataupun “ada orang lain yang akan uruskan” dan sebagainya. Akhirnya, aktiviti yang murni seperti ini akan menjadi seperti majlis tahunan, bermusim dan tidak lestari! Menyentuh mengenai peranan media, pelbagai persoalan pastinya akan dibangkitkan terutamanya mengenai “bahan berita” yang bernilai dan memberikan signifikasi kepada nilai komersial. Tiada nilai sensasi, malah jauh daripada menarik perhatian pembaca disebabkan bahasa “cintai alam sekitar” tidak dihadam ke akar umbi. Maka, peranan media sosial menjadi trending yang melariskan promosi seperti ini. Pengguna media sosial di Malaysia merupakan antara yang paling aktif dan sering menggunakan peluang berkomunikasi dan berkongsi pelbagai bentuk perspektif menerusi jumlah tontonan dan rating yang boleh dimanfaat bagi tujuan pengiklanan tanpa membataskan audiennya. Di sinilah kemajuan teknologi dan ledakan informasi mempengaruhi gaya hidup masyarakat kini dan masa depan.

Konsep Kebersihan dan Pengisian

Sebenarnya kebanyakan masyarakat tidak diberikan konsep mudah hadam mengenai elemen kebersihan dan penjagaan mengenai etika kebersihan. Skop dalam Islam menggariskan secara holistik mengenai kebersihan ini, meliputi fizikal, mental dan spiritual yang menyatakan sisi kebersihan ini diangkat setara dengan nilai keimanan dan ketaqwaan. Kebersihan ini cerminan hati dan jiwa seseorang. Begitu indah dan menampakkan persamaan, “apa yang tersemat di hati, semestinya itulah sikap dan tingkah-laku” tanpa dipaksa ataupun diarahkan sesuatu. Begitu juga dengan amalan keagamaan yang lain mengangkat nilai moral dan kehidupan yang bersih menjurus kepada keindahan penganutnya. Justeru, di manakah kekhilafan dan kesilapan masyarakat dalam mendidik jiwa kekal bersih dan lestari? Lihatlah sebahagian besar masyarakat bahawa kebersihan itu selayaknya hanya di premis, lokasi dan suasana tertentu sahaja. Bagaimana sekiranya berada di pasar-pasar, majlis jualan produk/barangan, kenduri-kendara dan perhimpunan-perhimpunan awam? Adakah tingkah-laku masyarakat berubah mengadaptasi keperluan untuk menjaga kebersihan sedangkan dalam masa yang sama bercakap mengenai keperluan kebersihan di pentas syarahan, forum atau kuliah ilmiah? Hari ini bercakap mengenai kebersihan, esoknya sudah berubah 360 darjah? Tidak dinafikan peranan cendekiawan, golongan pemimpin, pengendali perkhidmatan sehinggalah kepada golongan marhaen diperlukan dalam mengasimilasi “budaya tanpa paksaan” ini. Keseluruhannya, keupayaan untuk menjadi gaya hidup sebenarnya terletak kepada didikan berterusan, minda yang sihat dan berbelas ihsan sesama manusia.

Nilai dan budaya kebersihan seringkali dikaitkan dengan bangsa, negara yang maju (seperti Jepun, Australia, benua Eropah dan England) dan teknologi yang mempengaruhi perkhidmatan lebih efisien. Bagaimana dengan negara-negara mundur dan berada di bawah paras kemiskinan tegar untuk memikirkan nilai kebersihan berbanding sekeping roti atau sepinggan nasi demi mengalas perut? Sudah tentu, mereka lebih mementingkan perjuangan “mengalas perut” berbanding menilai elemen kebersihan itu sendiri. Tidak dinafikan manusia akan berubah, sekiranya berlaku kacau-ganggu dalam rutin harian mereka seperti banjir kilat, jangkitan penyakit, pencemaran air dan sebagainya yang kebanyakannya mempunyai kaitan dengan kebersihan ataupun sampah. Justeru, untuk kesekian kalinya, Dasar Kebersihan Negara ini merupakan antara menu wajib sepanjang masa kerana ia meliputi keseluruhan cara hidup bermasyarakat, pendidikan dan perubahan ekonomi golongan sasar. Elemen “Trash for Cash” merupakan di antara pendekatan yang telah lama dilaksanakan menerusi kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan NGO. Ini akan membantu usaha PBT mengurangkan kos perbelanjaan menguruskan sampah dan rawatan kawasan tebusguna. Akhirnya, kos pengendalian berkurangan ketara dan manfaatnya akan dikembalikan kepada masyarakat dalam bentuk peningkatan kualiti hidup, perubahan insfrastruktur lokal dan pengurangan cukai di peringkat PBT.

Tel: 019-7347878
Email: mfadhil@utm.my
Tarikh: 20 Disember 2019

Kredit Foto : JPSPN

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*