Harga Jualan Magic Keyboard Untuk iPad Pro 2020 Bermula Dari RM1349

Semalam, Apple telah mengumumkan kemas kini bagi iPad Pro dengan generasi yang keempat. Secara keseluruhan, ia kelihatan sama sahaja dengan iPad Pro 2018 dari segi rekaan, sokongan Face ID dan mempunyai port USB-C. Tetapi untuk iPad Pro 2020, ia dijana dengan cip A12Z Bionic, hadir dengan modul kamera seakan iPhone 11 yang memuatkan lensa 12MP + 10MP sudut ultra lebar dan juga sokongan aksesori baharu Magic Keyboard.

Magic Keyboard ini adalah aksesori seakan Smart Keyboard mereka sebelum ini. Iaitu papan kekunci yang turut berfungsi sebagai kerangka pelindung iPad Pro. Tetapi, variasi baru ini hadir dengan papan kekunci Magic yang sama dengan MacBook Pro 16-inci. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan sokongan pad sesentuh trackpad untuk kawalan menggunakan kursor.

Magic Keyboard ini turut mempunyai engsel terbina untuk mencagak iPad Pro ini dalam keadaan seakan terapung. Akhir sekali, ia mempunyai port USB-C yang boleh mengecas iPad Pro pada kadar 18W.

Harga Magic Keyboard ini dijual secara rasmi di Malaysia pada harga RM1,349 untuk versi 11-inci dan RM1,549 untuk versi 12.9-inci. Secara tidak langsung jika anda mengambil variasi paling tinggi, iaitu iPad Pro 2020 12.9-inci WiFi + Selular 1TB – harganya akan menjadi RM8,848 (RM7,299 + RM1,549). Manakala jika membeli variasi paling murah, iPad Pro 2020 11-inci 128GB WiFi adalah RM4848 (RM3,499 + RM1,349).

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*