Grab Dan Gojek Dilaporkan Berbincang Untuk Bergabung

Grab dan Gojek merupakan syarikat yang terkenal di rantau Asia Tenggara dengan penawaran perkhidmatan seru-pandu, selain turut menawarkan perkhidmatan tempahan makanan dan beberapa perkara lain.

Terbaru, menurut laporan The Information, ia diperkatakan Gojek dan Grab dalam perbincangan untuk menyatukan kedua-dua syarikat. Sekiranya benar, maka ia akan menghasilkan salah satu syarikat startup yang bukan sahaja bernilai tinggi di rantau ini, tetapi di dunia.

Dengan menyatukan syarikat, ia akan dapat mengurangkan kadar persaingan, selain pada masa yang sama memfokuskan kepada penjanaan keuntungan. Buat masa ini, kedua-dua syarikat masih belum menjana keuntungan.

Penyatuan syarikat ini juga akan menjadikan mereka antara penyedia perkhidmatan seru-pandu terbesar di rantau Asia Tenggara, selain turut menerajui arena penghantaran makanan dan juga kewangan nirtunai.

Apa pun, menurut laporan sama, ia dikatakan antara perkara yang mungkin menghalang persetujuan kedua-dua pihak daripada bergabung adalah pegangan selepas gabungan, dan siapakah yang akan mengawal majoriti pada firma baru selepas gabungan berkenaan. Pada masa yang sama, ia juga mungkin akan menerima halangan daripada pihak berkuasa – terutamanya pihak Suruhanjaya Persaingan.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*