Google Pixel 3 Dan Pixel 3 XL Diperkenalkan – Mengekalkan Penggunaan Satu Kamera Belakang

Google hari ini mengadakan sebuah acara khas, dan telah memperkenalkan beberapa peranti baru. Menjadi fokus utama ketika pengenalannya semestinya adalah telefon pintar generasi baru daripada Google, iaitu Google Pixel 3 dan juga Google Pixel 3 XL.

Google Pixel 3

Bagi yang mengikuti perkembangan kedua-dua peranti ini, semestinya ketahui yang mana ia telah tertiris beberapa kali sebelum ini. Kedua-duanya membawakan rekaan lebih kurang sama seperti Pixel 2 sebelum ini, dimana mereka mengekalkan sejumlah perkara, termasuk hanya menggunakan satu kamera sahaja pada bahagian belakang peranti.

Google Pixel 3 hadir dengan skrin 5.5-inci, sementara Google Pixel 3 XL pula hadir dengan skrin 6.3-inci. Kedua-duanya dijana menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 845, memori 4GB RAM, dan storan 64GB.

Menariknya pada kedua-dua telefon pintar baru ini ialah Google masih mengekalkan penggunaan hanya satu kamera belakang – dan tidak mengikut trend semasa yang menyertakan sehingga tiga kamera pada bahagian belakang. Walaubagaimanapun, untuk kamera hadapan, Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL menyertakan dwi-kamera untuk menawarkan sokongan rakaman sudut luas.

Seperti pada generasi lepas, Google melalui keluarga Pixel 3 mengintegrasikan sokongan kecerdasan buatan dalam memastikan rakaman gambar lebih cantik berbanding kebiasaan. Google juga menyertakan sokongan kalis air IP68 bersama-sama peranti ini.

Kedua-dua peranti ini hadir dengan sistem operasi Android 9.0 Pie yang terkini, dan turut mengintegrasikan Google Assistant secara menyeluruh. Beberapa ciri unik juga turut disertakan bersama-sama telefon pintar ini, termasuk sokongan menjawab panggilan – dinamakan Call Screening. Melaluinya, ia akan menaip pada skrin apakah yang sedang diucapkan oleh pemanggil – sekaligus sangat berguna untuk anda dalam menjawab panggilan ketika dalam mesyuarat, atau sekiranya ingin menapis nombor yang tidak dikenali. Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL juga turut menyertakan sokongan pengecasan tanpa-wayar.

Buat masa ini, ia hanya diumumkan untuk beberapa negara sahaja – termasuk untuk negara jiran, Singapura. Google Pixel 3 ini akan ditawarkan pada harga bermula $799 di Amerika Syarikat, iaitu sekitar RM3320 mengikut kadar tukaran matawang semasa.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.