Hidrokuinon: Ubat atau racun?

Oleh : Dr. Fitri Fareez Ramli
Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Melasma

Jerawat, penyakit kulit sensitif yang kronik (ekzema), kelecuran dan kerosakan kulit akibat paparan sinar matahari dapat memacu proses radang pada bahagian yang terkesan. Akibat daripada itu, penghasilan melanin dapat meningkat. Ia menyebabkan pembentukan titik cela atau bintik-bintik gelap yang menyebabkan warna kulit kelihatan tidak sekata. Selain itu, “melasma” adalah satu lagi keadaan yang umum terjadi pada permukaan kulit yang terpapar pada sinar matahari. Berbeza dengan keadaan yang dinyatakan di atas, tompok-tompok yang terhasil adalah simetri, iaitu dapat ditemukan di kiri dan kanan wajah. Ia biasanya hadir pada bahagian pipi, dahi dan juga dagu. Sinaran UV merupakan faktor utama yang menyebabkan pembentukan tompok-tompok tersebut. Faktor genetik, hormon dan ubat tertentu seperti ubat sawan juga merupakan faktor lain yang menyumbang kepada pembentukan “melasma”. Walaupun tidak berbahaya, keadaan tersebut dapat menimbulkan ketidakselesaan pada individu terutamanya apabila kesan tersebut terhasil pada permukaan kulit yang tidak terlindung seperti muka dan leher.

Produk Kosmetik

Hidrokuinon merupakan salah satu jenis rawatan yang dapat digunakan untuk mengatasi masalah tersebut. Ia mencerah kulit dan menhilangkan bintik-bintik atau tompok-tompok dengan menghambat penghasilan pigmen melanin. Pengurangan melanin secara berperingkat menyebabkan kulit menjadi semakin cerah. Di Malaysia, hidrokuinon dikategorikan sebagai bahan terlarang dalam produk kosmetik. Penggunaannya dalam produk kosmetik hanya dibenarkan dalam campuran produk kuku tiruan pada kepekatan 0.02% sebagai penstabil. Penggunaan dalam rawatan pula memerlukan preskripsi daripada doktor.  Ini adalah kerana jangka masa penggunaan hidrokuinon bergantung kepada respon seseorang individu. Selain daripada itu, tempoh ‘rehat’ juga diperlukan sebelum rawatan ini dapat diulangi bagi mengelakkan kesan sampingan yang timbul kerana penggunaan jangka panjang. Ubat ini biasanya digunakan bersama krim pelindung matahari bagi mengelakkan kerosakan kulit daripada sinar UV. Kombinasi dengan ubat lain mungkin diperlukan, bergantung pada keadaan seseorang pesakit. Oleh itu, pengawasan daripada doktor adalah penting bagi menghindari atau mengurangi kesan sampingan yang tidak diingini.

Exogenous ochronosis

Antara kesan sampingan yang dilaporkan termasuk kemerahan, kegatalan, rasa menyengat dan pembengkakan pada permukaan kulit. “Exogenous ochronosis” merupakan kesan sampingan yang jarang sekali ditemukan.  Individu yang mengalamai kesan sampingan ini mempunyai bintik-bintik dan tompok-tompok berwarna biru kehitaman atau kelabu kebiruan yang menyebar di bahagian kulit seperti muka dan leher.  Ia biasanya berlaku pada pesakit yang menggunakan produk yang mengandungi hidrokuinon pada jangka masa yang lama dan penggunaan pada permukaan yang luas. Walaubagaimanapun, kesan sampingan ini sangat jarang ditemukan pada pesakit yang menggunakan hidrokuinon dengan pengawasan doktor. Selain daripada itu, pengguna juga mungkin berisiko mendapat kanser kulit. Hal ini kerana melanin adalah pigmen yang penting dalam menghalang sinar UV yang dapat menyebabkan kanser.

Campuran hidrokuinon secara haram dalam produk kosmetik biasanya dilakukan oleh pihak pengeluar bagi mendapatkan kesan pencerah yang berkesan. Pengguna seringkali tidak mengetahui tentang kehadiran bahan terlarang di dalam sesuatu produk. Keberkesanan produk-produk ini menyebabkan pengguna setia terhadap sesuatu produk untuk jangk masa yang lama. Di Malaysia, terdapat pelbagai produk kosmetik yang telah dibatalkan notifikasi kerana mengandungi bahan terlarang. Hyrdroquinone merupakan salah satu racun berjadual yang saban tahun ditemukan di dalam produk kosmetik. Lebih membahayakan lagi, ia sering kali dicampur dengan bahan lain seperti tretinoin. Tretinoin merupakan ubat bagi merawat masalah jerawat yang juga dapat berfungsi sebagai agen pencerah. Tretinoin dapat menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang serius seperti gangguan pernafasan, kerosakan buah pinggang dan kecacatan pada janin. Kombinasi bahan-bahan tersebut dalam produk rawatan wajah yang tidak bernotifikasi atau yang telah dibatalkan notifikasinya dapat menimbul pelbagai kesan toksik berganda kepada tubuh badan seseorang.

Kesimpulannya, sesuatu ubat boleh menjadi racun jika tidak digunakan untuk indikasi dan cara rawatan yang betul. Pengguna harus berhati-hati dalam penggunaan sesuatu produk. Pemeriksaan produk daripada sumber yang sahih seperti Badan Regulatori Farmasi Malaysia harus dilakukan sebelum pembelian sesuatu produk kosmetik. Selain itu, pengguna juga dinasihatkan supaya peka terhadap pengumuman pembatalan notifikasi sesuatu produk oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kredit Foto :
Adorama
webmd
balmonds
news-medical

sumber asal : www.majalahsains.com

Write a Comment

view all comments

*