Oleh : Nurfarah Diyana Bakri1, Ts. Dr. Aida Azmi2 & Prof. Madya. Dr Azwan Mat Lazim1*
Jabatan Kimia, FST, UKM1 & FSFG UiTM Shah Alam2

Stres atau ketegangan jiwa merupakan gangguan mental yang dialami oleh seseorang  berpunca daripada tekanan yang muncul akibat kegagalan individu untuk memenuhi keperluan atau keinginannya. Stres ini boleh muncul dari dalam diri atau dari luar seperti kerjaya, hubungan, tekanan kewangan dan sebagainya. Sekiranya stres dibiarkan menguasai diri seseorang, ia boleh menjadi suatu penyakit atau keadaan yang lebih kronik apabila individu tidak mengambil langkah bagi mengatasinya. Stres kronik akan mengakibatkan aktiviti hormon stres di dalam badan berada di tahap yang membahayakan dan menyukarkan ia untuk kembali ke tahap yang normal, sehingga dapat memberi kesan terhadap sistem-sistem penting di dalam tubuh badan seperti sistem imunisasi, kardiovaskular, pernafasan, pembiakan dan lain-lain lagi. Stres kronik ini dapat berlanjutan tanpa disedari apabila individu tersebut sudah terlalu membiasakan diri berada dalam kegelisahan dan putus asa. Individu yang kerap kali mengalami stres kronik boleh menghadapi satu keadaan yang mana ia merasakan bahawa tekanan tersebut telah mencapai ke tahap penghujung yang sangat sukar dikawal sehingga berisiko untuk mencederakan diri sendiri dan lebih berisiko untuk membunuh diri.

Ilustrasi Yerkes and Dodson Law

Dari sudut yang lain, walaupun stres sering sahaja dibahas dalam konteks yang negatif, ia juga sebenarnya mempunyai nilai positif yang berpotensi menjadi sumber motivasi dan lebih penting lagi, ia boleh menjadi satu elemen penting dalam kesinambungan dan kelangsungan hidup manusia. Sedikit stres dapat mendorong individu untuk mencapai tahap kepekaan, tingkah laku dan prestasi kognitif yang lebih optimum. Teori ini disokong oleh suatu hukum yang dikenali sebagai Yerkes and Dodson Law yang menyatakan bahawa prestasi seseorang individu meningkat dengan rangsangan fisiologi atau tekanan mental (stres) pada satu tahap tertentu, tetapi apabila tekanan menjadi terlalu tinggi, prestasi akan menurun. Proses ini digambarkan secara grafik dalam bentuk graf lengkungan yang meningkat dan menurun mengikut tahap rangsangan tekanan. Dari sudut pengkajian saintifik pula, stres memberi impak kepada perubahan tahap serum hormon badan seperti kortisol, glukokortikoid, katekolamin, hormon pertumbuhan dan prolactin. Apabila individu mengalami stres, hormon utama stres iaitu kortisol akan meningkatkan tahap glukosa di dalam saluran darah dan mengganggu tindak balas sistem imunisasi, sistem pembiakan dan juga mengekang proses pertumbuhan. Bukan itu sahaja, hormon kortisol juga dapat bertindak sebagai sistem penggera semula jadi yang berkomunikasi dengan kawasan otak yang mengawal emosi, motivasi dan ketakutan. Berada dalam keadaan stres untuk jangka masa yang panjang akan memberi pendedahan berlebihan terhadap kortisol dan hormon tekanan yang lain. Keadaan ini boleh mengganggu hampir kesemua proses di dalam badan yang menjadikan individu berisiko tinggi menghadapi banyak masalah kesihatan seperti kemurungan, keresahan, sakit kepala, pertambahan berat badan, masalah pencernaan dan sebagainya.

Hormon Kortisol

Stres dapat ditangani dengan berbagai macam kaedah seperti melakukan olahraga ringan, menonton acara komedi, melakukan konsultasi bersama pakar, mengamalkan diet yang seimbang dan sebagainya. Kaedah lain yang boleh diamalkan bagi menangani stres adalah dengan melakukan rawatan hidroterapi. Rawatan hidroterapi merupakan rawatan atau terapi yang menggunakan air yang bermacam bentuk (air, ais, wap) dan dapat dirawat mengikut suhu, tekanan, dan tempoh masa yang berbeza bergantung kepada jenis penyakit yang ingin dirawat. Walaupun rawatan hidroterapi sudah dianggap lapuk dan tidak moden, namun rawatan hidroterapi masih menjadi salah satu kaedah yang amat berkesan bagi merawat pelbagai jenis penyakit termasuklah dapat mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi seseorang individu. Rawatan hidroterapi juga adakalanya dikenali sebagai balneoterapi, terapi air atau terapi akuatik dan merupakan sejenis rawatan yang popular di serata negara Eropah dan juga Asia. Secara amnya, badan manusia sangat sensitif terhadap rangsangan (stimuli) yang terhasil daripada sumber-sumber tertentu dan ia dapat dikesan oleh organ-organ deria setiap manusia. Oleh yang demikian, rawatan hidroterapi ini mengambil manfaat terhadap reaksi tubuh badan apabila menerima rangsangan seperti perubahan suhu panas dan sejuk, penggunaan haba yang berlarutan dan juga penghasilan tekanan oleh air. Sebagai contoh, perubahan suhu badan yang terhasil daripada teknik hidroterapi juga telah dibuktikan dapat membantu sistem saraf pusat (otak, serebelum dan saraf tunjang) untuk berfungsi dengan lebih efektif.

Hidroterapi Mandian Ais

Terdapat dua kategori utama hidroterapi iaitu hidroterapi dalaman dan hidroterapi luaran. Hidroterapi dalaman merupakan terapi penyedutan untuk merawat gangguan pernafasan dan juga meminum air mineral yang khusus dalam kuantiti yang ditetapkan bagi merawat penyakit hati, penyakit saluran hempedu dan sebagainya. Walau bagaimanapun, rawatan hidroterapi dalaman ini tidak sesuai bagi menangani masalah stres kerana ia hanya bertujuan khusus untuk merawat penyakit yang tidak mempunyai perkaitan dengan tekanan dan ketegangan jiwa. Rawatan hidroterapi luaran pula adalah sejenis rawatan yang menggunakan ais atau air ke atas badan seperti merendamkan badan di dalam air. Sebagai contoh, mandi menggunakan air yang sejuk dapat membantu merangsang otot dan melancarkan peredaran darah. Begitu juga dengan air suam, kedua-duanya dapat merangsang badan dengan cara yang berbeza untuk menghilangkan ketegangan dan tekanan emosi. Air suam dapat menenangkan badan dengan melambatkan aktiviti metabolik, manakala air sejuk pula dapat merangsang aktiviti dalaman badan. Hidroterapi luaran ini bukan hanya boleh dilakukan di sauna, malah ia juga boleh dilakukan di rumah dengan merendamkan badan di dalam tab mandi menggunakan air suam. Kaedah ini membolehkan individu merasakan kehangatan air yang memberi ketenangan emosi serta keseimbangan jiwa yang maksimum. Secara tidak langsung, peratusan rembesan kortisol di dalam badan termasuk hormon-hormon lain yang berkait rapat dengan tekanan akan berkurangan. Bukan itu sahaja, keapungan air di dalam tab mandi dapat mengurangkan berat badan individu sebanyak 90% sehingga menurunkan tekanan pada otot, sendi dan juga ligamen. Kajian yang dilaporkan oleh Mooventhan dan Nivethitha pada tahun 2014 telah menunjukkan bahawa rendaman menggunakan air suam dapat menurunkan tekanan darah sistolik dan tekanan darah diastolik sebanyak 11%. Oleh sebab itu, air suam memberi impak yang besar dalam peningkatan kesan positif terhadap tubuh badan dan mengurangkan tekanan yang berpunca daripada gaya hidup setiap individu.

Hidroterapi Rendaman Kaki

Selain itu, satu bentuk lain hidroterapi luaran yang boleh dilakukan di rumah adalah dengan melakukan teknik rendaman kaki. Teknik yang digelar sebagai hidroterapi kontra ini memerlukan individu membuat rendaman kaki di dalam air suam dan air sejuk secara berselang-seli. Hidroterapi kontra buat pertama kalinya telah diperkenalkan oleh Sebastian Kneipp yang dikenali sebagai bapa kemodenan hidroterapi pada abad yang ke-19. Kaedah ini bukan sahaja dapat membantu menenangkan badan, malah juga membantu melegakan beberapa gejala penyakit seperti masalah peredaran darah, imsomnia dan juga menopaus. Hal ini kerana apabila kaki terdedah kepada haba daripada air suam, dinding saluran darah akan mengembang dan peredaran darah menjadi semakin meningkat, manakala apabila kaki terdedah kepada suhu yang rendah daripada air sejuk, dinding saluran darah akan mengecut dan memperlahankan peredaran darah. Oleh yang demikian, kaedah rendaman kaki secara berselang-seli antara air sejuk dan air suam ini merupakan salah satu rawatan hidroterapi luaran yang sangat berkesan bagi menangani stres disamping dapat merawat penyakit yang lain.

Berwudhu

Bagi masyarakat Islam pula, berwudhu juga adalah satu bentuk hidroterapi yang dapat mengurangkan tekanan emosi dan juga fizikal. Wudhu merupakan satu cara bagi orang Islam untuk menyucikan diri daripada hadas kecil sebelum menunaikan ibadah. Wudhu memerlukan individu untuk menggunakan air yang suci dan bersih dengan membasuh atau menyapu organ-organ tubuh badan yang tertentu seperti muka, tangan, sebahagian kepala, telinga dan juga kaki. Kajian terhadap penerapan wudhu sebagai kaedah hidroterapi untuk menangani stres, terhadap 200 responden telah memberi respon positif, yang mana 90% daripada meraka telah mengalami penurunan tahap stres setelah melakukan teknik wudhu. Tambahan pula, pengurangan tahap stres hasil daripada hidroterapi wudhu ini adalah berkaitrapat dengan sedikit penurunan tekanan darah di dalam badan. Satu artikel bertajuk Muslims Rituals and their Effect on the Person’s Health daripada Dr. Magomed Magomedov menyatakan bahawa wudhu bukan sekadar satu kaedah hidroterapi, malah wudhu juga merupakan satu kaedah refleksologi, yang mana terdapat kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai “Biology Active Site” pada anggota badan yang disapu air apabila seseorang berwudhu. Secara tidak langsung, sistem saraf dalam badan akan terangsang dan memberi kesan yang positif terhadap kesihatan individu. Badan juga akan meningkatkan hormon endorfin yang dapat mengurangkan tekanan emosi dan juga fizikal apabila individu melakukan teknik wudhu dengan betul.

Konklusinya, setiap individu pasti memiliki gaya hidup yang tersendiri di dunia moden yang serba pantas ini dan stres merupakan suatu gejala yang sering menimpa tidak kira waktu dan situasi. Oleh itu, ada baiknya sekiranya gejala ini kita tangani dengan segera bagi mengelakkan ia memberi kesan yang buruk ke atas tubuh badan sehingga menyebabkan sistem imun badan kita menjadi lemah. Selain daripada kaedah hidroterapi seperti yang dinyatakan di atas, stres juga dapat ditangani dengan mengamalkan pemakanan yang betul, berinteraksi dengan keluarga dan rakan, beristirehat, mendengar muzik dan sebagainya.

Rujukan

Dimsdale, J. (2008). Psychological Stress and Cardiovascular Disease. Journal Of The American College Of Cardiology, 51(13), 1237-1246. doi: 10.1016/j.jacc.2007.12.024

Rosiek, A., Rosiek-Kryszewska, A., Leksowski, Ł., & Leksowski, K. (2016). Chronic Stress and Suicidal Thinking Among Medical Students. International Journal Of Environmental Research And Public Health, 13(2), 212. doi: 10.3390/ijerph13020212

Yerkes, R., & Dodson, J. (1908). The relation of strength of stimulus to rapidity of habit-formation. Journal Of Comparative Neurology And Psychology, 18(5), 459-482. doi: 10.1002/cne.920180503

Ranabir, S., & Reetu, K. (2011). Stress and hormones. Indian journal of endocrinology and metabolism, 15(1), 18–22. https://doi.org/10.4103/2230-8210.77573

Boucher, P., & Plusquellec, P. (2019). Acute Stress Assessment From Excess Cortisol Secretion: Fundamentals and Perspectives. Frontiers In Endocrinology, 10. doi: 10.3389/fendo.2019.00749

Habib Yaribeygi, Yunes Panahi, Hedayat Sahraei, Thomas P. Johnston, Amirhossein Sahebkar EXCLI J. 2017; 16: 1057–1072. Published online 2017 Jul 21. doi: 10.17179/excli2017-480

Mooventhan, A., & Nivethitha, L. (2014). Scientific evidence-based effects of hydrotherapy on various systems of the body. North American Journal Of Medical Sciences, 6(5), 199. doi: 10.4103/1947-2714.132935

Lambeck, J. (2002). Hydrotherapy in adult neurology [Ebook]. Retrieved from https://www.researchgate.net/publication/255591602

Becker, B. (2009). Aquatic Therapy: Scientific Foundations and Clinical Rehabilitation Applications. PM&R, 1(9), 859-872. doi: 10.1016/j.pmrj.2009.05.017

KO, Y. (2016). Sebastian Kneipp and the Natural Cure Movement of Germany: Between Naturalism and Modern Medicine*. Korean Journal Of Medical History, 25(3), 557-590. doi: 10.13081/kjmh.2016.25.557

Sari, D., & Mahardyka, M. (2017). Penerapan Wudhu Sebagai Hydro Therapy Terhadap Tingkat Stres Pada Lansia UPT PSLU Blitar Di Tulungagung. Journal Of Nursing Practice, 1(1), 24-32. doi: 10.30994/jnp.v1i1.19

Kredit Foto:
Clhgroup
heart.org
researchgate
moodymonth
thesnipermind
colorandfacts
uito

sumber asal : www.majalahsains.com

By neto

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.