Honda Mengatakan Mereka Akan Menjual Kereta Swapandu Tahap 3 Bermula Mac Tahun Hadapan

Apabila bercakap mengenai teknologi kereta swapandu, nama yang sering disebut ialah Tesla. Akan tetapi, Honda nampaknya akan memintas syarikat tersebut sebagai syarikat pertama yang memperkenalkan kenderaan swapandu pada skala besar-besaran.

Reuters melaporkan bahawa Honda akan mula mengilangkan siri kereta sedan Honda Legend yang dilengkapi dengan sensor-sensor swapandu Tahap 3 sebelum penghujung bulan Mac tahun depan.

Honda nampaknya cukup pasti mengenai teknologi sensor swapandu mereka, khususnya apabila syarikat tersebut telah menerima penarafan teknologi Traffic Jam Pilot oleh kerajaan Jepun, dimana pemandu kenderaan Honda yang menggunakan teknologi swapandu mereka dibenarkan untuk mengalih pandangan daripada jalan raya.

Menurut Honda, Honda Legend yang dilengkapi teknologi swapandu ini akan memudahkan pemandu memandu kenderaan mereka di lebuhraya-lebuhraya yang sesak dengan lebih selesa dan selamat.

Sebelum ini kami pernah menulis mengenai penarafan kenderaan swapandu, yang hadir pada Tahap 0 ke Tahap 5. Tahap 3 adalah apabila pemandu boleh mengalihkan pandangan mereka daripada jalan raya, tetapi masih perlu berjaga-jaga untuk mengambil-alih pemanduan jika berlaku situasi seperti keadaan gelap ataupun hujan lebat.

Sumber : amanz.my

Write a Comment

view all comments

*