Google Berjanji Tidak Menggunakan Kecerdasan Buatan Untuk Kegunaan Ketenteraan Dan Pengawasan

Antara  moto yang kerap dikaitkan dengan Google ialah “Don’t be evil”. Ia dimasukkan ke dalam kod etika kakitangan mereka sejak dari awal penubuhan. Tetapi kod ini seperti tidak diendahkan selepas Google bekerjasama dengan pihak tentera Amerika Syarikat di dalam Project Maven. Kepakaran kecerdasan buatan Google digunakan pada menganalisa imej yang diambil menggunakan dron tentera.

Akibat Project Maven, beribu kakitangan Google menandatangani petisyen meminta ia dihentikan. Seramai 13 orang pula meletak jawatan sebagai tanda protes. Di blog rasmi Google hari ini, Sundar Pichai yang merupakan CEO Google berjanji kecerdasan buatan mereka tidak akan digunakan untuk tujuan senjata tentera, yang mendatangkan kecederaan, pengawasan orang awam dan melanggar hak asasi manusia.

Sebaliknya kerjasama kecerdasan buatan dengan Pentagon hanya terhad kepada keselamatan atas talian, latihan, pengambilan kerja, kesihatan bekas tentera dan sistem mencari serta menyelamat anggota ketika bertugas.

Kecerdasan buatan telah mula mendatangkan impak terhadap hidup kita. Ia mengesan kanser dengan lebih awal dan menjadi pembantu maya pada peranti pintar. Impak negatif juga wujud dengan mengambil alih tugas manusia di Jepun dan pengawasan yang melampau di China. Seperti api, baik dan buruknya bergantung kepada siapa yang memegangnya.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.