Himpunan 500 Teleskop Peminat Astronomi di Planetarium Negara sempena NICE’17

PLANETARIUM NEGARA, 14 Okt- Selain di venue utama di Taman Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil dan Pusat Sains Negara, Planetarium juga menjadi tumpuan ramai sempena ekspo NICE’17. Bermula dengan Konvensyen Astronomi Nasional (AstroCON2017) pada hari pertama NICE’17 dilancarkan, pada hari ketiga semalam turut diadakan program Himpunan 500 Teleskop peminat astronomi di perkarangan Planetarium Negara.

Himpunan yang bermula seawal 7.30 malam tersebut dihadiri oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri. Dr Mohd Azhar Hj. Yahya diiringi oleh Pengarah Planetarium Puan Anita Bahari dan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr. Mohd Ashhar Hj. Khalid.

Dalam ucapan pembukaan aktiviti tersebut, Datuk Dr Mohd Azhar memuji usaha yang dijalankan oleh Planetarium Negara sempena ekspo NICE’17 yang sedang berlansung sehingga 16 Oktober nanti. Beliau juga menyatakan kegembiraan melihat sambutan yang menggalakkan dari penggiat astronomi dan orang awam. Menurut beliau program seumpama ini mampu menarik lebih ramai pelajar-pelajar ke bidang STEM seterusnya ia bakal menyediakan tenaga kerja mahir bidang STEM di masa hadapan.

Di akhir ucapan, beliau menyeru semua peserta dan seluruh rakyat Malaysia mengunjungi ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi (NICE’17) terbesar negara sebelum ia berakhir pada hari Isnin 16 Oktober ini.

Pn Anita Bahari, Pengarah Planetarium Negara, Datuk Dr. Mohd Azhar Yahya Ketua Setiausaha MOSTI, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr. Mohd Ashhar Hj Khalid

Sempena himpunan tersebut, pengunjung dan peserta program turut dibawa menonton teater angkasa di auditorium Planetarium Negara.

Menurut penganjur, perhimpunan tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan walaupun sasaran sebenar 500 teleskop tidak dicapai. Hal tersebut ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan membataskan aktiviti cerapan. Namun ia merupakan suatu pengalaman unik kepada penggemar astronomi dan pengunjung melalui perhimpunan tersebut..

MajalahSains.Com mengambil peluang menemuramah En. Shahrin Ahmad, pengasas portal astronomi terkenal tanah air FalakOnline. Beliau juga merupakan penggiat astronomi yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam pencerapan objek angkasa.

Ketika ditanya tentang apa yang paling menyeronokkan dalam bidang ini, beliau menitipkan sedikit falsafah bahawa mencerap dan memerhati objek-objek di langit melalui lensa teleskop akan membawa kepada suatu perasaan dan kesedaran bahawa manusia adalah terlalu kerdil di dalam galaksi dan alam semesta yang tersangat luas. Beliau juga menambah, sebenarnya manusia sedang melihat dan berada di dalam sejarah yang panjang sepanjang kewujudan alam semesta berbilion tahun yang lampau.

Catatan pengalaman hidup beliau sebagai seorang pencerap dan ahli astronomi diabadikan dalam buku Sainslah!2, sebuah kompilasi tulisan Saintis Muda Malaysia terbitan kerjasama Penerbit Thukul Cetak dan MajalahSains. Dalam himpunan 500 teleskop tersebut, En Shahrin membawa teleskop beliau yang dinamakan ‘BatikScope’.

En. Shahrin Ahmad menerangkan sesuatu kepada Datuk Dr Mohd Azhar Yahya, KSU MOSTI

Peserta-peserta lain dalam program tersebut turut dihadiri oleh penggiat-penggiat astronomi seperti ‘Star-Finder Astronomical Society, Kelab Astronomi Universiti Malaya, Kelab Astronomi USIM serta individu-individu yang membawa teleskop masing-masing. @MajalahSains

   

Write a Comment

view all comments

*