Gambar Jam Tangan LG Baru Yang Menggunakan Android Wear 2.0 Tertiris

Bukan sahaja gambar telefon pintar terbaru LG yang tertiris hari ini, tetapi juga gambar jam tangan terbaru mereka yang menjalankan Android Wear 2.0 turut hadir tertiris – tetapi pada gambar resolusi rendah.

Kedua-dua jam tangan pintar ini bakal menggunakan sistem operasi Android Wear 2.0 yang menyertakan beberapa ciri-ciri baru, termasuk kebolehan memasang aplikasi tanpa memerlukan telefon pintar.

LG Watch Sport yang berwarna hitam bakal hadir dengan skrin 1.38-inci, memori 768MB RAM, serta bateri berkapasiti 430mAh. Ia juga dijangka hadir dalam pilihan tali jam berasaskan getah, dan binaan badan berasaskan logam.

Sama juga untuk LG Watch Style (yang berwarna emas), tetapi ia hadir dengan saiz yang lebih kompak – iaitu 1.2-inci dan memori 512MB RAM, selain hanya bateri berkapasiti 240mAh.

Kedua-dua jam tangan pintar ini dijangka diumumkan pada awal Februari ini, dan bakal menjadi jam tangan terawal berasaskan Android Wear 2.0.

Source: amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.