Oleh : Dr Nooratiny binti Ishak
Jabatan Kimia Malaysia

DNA pengspesisan haiwan ialah bidang pengetahuan untuk mengkaji benda hidup persekitaran dan interaksi antara benda hidup dengan persekitaran. Satu bidang yang sangat luas dan merangkumi pelbagai sub bidang yang mana bidang ini memainkan peranan yang amat signifikan dalam sistem keadilan kerana ia boleh membantu dalam penyiasatan khususnya dalam kes-kes jenayah yang melibatkan haiwan serta membantu melindungi biodiversiti dan memelihara kesejahteraan rakyat Malaysia [1]. Perkembangan dalam bidang penspesisan DNA haiwan telah meningkatkan kepentingan penggunaan teknik DNA untuk pengesanan DNA haiwan dalam makanan, pengesanan khinzir dalam ujian halal/haram dan makanan untuk menjaga kesihatan awam serta pengspesiesan haiwan untuk perlindungan hidupan liar.

Rajah 1.0: Proses Kerja Molekular

KEPENTINGAN DNA PENGSPESISAN HAIWAN

Sejak kebelakangan ini, industri makanan eksotik di Malaysia mahupun di luar negara telah menunjukkan peningkatan yang mendadak dan ini mendorong ke arah pemburuan haram bagi memenuhi permintaan pasaran haram untuk haiwan eksotik [2]. Industri ini sememangnya berpotensi untuk melenyapkan biodiversiti di Malaysia memandangkan Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan biodiversiti yang pelbagai dan masih terpelihara. Kesedaran tentang kepentingan kelestarian biodiversiti yang pelbagai dan selamat semakin berkurangan dan tidak selari dengan peratusan biodiversiti yang masih terpelihara. Fenomena ini telah menyebabkan biodiversiti negara kita iaitu Malaysia yang kaya menjadi semakin pupus. Generasi akan datang berkemungkinan tidak akan dapat menikmati keindahan biodiversiti semula jadi di masa hadapan

Rajah 2.0: Kes-kes berkaitan dengan analisis DNA pengspesisan haiwan.

Tambahan pula, analisis molekular ini juga dilihat mampu meningkatkan lagi integriti dan imej Malaysia sebagai peneraju dan pemain utama dalam memelihara, memulihara kepelbagaian biodiversiti dan sekaligus menjamin kesejahteraan manusia secara amnya. Seperti di dalam isu cadburry dan golden churn, penggunaan analisis DNA dalam pengspesisan haiwan telah diaplikasi untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi kes-kes seperti ini.

Rajah 3.0: Keratan akhbar mengenai analisis DNA penspesisan haiwan

Di samping itu, DNA pengspesisan haiwan jua digunakan bagi mengenal pasti intraspesis dan interspesis haiwan yang datang daripada genus, famili, spesis dan sub-spesis yang sama atau berlainan [3]. Di antara kes-kes yang melibatkan DNA pengspesisan haiwan ini adalah seperti kes penyeludupan haiwan (cross border animal trafficking) intra- dan inter-sempadan di antara negeri-negeri atau negara-negara, kes-kes yang melibatkan serangan haiwan terhadap manusia, serangan haiwan terhadap haiwan, pengeluaran permit import/eksport haiwan, kemalangan yang disebabkan oleh haiwan dan kes-kes penipuan makanan

Rajah 4.0: Perbezaan jujukan DNA untuk dua (2) spesies kerbau.

Analisis DNA pengspesisan haiwan amat penting dalam membantu siasatan khususnya kes yang melibatkan penemuan mayat yang dipenuhi dengan serangga. Sebagai contoh, dalam kes pembunuhan yang ketiadaan sampel biologi manusia dan bahan bukti yang tinggal adala\h haiwan pemangsa, maka dengan menganalisis kandungan perut haiwan tersebut, contohnya anjing jalanan (sedikit sampel dari perut diambil) dapat mengesan DNA yang terkandung dalam isi perut anjing tersebut [4].

Selain itu, bidang DNA pengspesisan haiwan ini juga membantu dalam kes pemalsuan makanan yang memberikan impak yang besar kepada ekonomi dan keselamatan negara sekiranya tidak dibendung. Terutamanya, isu pencampuran daging halal dengan daging haiwan yang dilarang dalam Islam seperti khinzir turut dilaporkan dalam pasaran. Oleh itu, bidang DNA pengspesisan haiwan amat penting untuk mengenal pasti daging yang telah bercampur dengan menjalankan analisis DNA.

Rajah 5.0: Keratan akhbar kes-kes menarik yang melibatkan analisis DNA
pengspesisan haiwan

Isu-isu perkembangan teknologi makanan yang berkembang pesat dalam sektor pembuatan makanan telah menghasilkan pelbagai variasi rasa, bahan serta kaedah sehingga sukar mengesan kehalalan menggunakan deria semata-mata. Pendedahan isu ini penting untuk perkembangan pesat teknologi makanan dan bahan gunaan pengguna yang menuntut supaya saintis lebih peka dan prihatin dengan permasalahan yang timbul dan dapat ditangani dengan peredaran masa. Dalam masa yang sama, para pengguna tidak merasa was-was dalam pemilihan produk makanan.

Kesimpulan

Pengspesisan haiwan bukanlah tugas yang mudah tetapi dengan penggunaan teknologi yang sesuai dan terkini untuk pengesanan spesies haiwan jenis tertentu sangat membantu dan perlu dilakukan dengan teliti. Faktor-faktor seperti ilmu pengetahuan mengenai struktur dan komposisi tisu otot dan struktur molekulnya perlulah selari dengan kebolehlaksanaan teknologi yang ada bagi memenuhi keperluan analisis DNA yang perlu dilakukan.

Rujukan

  1. Mallet J, 2008. Hybridization, ecological races and the nature of species: empirical evidence for the ease of speciation. Philos Trans R Soc Lond, B, Biol Sci; 363: 2971–2986.
  2. Singh VP, Pathak V, Nayak NK, Akhilesh K, Verma & Umaraw P, 2014. Recent Developments in Meat Species Speciation – a review. J. Livestock Sci. 5: 49-64.
  3. Ali ME, Hashim U, Mustafa S, Che Man YB, Dhahi TS, Kashif M, Kamal Uddin M & Abd Hamid SB, 2012. Analysis of pork adulteration in commercial meatballs targeting porcinespecific mitochondrial cytochrome b gene by TaqMan probe real-time polymerase chain reaction. Meat Science, 91:454–459.
  4. Dubey B, Meganathan PR & Haque I, 2009. Multiplex PCR assay for rapid identification of three endangered snake species of India. Conservation Genetics, 10(6), 1861e1864.

Info Penulis

Nooratiny Binti Ishak adalah Pegawai Sains di Jabatan Kimia Malaysia dan ditempatkan di Bahagian Analisis Halal, Pusat Analisis Tarif Kastam. Beliau telah berkhidmat selama 17 tahun di Jabatan Kimia Malaysia, Ibu Pejabat, Selangor. Sepanjang tempoh perkhidmatan di Jabatan Kimia Malaysia, beliau telah menjalankan R&D dalam bidang molekul, forensik dan entomologi.

Beliau telah memperolehi PhD dalam bidang Sains (Forensik Entomotoksikologi) dari Universiti Sains Malaysia dan sekarang menerajui Seksyen Identifikasi Spesies bagi skop analisis DNA pengspesisan haiwan.

 

Krediti Foto :
Dr Nooratiny binti Ishak
sociable

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.