Oleh : Dr. Mohd Uzair Rusli
Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu

Biawak sering kali dikaitkan dengan konotasi yang amat negatif. Sering dilihat mendiami longkang, mencuri telur ayam di reban, kulit bersisik menaikkan kegelian dan menambah kebencian kepadanya. Biawak tidak seperti sang kancil yang diangkat dalam mitos sebagai haiwan yang cerdik.

Cukup dengan perumpamaan ‘memikul biawak hidup’, sudah tentu kita boleh membayangkan suatu kehidupan yang amat perit lagi membebankan. Jangan pula dipikul biawak, anda akan dicakar dan dikencing olehnya.

Bagi kehidupan biawak di santuari penyu Pantai Chagar Hutang Pulau Redang pula boleh dianggap mewah dengan sumber protein dari telur penyu yang naik bersarang saban tahun. Sudah pasti kehadiran biawak ini tidak disenangi oleh pencinta penyu yang hadir ke sana dalam usaha konservasi mereka.

Tanggapan biawak adalah makhluk perosak, pengacau dan pencuri telur sudah tentu menjadi tajuk utama bual bicara mereka apabila berhadapan dengan biawak-biawak ini. Walau bagaimanapun, prinsip asas konservasi adalah untuk mencari keseimbangan persekitaran dan bukannya mahu dibunuh mana-mana entiti yang tidak kita gemari.

Maka, sekumpulan penyelidik dari Sea Turtle Research Unit (SEATRU) telah memulakan langkah awal dalam memahami tingkah laku dan pontensi bahaya yang hadir oleh biawak ini. Antara aktiviti yang telah dilakukan melibatkan kajian saiz populasi, pergerakan harian, penentuan lokasi tumpuan perayauan biawak, pencarian sarang biawak dan pelbagai lagi.

Antara dapatan kajian yang amat mengejutkan para penyelidik adalah daripada analisis diet biawak. Kajian ini memerlukan para penyelidik memuntahkan isi perut biawak untuk dianalisa jenis dan kuantitinya. Keputusannya, lebih kurang 3/4 sumber utama makanan biawak yang mendiami kawasan santuari penyu ini memakan sisa makanan manusia.

Apa yang perlu dibimbangi adalah sumber makanan semula jadi biawak adalah hampir tiada jika ditolak dengan anak penyu dan telur penyu. Ini bermakna kebergantungan yang amat tinggi biawak kepada sumber yang paling mudah didapati iaitu sisa makanan manusia yang dijangkakan mempunyai nilai nutrisi yang tinggi.

Nilai nutrisi yang tinggi akan menggalakkan lagi pembiakan biawak sekaligus meningkatkan populasi biawak yang akhirnya menghadirkan ancaman kepada sarang-sarang penyu yang sedang dieram secara semula jadi di pantai.

Jelaslah punca masalah sebenarnya adalah dari kehadiran manusia yang tidak menguruskan sisa makanan dengan baik. Kita perlu terima kehadiran manusia di santuari penyu sebenarnya turut mengundang bahaya kepada penyu.

Jadi adakah benar biawak yang bersalah dalam isu ini?

Seharusnya kita sebagai manusia perlu menginsafi dan menurunkan sedikit ego kita yang sering menyalahkan makhluk lain. Jika sang biawak ini mampu meluah rasa hati, nescaya bait-bait lagu kumpulan Revolves ini menjadi pilihan;

“Tidak ku minta lahir ke dunia
Tidak ku duga cacat hidup begini
Bukan ku minta kasih dan manja
Bukan ku rayu bantu simpati
Maafkan wahai teman
Ku menumpang di sudut dunia
Mencari ketenangan
Sampai masa ku pergi jua”

Justeru, pada tahun yang mendatang, pihak pengurusan santuari penyu perlu mengambil tindakan drastik dengan memperkenalkan kaedah pengurusan sisa organik yang lebih sistematik supaya tidak boleh diakses dengan mudah oleh biawak disamping rondaan kawalan sarang penyu yang lebih kerap.

Hubungi penulis di uzair@umt.edu.my untuk mendapatkan artikel penuh yang diterbitkan di Journal of Sustainability Science and Management: Diet Preference and Activity of Asian Water Monitor at Chagar Hutang Turtle Sanctuary

Penulis bersama rakan penyelidik dari The University of Queensland, Australia dan Beijing Normal University, China pada tahun 2018 di Stesen Penyelidikan Alami Penyu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pantai Chagar Hutang, Pulau Redang.
Proses memuntahkan biawak dengan cara mengepam sejumlah air suling ke dalam bukaan mulut biawak sebelum isi perut dimuntahkan secara semuladi. Kaedah ini merupakah kaedah piawai yang telah disaring oleh Jawatankuasa Etika Haiwan dan hanya dijalankan oleh penyelidik yang berpengalaman sahaja.
Antara kesan yang ditinggalkan oleh biawak pada sarang penyu yang telah digali sekaligus telah menjejaskan keberjayaan pengeraman telur penyu. Saiz biawak yang menggali boleh dianggarkan berdasarkan kepada saiz lubang yang ditinggalkan ini.
Biawak yang ditangkap akan diukur dan ditanda dengan menggunakan mikrocip yang diletakkan dibawah kulit di bahagian pangkal ekor. Kaedah ini dapat membantu penyelidik mengenali biawak yang telah ditangkap dan membolehkan pengambilan data biologi dilakukan dari masa ke semasa.
Biawak yang ditangkap turut dikenalpasti jantina melalui kaedah melihat dan mengukur organ reproduktif mereka yang boleh dilihat dibahagian bawah pangkal ekornya. Organ pembiakan jantan (penis) selalunya akan terkeluar jika bahagian pangkal ekor ini ditekan.

Kredit Foto : Dr. Mohd Uzair Rusli

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.