Hasil dan Keberhasilan Penyelidikan: Suatu Pemikiran Semula

Prof. Madya Dr. Firdaus Raih
Felo Penyelidik Kanan di Institut Biologi Sistem (IMBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia

Melangkah ke tahun 2019, ramai yang akan mengimbas kembali pencapaian pada tahun 2018 dan membuat perancangan untuk tahun baharu. Ada juga di antara kita yang sedang melalui penilaian prestasi tahunan pada masa ini. Sudahkah kita mencapai matlamat yang ditetapkan untuk 2018? Apakah pula yang mahu dicapai pada 2019? Bagi segelintir daripada kita, inilah saat menggerunkan yang menyaksikan kemunculan istilah “Key Performance Indicator (KPI)”.

Dalam banyak sektor, sesuatu perkara yang boleh diukur akan digunakan sebagai penunjuk pencapaian atau prestasi dan inilah yang dikatakan KPI. Dalam sektor yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, termasuk bidang akademik, antara ukuran yang digunakan adalah penerbitan, paten dan pengkomersialan penyelidikan tersebut. Pelaksanaan ini biasanya dipendekkan kepada RDC&I – penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi. Memandangkan KPI perlu boleh diukur, maka bilangan penerbitan, paten, produk dan sebagainya dilaporkan dan digunakan sebagai petunjuk prestasi atau kejayaan.

Walau bagaimanapun, membataskan skop keputusan dan hasil penyelidikan dengan menghadkannya kepada naratif RDC&I adalah tidak tepat dan boleh dikatakan dangkal. Oleh itu, kita perlu melangkaui naratif biasa iaitu melalui hasil daripada aktiviti penyelidikan akan wujud pengkomersialan dan pulangan ekonomi. Tidak semua penyelidikan yang dijalankan berpotensi dipasarkan segera. Sesetengah penyelidikan menjana pengetahuan asas yang langsung tidak mempunyai nilai komersial tetapi membuka saluran lain untuk dikomersialkan.

Contohnya, jaringan sejagat/ internet. Apabila mula-mula dibangunkan, ia tidak mempunyai nilai komersial. Namun pada hari ini, ia berfungsi sebagai pelantar yang menjalankan urus niaga dengan nilai berbilion ringgit setiap hari. Sesuatu yang pada awalnya tidak mempunyai nilai ketara yang jelas dan berfungsi sekadar pelantar perkongsian maklumat kini menjadi ekosistem ekonomi yang meluas yang dapat menghubungkan berbilion umat manusia.

Di Malaysia dan sebahagian besar negara dunia, kebanyakan penyelidikan akademik dibiayai oleh wang awam. Dalam erti kata lain, kos aktiviti penyelidikan ditanggung oleh pembayar cukai atau melalui sumbangan dan hadiah. Dalam konteks ini, keputusan dan hasil penyelidikan melalui pembiayaan tersebut perlu memberi manfaat kepada orang ramai.

Terlalu mengambil mudah menilai impak penyelidikan dengan cuma mengaitkannya kepada perangkaan adalah berbahaya. Malangnya kita terjatuh ke dalam perangkap itu. Kaedah semasa yang digunakan untuk mengukur kejayaan dan hasil penyelidikan sebahagiannya telah ditetapkan oleh syarikat data untuk mendapatkan keuntungan melalui membolehkan pelanggan mencapai matlamat yang telah ditetapkan sendiri oleh syarikat-syarikat ini. Dalam erti kata lain, dunia menerima naratif ini bulat-bulat yang kemudiannya menjadi kitaran ganas yang melibatkan penggunaan wang untuk mencapai angka yang dikehendaki. Persoalannya, adakah angka-angka yang dicapai ini mewakili keberhasilan sebenar yang diperlukan dan didambakan oleh masyarakat?

Adakah pendekatan sebegini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menyediakan dana itu? Dalam senario ini, kita perlu melihat sumber dana sebagai pembayar cukai atau dalam sesetengah kes, individu yang menyumbangkan dana kepada badan amal tertentu yang diamanahkan untuk mengurus dana penyelidikan. Oleh itu, hasil aktiviti penyelidikan perlu memberi manfaat kepada mereka dan bukan hanya bermanfaat kepada perantara yang ditugaskan untuk mengurus dana.

Apabila mengukur hasil penyelidikan, terlebih dahulu kita perlu jelas tentang keputusan yang ingin dicapai dan dari situ kita dapat menentukan kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkannya. Jika keputusan yang dikehendaki hanyalah untuk mendapat tempat teratas dalam beberapa jadual kedudukan (ranking), maka kita seharusnya merancang untuk mencapai matlamat tersebut dengan menyampaikan angka berkaitan seperti penerbitan, petikan (sitasi) dan pelbagai data lain yang boleh dinyatakan dalam bentuk kuantiti yang berkaitan dengan output penyelidikan.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan dunia akademik, kekerapan sesuatu kertas kerja dirujuk oleh rencana/penulisan penyelidikan lain diistilahkan sebagai petikan (sitasi). Dengan cara ini, bilangan pemetikan adalah jumlah kasar tetapi masih boleh digunakan untuk mengukur kepentingan kertas kerja dan penyelidikan yang dilaporkan dalam artikel tersebut. Contohnya, suatu kertas kerja berpengaruh yang membawa kepada kaedah untuk membangunkan ubatan baharu mungkin mendapat banyak petikan, tetapi kertas kerja susulan berkaitan proses pembangunan ubatan khusus mungkin tidak mendapat petikan yang tinggi namun itu tidak menafikan kepentingannya.

Saya tidak dapat megusulkan penyelesaian untuk persoalan mengenai kaedah terbaik bagi mengukur kejayaan sesuatu kerja penyelidikan. Namun demikian, cadangan saya ialah bagi memastikan kita mendapat pulangan terbaik daripada pelaburan yang dibuat ke atas penyelidikan, kita juga perlu melabur untuk melakukan penyelidikan terhadap penyelidikan itu sendiri. Di sini terdapat ironi di mana untuk mengukur faedah penyelidikan merupakan satu usaha penyelidikan yang besar dengan tersendirinya.

Hujah yang dipertikaikan di sini bukanlah kesilapan dalam kaedah yang digunakan untuk mengukur hasil dan keputusan penyelidikan tetapi kaedah ini tidak mencerminkan impak aktiviti penyelidikan terhadap sains, ekonomi dan masyarakat. Contohnya, penerbitan adalah sesuatu yang bagus. Sejak lebih seribu tahun yang lalu, manusia telah memelihara dan menyebarkan ilmu pengetahuan melalui penulisan dan ia kekal relevan hingga ke hari ini. Namun, penerbitan yang dibuat semata-mata untuk menambahkan jumlahnya boleh menyebabkan penghasilan rekod yang tidak relevan, sekaligus mencemarkan ilmu pengetahuan manusia.

Oleh itu tumpuan perlu diberikan kepada kualiti hasilnya. Jika penerbitan digunakan sebagai kayu pengukur, maka ia bukanlah bilangannya semata-mata tetapi juga perlu mengambil kira tanggapan kepentingan setiap kertas kerja yang boleh digambarkan melalui berapa kali ia dipetik.

Walau bagaimanapun, ia tidak sepatutnya terhad di situ. Terdapat pelbagai sebab mengapa banyak kertas penyelidikan yang dianggap penting mempunyai petikan yang rendah. Oleh itu petikan juga bukan jalan terakhir untuk mengukur impak sesuatu penyelidikan.

Untuk sesuatu penyelidikan mempunyai impak yang besar, anggapannya adalah ia perlulah juga ada inovasi yang terbit daripadanya dan inovasi ini biasanya dipatenkan. Berikutan ini, jumlah paten juga dijadikan ukuran terhadap hasil sesuatu penyelidikan. Namun begitu kita tidak boleh melihat bilangan paten semata-mata tetapi perlu juga mempertimbangkan pulangan kewangan daripada paten tersebut.

Keputusan penyelidikan mempunyai banyak impak yang kurang ketara yang mungkin tidak dapat diukur dan dilaporkan secara jelas dan mudah. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak boleh diabaikan kerana manfaatnya mungkin meluas dan bersifat jangka panjang, seperti contoh jaringan sejagat/ internet yang telah diberikan. Kita perlu memikirkan semula konsep keputusan penyelidikan selain memperkenalkan kaedah baharu untuk mengukur hasilnya.

Menjalankan penyelidikan adalah suatu keistimewaan dan bukanlah sesuatu hak. Penyelidikan merupakan penerokaan intelek yang mendatangkan kepuasan kepada segelintir individu yang melaksanakannya dan namun manfaatnya harus dinikmati oleh banyak pihak. Di atas bahu setiap penyelidik, terutama yang dibiayai oleh wang awam, terletak suatu beban tanggungjawab yang amat berat untuk menghasilkan keberhasilan yang diingini. Keberhasilan ini perlu memberi manfaat yang meluas dan lestari serta dapat berfungsi sebagai pemacu pembangunan negara, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Penulis adalah ahli bioinformatik dan biologi molekul yang mengetuai Pusat Sains Terkehadapan, Fakulti Sains dan Teknologi serta Felo Penyelidik Kanan di Institut Biologi Sistem (IMBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia. E-mel beliau di firdaus@mfrlab.org

Nota:// Artikel ini merupakan rencana terjemahan dari sumber asal di akhbar News Strait Times. MajalahSains mendapat keizinan penulis untuk diterjemah dan diterbitkan semula


Kredit foto – IMBIOSIS

532total visits,285visits today

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.